Wednesday, January 26, 2011

Wangian kenang mendiang Raja Pop


FRANCK ROUAS bergambar dengan koleksi terbaru wangian yang dinamakan khas untuk legenda pop dunia, Michael Jackson di Nice, Perancis.


TUAH sebatang pen yang dipinjamkan kepada pemburu autograf di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) telah membuka peluang kepada pembuat minyak wangi warga Perancis melancarkan wangian sebagai tanda memperingati mendiang Raja Pop dunia, Michael Jackson.

Menariknya minyak wangi kegunaan untuk lelaki dan wanita itu diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan yang tumbuh mekar di kawasan kediaman Jackson, Neverland Ranch, AS.

Haruman yang diberi nama Jackson's Tribute adalah untuk kegunaan lelaki, manakala wangian Jackson's Legend pula untuk wanita. Ia akan dilancarkan secara rasmi pada 7 Mac ini di AS.

Pembikin minyak wangi jenama sendiri dan label peribadi, Julian Rouas Paris, merumuskan bahan-bahan wangian itu dalam masa hanya dua minggu dibawah perjanjian perkongsian dimeterai dengan ketua keluarga Jackson di California pada bulan lalu.

"Bersama Joe Jackson, kami merupakan rakan kongsi 50-50 dalam jualan di seluruh dunia, hak cipta televisyen dan pendapatan daripada sumber pengiklanan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Franck Rouas, sambil menambah sebahagian daripada hasil jualan akan disalurkan kepada badan amal yang disokong Jackson.

Rouas yang pernah menjadi jurulatih tenis kepada bintang-bintang Hollywood mengimbas kembali detik bersejarah dalam hidupnya apabila didatangi dua pemburu autograf muda yang ingin meminjam pennya.

Pada waktu itu, dia sedang mengendalikan gerai jualan milik syarikatnya di sebuah pameran perdagangan di Las Vegas.

Persetujuan keluarga Jackson

Pemburu autograf berkenaan telah memberitahu, Rouas keluarga Jackson berada berhampiran, tanpa melengahkan masa dia bukan sahaja memberikan pen tetapi turut memberikan sampel minyak wangi jenama sendiri keluaran syarikatnya, Versailles. Beliau juga meminta haruman tersebut diberikan kepada Janet Jackson.


WANGIAN untuk lelaki Jackson's Tribute manakala wangian Jackson's Legend pula untuk wanita.


Satu jam kemudian, dia telah menerima jemputan untuk bertemu dengan keluarga Jackson di sebuah salun persendirian.

Tatkala itu, keluarga Jackson kelihatan berminat terhadap produk keluarannya dan Rouas telah memperkenalkan pelbagai wangian kepada mereka.

Setelah perundingan lebih lanjut dilakukan, keluarga legenda muzik tersebut telah memilih wangian buah bunga campuran bagi kaum perempuan, manakala versi lelaki pula haruman berbau kasturi, kata pakar wangian, Joseph Rubino, 63.

"Kami melakukannya dengan sangat pantas," kata Rouas.

"Pada kebiasannya kami memerlukan satu tahun untuk mendapat aroma harum yang menepati cita rasa.

"Terdapat banyak tuah yang memihak dalam kisah ini," tambah Rubino pula yang berasal dari bandar kecil berbukit bukau, Grasse merupakan jantung industri wangian Perancis.


KEHEBATAN Michael Jackson terus menjadi legasi dunia.


Sementara itu, jurucakap hartanah Jackson di Los Angeles berkata, usaha merealisasikan produk haruman berkenaan adalah urus janji Joe Jackson yang tidak melibatkannya.

Pra-tempahan dan minat terhadap produk berkenaan sudah mendapat perhatian sejauh Asia Tenggara dan Afrika Selatan, malah sebuah laman web mengenai wangian tersebut akan dilancarkan tidak lama lagi, kata pembikin wangian itu.

Penambah koleksi MJ

Sebelum ini, wangian Mystique de Michael Jackson dan Legende de Michael Jackson dipasarkan melalui talian di AS pada awal 1990-an dengan menampilkan koleksi botol terpampang potret hologram bintang berkenaan.

Selain daripada itu, wangian Jackson iaitu Magic Beat turut dilancarkan pada tahun 1986 yang mensasarkan golongan remaja wanita tetapi ia menemui kegagalan.

Rouas, 38, yang berasal dari Nice telah menetap di Pantai Barat AS selama 15 tahun, mula berkecimpung dalam bidang wangian pada tahun 1996 apabila bertemu dengan profesional-profesional industri wangian ketika menghadiri pertemuan amal di Monaco, Perancis.

Dia yang pernah menjual insurans, hartanah dan tingkap telah berdagang wangian di AS ketika menjadi jurulatih profesional tenis kepada bintang filem seperti Sharon Stone dan siri televisyen Starsky and Hutch, Michael Glaser.

Rouas berkata dia juga telah dihubungi bintang bermasalah, Lindsay Lohan yang baru keluar dari penjara untuk mencipta wangian menggunakan namanya dipanggil Freedom.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: