TIDAK hanya terbatas kepada penganut Buddha, binaan ajaib lagi mengagumkan seperti Candi Borobudur tentu sekali memikat hati sesiapa sahaja yang berkunjung ke Yogyakarta, Indonesia.
Bagi mereka yang bijak menghargai nilai dan estetika seni binaan unggul seperti Borobudur pastinya mendambakan hasrat untuk mengunjunginya walaupun sekali dalam seumur hidup.
Kesempatan penulis bersama rakan media Malaysia mengunjungi Yogyakarta baru-baru ini nyata cukup bermakna tatkala melihat salah satu binaan yang pernah tersenarai sebagai antara tujuh keajaiban dunia.
Bukan itu sahaja, candi Borobudur dan candi Prambanan yang ada di Yogyakarta masing-masing telah diwartakan sebagai Warisan Dunia UNESCO.
Kedua-dua ikon ini menyimpan pelbagai kisah dan budaya masyarakat pulau Jawa yang cukup unik dan menarik.
Simbol kesempurnaan
Walaupun Yogyakarta pernah mengalami gempa bumi kuat berukuran 6.2 skala richter pada 27 Mei 2006, namun Borobudur tetap gah pada kedudukannya dan setia menanti pengunjung dari seluruh dunia.
Malah episod hitam terkini apabila Gunung Merapi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Borobudur memuntahkan laharnya pada 26 Oktober lalu turut tidak menjejaskan binaannya.
Borobudur dibina sebagai tempat pemujaan penganut Buddha kerana ketika itu seluruh Jawa didiami penganut Buddha.
Borobudur berbentuk gunung enam segi bujur dan mempunyai tiga tingkat. Pada puncaknya ada stupa induk berbentuk loceng berlubang-lubang.
Bahagian paling utama terletak di puncak yang dikelilingi oleh 72 patung Buddha. Setiap patung terletak dalam stupa.
Setiap tingkat candi ini melambangkan tahap kehidupan manusia. Sesuai dengan kepercayaan Buddha Mahayana, setiap orang yang ingin mencapai tingkat sebagai Buddha mesti melalui setiap tingkat kehidupan tersebut.
Menariknya setiap tingkat memiliki ukiran tertentu yang dipahat kemas yang menunjukkan betapa mahir kerja tangan si pembuatnya.
Ukiran yang menceritakan pelbagai watak itu boleh dibaca secara runtut atau rantaian tatkala anda berjalan mengikut arah jam dari arah kiri pintu gerbang utama candi.
Bagaimanapun semua ukiran bukanlah cerita bersiri kerana setiap figura boleh berdiri sendiri sebagai satu cerita.
Melaluinya digambarkan hukuman yang akan diterima jika membuat dosa dan mendapat balasan baik jika membuat kebajikan.
Kesudahannya rangkaian cerita Buddha ini berakhir dengan tingkat tertinggi iaitu menuju kesempurnaan.
Tragis cinta
Kunjungan ke Jawa Timur pastinya tidak lengkap jika tidak meluangkan masa mengunjungi sebuah kuil Hindu yang dikenali sebagai candi Prambanan.
Prambanan yang terletak 17 kilometer arah timur Yogyakarta menjanjikan panorama indah buat pengunjung.
Berbeza dengan Borobudur, Prambanan terdiri daripada 240 candi-candi kecil dalam satu kompleks.
Binaan luar biasa cantik yang dibina pada abad ke-10 iaitu zaman pemerintaan dua raja, Rakai Pikatan dan Rakai Balitung itu mempunyai ketinggian 47 meter.
Lagenda epik purba masyarakat Jawa menceritakan kisah percintaan tragis seorang lelaki bernama Bandung Bodowoso yang mencintai seorang puteri Roro Jonggrang.
Kerana tidak mencintai Bodowoso, Jonggrang meminta Bodowoso membina candi dengan 1,000 patung dalam tempoh semalaman.
Bagaimanapun menyedari bahawa lelaki berkenaan hampir berjaya iaitu telahpun menyiapkan 999 patung, sang puteri mencari helah dengan meminta penduduk kampung menyalakan api menggambarkan seolah-olah hari sudah siang.
Oleh kerana marah dengan sikap puteri, Bodowoso menyumpah Jonggrang menjadi patung ke seribu.
Kompleks candi Prambanan mempunyai tiga candi utama iaitu Wisnu, Brahma, dan Siwa. Ketiga-tiga candi tersebut adalah lambang Trimurti dalam kepercayaan penganut Hindu.
Jika memasuki candi Siwa yang terletak di bahagian tengah, anda akan menemui empat buah ruangan iatu ruangan utama berisi arca Siwa, sementara tiga ruangan yang lain masing-masing berisi patung Durga (isteri Siwa), Agastya (guru Siwa), dan Ganesha (putra Siwa).
Patung Durga itulah yang disebut-sebut sebagai arca Roro Jonggrang dalam legenda yang diceritakan di atas.
Prambanan juga mempunyai tarikan lain di waktu malam iaitu pertunjukkan pentas yang menggabungkan antara seni drama dan tari yang mengangkat kisah lagenda Ramayana.
Sekiranya berkunjung ke Yogyakarta sekitar Mei hingga Oktober, anda berpeluang menyaksikan pertunjukkan berkenaan di Panggung Terbuka Ramayana yang berlatar-belakangkan candi Prambanan.
Manakala sekitar bukan November hingga April, pertunjukan kisah epik berkenaan akan diadakan di Panggung Tertutup Trimurti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: