CANTIK seperti bunga. Itulah yang diharapkan oleh setiap keluarga etnik Uygur di Kashgar apabila menyambut kelahiran anak perempuan.
Hinggakan kebanyakan mereka memberikan nama 'Guli' yang bermaksud bunga dalam bahasa Uygur kepada anak yang dilahirkan itu.
Fatima Guli, Haneem Guli adalah antara beberapa nama yang diperkenalkan ketika penulis menyelami budaya masyarakat Uygur di Kashgar yang terletak di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, satu daripada wilayah autonomi di China yang majoriti penduduk beragama Islam.
Peluang mengikuti program Kembara Muslim di China anjuran Radio Internasional China (CRI) baru-baru ini memberi ruang kepada penulis meninjau masyarakat di China yang kepadatan penduduknya mencecah 1.4 bilion.
Kedudukan geografi Kashgar yang bersempadan dengan lapan buah negara seperti Afghanistan, Turmenikistan, Krgystan, Pakistan dan Kazakhstan memberi keunikan yang berbeza terutama pada bentuk fizikal dan raut wajah mereka yang jauh berbeza dengan kaum majoriti, Han.
Ketika menjejak kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Diwobao, Kashgar, penulis sudah terasa sesuatu yang unik di sini.
Penulis rasakan seperti bukan berada di China, sebaliknya di Rusia atau Asia Barat apabila melihat warna kulit, bentuk mata dan wajah mereka yang iras masyarakat Arab, Turki, Iran mahupun Afghanistan. Malah pemakaian tudung dalam kalangan wanita di sana juga hampir menyerupai wanita Turki.
Keunikan Kashgar
Berkepadatan penduduk seramai 4 juta orang, 90 peratus penduduk Kashgar yang majoritinya dari Etnik Uygur adalah beragama Islam. Tidak hairanlah senibina, pakaian dan makanan di sini dipengaruhi etnik Uygur selain terdapat campuran pengaruh dari Asia Barat seperti negara-negara Arab dan Turki.
Mempunyai bahasa dan tulisannya sendiri, nama Uygur ditetapkan sebagai nama rasmi etnik itu sejak 1935. Bentuk tulisannya berakarkan aksara Arab yang jelas membuktikan betapa kuatnya pengaruh Islam di sini yang menjadi satu daripada laluan terpenting pedagang Arab ke China melalui laluan sutera satu ketika dahulu.
Melihat papan-papan tanda jalan, bangunan pejabat di sini, kebanyakannya memaparkan tiga bentuk tulisan, iaitu tulisan Uygur di atas, diikuti tulisan Mandarin dan tulisan rumi paling bawah bagi memudahkan penduduk setempat dan pelancong untuk mencari lokasi.
Terkenal dengan buah-buahan segar seperti anggur dan tembikai, menjadikan Kashgar dikenali sebagai pusat buah-buahan untuk pasaran tempatan dan seluruh China.
Selain itu, etnik Uygur juga cukup terkenal dengan seni budayanya terutama tarian dan nyanyian. Difahamkan sejak dari kecil kanak-kanak dan wanita Uygur didedahkan dengan tarian dan mereka akan menari mengikut rentak muzik tradisi yang turut dipengaruhi muzik timur tengah.
Kebiasaannya mereka akan menari dalam rumah atau majlis istimewa seperti perkahwinan.
Penulis turut berpeluang melihat kanak-kanak berusia lingkungan tujuh tahun yang tanpa segan silu, menari apabila mendengar alunan muzik yang didendangkan oleh tiga pemuzik tradisional Kashgar ketika menikmati makan malam di sebuah restoran di tengah-tengah bandar Kashgar.
Ternyata muzik dan tarian tidak dapat dipisahkan dalam etnik Uygur. Makanan di sini segalanya berasaskan kambing seperti kebab kambing, nasi yang berisikan daging kambing, sup kambing dan pelbagai lagi.
Roti naan yang menjadi makanan wajib di sini tidak jauh bezanya terutama dari segi rasa dengan roti naan yang terdapat di Malaysia, cuma ia lebih garing dan boleh disimpan sehingga tiga bulan.
Masyarakat Islam Kashgar
Islam telah berakar umbi di Kashgar sejak abad ke-10 Masehi lagi. Pembinaan lebih 5,000 masjid di sekitar Kashgar membuktikan masyarakat di sini masih kukuh pegangan agamanya.
Tidak sukar untuk mengenali lelaki Uygur di sini. Jika di Malaysia, kopiah menjadi penutup kepala, namun di sini mereka memakai songkok berbucu empat yang menjadi identiti etnik itu.
Mereka mudah mesra. Apabila diberi salam, nampak kemesraan pada raut wajah umpama menyambut satu talian persaudaraan baru.
Walaupun kebanyakan mereka kurang fasih berbahasa Mandarin apatah lagi bahasa Inggeris, namun mereka faham apabila penulis menyatakan 'Muslim' kepada mereka.
Mereka turut bertanya, penulis dari negara mana dan apabila menyatakan dari Malaysia, mereka terus tersenyum dan memberikan salam sambil berkata subhanallah yang bermaksud Maha Suci Allah.
Masyarakat di sini hidup sederhana di mana kebanyakan kaum lelaki menjalankan aktiviti pertanian sebagai punca pendapatan selain aktif dalam perniagaan, manakala wanita hanya di rumah menguruskan keluarga.
Masjid Eidgah, jadi kebanggaan
Penulis bersama wakil media lain turut berpeluang mengunjungi masjid paling terkenal di Kashgar, Masjid Eidgah yang dibina pada zaman Dinasti Ming iaitu pada 862 Hijrah atau 1442 Masehi.
Menjadi antara 10 masjid lama paling terkenal di dunia, ia menggabungkan unsur dan gaya pembinaan masyarakat Uygur pada bangunan utama untuk ruang solat, bilik kelas agama, kubah, menara dan pintu utama masjid.
Sejak 1955, iaitu apabila kerajaan wilayah Autonomi Uygur Xinjiang dibentuk, masjid ini telah beberapa kali dibaik pulih dan pada 1962 diwartakan sebagai warisan Islam serta tapak warisan sejarah pada 25 Julai tahun ini.
Masjid ini juga adalah satu-satunya masjid yang boleh dikunjungi wanita Islam untuk menunaikan ibadat, kerana wanita di sini dilarang ke masjid dan hanya beribadat di rumah.
Berkeluasan 16,000 meter persegi, masjid ini dapat menampung sehingga 100,000 jemaah setiap kali solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.
Ketika rombongan media ke sini , masyarakat sekitar sedang membuat persiapan hari raya korban yang akan disambut tiga hari kemudian.
Menurut Imam Masjid Eidgah, Hilama, 50, masyarakat di Kashgar akan bercuti selama tiga hari bagi membolehkan mereka melakukan ibadah korban.
Beliau berkata, ibadah korban biasanya dilakukan di rumah masing-masing dan hanya kulit binatang sembelihan seperti kulit kambing akan disedekahkan kepada masjid sebagai sumbangan kepada tabung masjid.
Penulis berkesempatan melihat sendiri kemeriahan di bazar Kashgar yang mempunyai kira-kira 6,000 kedai yang menyediakan pelbagai jenis barangan termasuk pakaian, barang hiasan, buah-buahan dan rempah ratus.
Pendek kata 1,001 jenis barang ada dijual di sini yang dibuka dari pukul 10.30 pagi hingga 9.30 malam.
Kaum lelaki pula, berkumpul di beberapa kawasan lapang sekitar bandar Kashgar sambil membawa binatang ternakan mereka terutama kambing untuk dijual kepada mereka yang ingin melakukan ibadah korban.
Di Jalan Guza, kami melihat urusan jual beli kambing di satu kawasan lapang yang dibuka selama tiga hari sebelum hari raya korban.
Ada yang datang sejauh 40 kilometer membawa kambing masing-masing untuk dijual di sini dengan harga antara 2,500 yuan dan 3,500 yuan, mengikut jenis dan saiz kambing.
Uniknya urus niaga yang dijalankan di sini dibuat secara tradisonal di mana peniaga menggunakan isyarat tangan bagi menetapkan harga dan pembeli pula akan berbisik ke telinga peniaga, sama ada setuju atau tidak dengan harga yang ditetapkan sehingga mereka mencapai kesepakatan harga.
Itulah antara keunikan masyarakat Islam Uygur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: