Monday, January 24, 2011

"Tiba-tiba rasa badan terbakar"


MUHAMAD HAIRUMAN menerima kunjungan bekas rakan
kolejnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang semalam.


KLANG - "Tiba-tiba saya rasa seluruh badan terbakar sebelum terpelanting jauh dalam kebun kelapa sawit."

Itu detik-detik yang masih diingati oleh mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi, Muhamad Hairuman Miskon, 22, yang buat pertama kali ditemu ramah selepas insiden ngeri yang berlaku kepadanya pada 26 November tahun lalu.

Menurut Muhamad Hairuman, dia sudah mengait lima hingga enam pokok kelapa sawit dan ketika mengait pokok yang seterusnya, dia tidak perasan kabel elektrik di kawasan berkenaan.

Lagi pun, katanya, ini bukan kali pertama dia pergi ke kebun kelapa sawit rakannya yang terletak di Kampung Masjid Baruh, Tanjung Karang itu.

Sebelum ini dia sudah empat kali mengait sawit di kebun itu.

Dia juga mengakui sudah biasa melakukan kerja-kerja mengait dan mengutip buah kelapa sawit bagi menambah sumber pendapatan bersama abangnya, Muhamad Firdaus, 24.

"Selama ini, itulah kerja-kerja kami bagi mencari wang kepada keluarga terutama bagi menyara seorang kakak kami yang mempunyai masalah kesihatan," ceritanya.

Menurutnya, selepas tamat kolej dua tahun lalu, dia selalu mengambil upah melakukan kerja-kerja pendawaian dan pernah terkena kejutan elektrik tetapi kejadian di kebun kelapa sawit tahun lalu itu merupakan yang terburuk.

"Sampai sekarang saya masih rasa panas dan kerap minum air sebab selalu rasa dahaga,'' katanya lagi.

Muhamad Hairuman sudah mula menunjukkan perubahan positif apabila sudah boleh bercakap dan melemparkan senyuman kepada setiap pelawat termasuk bekas rakan-rakannya yang menziarahinya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: