Monday, January 17, 2011

Usia Bukan Penghalang




SEPANJANG penglibatan Rabecca Nur Islam Ahmad, 25, dalam industri hiburan tanah air, sememangnya pelakon berkenaan tidak pernah lari daripada pelbagai kontroversi yang melanda dirinya. Ada kalanya kisah-kisah kontroversinya itu lebih hangat diperkatakan berbanding mengenai perjalanan kariernya sebagai seorang pelakon. Namun, dia dilihat tidak cepat melatah dengan setiap kisah hangat mengenai dirinya yang hangat diperkatakan.

Tentunya yang paling hangat diperkatakan adalah mengenai penampilan imej seksi yang ditonjolkan dan dikatakan tidak sesuai dengan nama yang diberikan oleh ibu bapanya.

Apatah lagi dengan gambar-gambarnya yang banyak tersebar di laman-laman blog sehingga dia mendapat kecaman pelbagai pihak terhadap penampilannya itu.

Tidak ketinggalan juga mengenai hubungan percintaannya yang sering menjadi persoalan sebelum ini. Tiga tahun bercinta, namun Rabecca cukup bijak merahsiakan tentang identiti lelaki yang bertakhta di hatinya itu.

Kemudian segala persoalan akhirnya telah terjawab apabila dia memilih Nor Azam yang merupakan seorang peguam berusia 43 tahun dan duda kepada dua orang anak untuk menjadi suaminya.

Ketika diajukan mengenai perbezaan usia di antara dia dan suaminya itu, Rabecca yang menguntum senyuman manis menjawab dengan tenang persoalan yang diajukan kepadanya itu.

"Biarpun jarak usia kami agak jauh, tetapi apa yang membuatkan saya tertarik dengan suami saya ini adalah sifat kebapaan yang dimiliki olehnya dan dia seorang lelaki yang cukup penyayang.

"Lagipun sudah ditakdirkan jodoh kami berdua dan soal usia tidak menjadi sebarang masalah buat saya. Malah, suami saya sendiri menyifatkan saya adalah seorang wanita yang cukup matang," ujarnya ketika ditemui sebaik selesai majlis pernikahan.


PASANGAN pengantin bersanding di pelamin yang indah dan gah di Hotel Flamingo, Ampang, kelmarin.


Tambah Rabecca, biarpun kini dia sudah bergelar sebagai seorang isteri, penglibatannya dalam bidang seni masih diteruskan memandangkan dunia lakonan sudah sebati dalam dirinya.

Menurutnya, meskipun suaminya juga tidak pernah menghalang hasratnya itu tetapi selepas ini dia mempertimbangkan terlebih dahulu setiap tawaran berlakon yang diterimanya.

"Saya tidak akan berhenti berlakon dan suami juga sudah beri keizinan. Namun saya akan memilih tawaran yang sesuai dengan status saya sekarang ini demi menjaga maruah keluarga," ujarnya.

Menurutnya lagi, apa yang diharapkannya kini adalah doa daripada semua pihak terutamanya peminat agar perkahwinannya itu kekal sehingga ke akhir hayat.

Sementara itu, bagi Nor Azam pula dia tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan seorang artis yang terkenal dan menyifatkan isterinya itu sebagai seorang wanita yang sangat cantik.

Menceritakan mengenai detik perkenalan mereka berdua, Nor Azam memberitahu ketika kali pertama bertemu atas satu urusan beberapa tahun yang lalu, dia sangat terpegun dengan kecantikan yang dimiliki oleh Rabecca.

"Mengenai hasrat isteri yang mahu meneruskan kariernya dalam bidang lakonan, saya sememangnya tidak ada apa-apa halangan dan begitu memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon," ujarnya yang berada di sisi isteri tercinta.

Mengenai perancangan untuk mendapatkan anak bersama Rabecca, Nor Azam memberitahu itu semua terpulang kepada rezeki. Lagipun kini dia sendiri sudah memiliki dua orang anak manakala isterinya pula turut memiliki seorang anak angkat.

Bertunang dan nikah serentak


MAJLIS pertunangan Rabecca disempurnakan oleh ibu mertuanya, Datin Norlia Marzuki.


Menariknya mengenai perkahwinan antara Nor Azam dan Rabecca, pasangan tersebut telah mengambil keputusan untuk melangsungkan acara pertunangan dan akad nikah secara serentak.

Tentunya ramai yang tertanya-tanya apakah tujuan mereka berdua berbuat demikian, namun Rabecca menjelaskan mereka mempunyai alasan yang tertentu untuk berbuat demikian.

"Setelah berbincang, maka kami telah ambil keputusan supaya pertunangan dan akad nikah kami diadakan serentak pada hari yang sama dan mendapat persetujuan keluarga kedua-dua belah pihak.

"Lagipun bila difikirkan semula, kami berdua rasakan ia satu keputusan yang tepat kerana kalau kami bertunang sahaja terlebih dahulu, kami risau hasrat untuk mendirikan rumah tangga akan tertangguh," ujar Rabecca.

Berlangsung dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, majlis pernikahan pasangan tersebut yang berlangsung di rumah Rabecca di Hulu Klang, Selangor berjalan dengan lancar dengan kehadiran kira-kira 200 tetamu.

Sementara, beberapa rakan artis turut kelihatan semasa upacara akad nikah. Antaranya seperti Datin Umie Aida dan Datin Sofea Jane dan Datin Noniswara.

Tiga malam

Ketika membuat sidang akhbar mengenai perkahwinannya yang dibuat pada 10 Disember yang lalu, Rabecca turut memberitahu bahawa dia akan membuat majlis perkahwinannya selama tiga malam berturut-turut.


TERMETERAI sudah ikatan antara Rabecca dan Nor Azam.


Tidak mahu dilabel sengaja mengadakan majlis perkahwinannya yang terlalu mewah, pelakon berkenaan sebaliknya memberitahu apa yang dirancang itu adalah demi keselesaan kepada semua pihak.

"Kami berdua mempunyai keluarga yang besar, misalnya keluarga suami akan datang beramai-ramai dari Sarawak, manakala ahli keluarga saya sendiri akan turun dari Johor Bahru.

"Jadi kami merasakan perlu ada majlis yang berasingan supaya tetamu yang datang tidak perlu bersesak-sesak. Bagi kami apa yang penting adalah keselesaan tetamu ketika hadir meraikan majlis perkahwinan kami ini," ujarnya.

Tambah Rabecca, untuk majlis pertunangan dan akad nikahnya itu hanya diadakan di rumahnya yang terletak di Hulu Klang serta dihadiri oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Majlis resepsi diadakan di Hotel Flamingo, Ampang, Selangor pada Sabtu lalu dengan jemputan yang terdiri daripada rakan-rakan, pihak media serta rakan artis. Pada majlis tersebut, kedua- duanya tampil dengan persalinan tradisional yang mendapat sentuhan pereka fesyen terkenal, Salikin Sidek.

Sementara itu majlis resepsi pada hari Ahad diadakan di Restoran Berputar Menara Kuala Lumpur. Bagaimanapun, majlis tersebut terhad kepada 250 orang tetamu sahaja. Baju bermotif Inggeris yang telah direka oleh pereka fesyen Ezuwan Ismail menjadi pilihan pelakon tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: