FARAH...kembali ‘single’ selepas putus cinta.
PEMBABITAN penyanyi, Farahdhiya Mohd Amin, 26, atau Farah dalam bidang lakonan semakin diterima ramai. Kejayaan melakonkan watak jahat, penggoda dan lemah lembut menyerlahkan bakat lakonan gadis berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini.
Penampilan dalam drama seperti Kau Curi Cinta Ku, Ku Milik Mu dan Spa Q cukup meninggalkan impak besar dalam karier penyanyi bergelar pelakon yang popular dengan lagu Bertakhta Di Hati itu.
Selepas sekian lama memendamkan hasrat untuk melebarkan profil lakonan untuk terbabit di pentas teater, Farah akhirnya menerima tawaran menjayakan pementasan teater muzikal pertamanya, Terima Kasih Cinta.
Pementasan teater itu menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Latiff Ibrahim, Safura, Deja Moss, Shajiry, Nadia Aqilah, Vince Chong, Norish Karman dan Tony Eusoff bakal dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 17 Februari hingga 6 Mac ini.Menurut Farah, pengalaman kali pertama terbabit dalam pementasan teater meninggalkan pelbagai memori menarik. Dia tidak sabar untuk menanti maklum balas peminat yang menyaksikan pementasan teater itu."Memang setiap kali berlatih untuk pementasan itu hati saya berdebar. Setiap hari banyak perkara baru yang saya pelajari. Memang membabitkan diri dalam pementasan teater adalah sasaran untuk tahun ini selain mengintai peluang beraksi di layar perak. Saya pernah mendapat beberapa tawaran untuk teater dan filem, namun terpaksa menolaknya kerana berdepan jadual penggambaran drama bersiri yang melalui tempoh penggambaran yang agak panjang.
"Saya cukup teruja untuk terbabit dalam pementasan teater. Sebelum ini, saya hanya mengetahui dan mendapat nasihat daripada rakan jika ingin meningkatkan mutu lakonan pentas teater adalah landasan terbaik. Selain lakonan saya juga perlu memberi tumpuan kepada tarian dan nyanyian kerana ia membabitkan pementasan teater muzikal.
"Pengalaman pertama di bawah bimbingan Pat Ibrahim juga pengalaman yang menyeronokkan. Siapa tidak kenal dengan reputasi koregrafer dan pereka tari terkenal seperti Pat malah saya percaya ramai yang menantikan peluang bekerja di bawah bimbingannya.
"Sudah tentu cabaran dalam pementasan teater lebih besar daripada menyanyi dan berlakon di televisyen. Saya perlu sentiasa peka dan memberi tumpuan penuh ketika beraksi di pentas," katanya.
Membawakan watak Azura, Farah bakal menyanyikan beberapa lagu baru selain lagu yang pernah dipopularkan Aishah, Janji Manis Mu pada pementasan teater itu. Ditanya mengenai karya yang diadaptasi daripada filem Cinta itu, Farah menjangkakan satu persembahan yang menarik.
Bercerita lanjut mengenai watak Azura seorang gadis lurus bendul, namun tegas. Dia bekerja di kedai buku. Sejak Disember tahun lalu kru produksi pementasan berkenaan sudah memulakan latihan untuk menjiwai watak dan memahami karakter masing-masing.
Mengulas lanjut mengenai nyanyian pula, Farah mempertaruhkan single terbaru, Kau Telah Pergi ciptaan Julfekar. Lagu berentak balada itu mendapat maklum balas yang positif daripada pendengar. Malah dia menaruh keyakinan lagu kisah putus cinta itu bakal meninggalkan impak besar seperti lagu Bertakhta Di Hati.
Lagu berkenaan juga berkaitan dengan dirinya yang mengakui sudah kembali 'single' selepas percintaan dengan seorang ahli perniagaan terputus selepas empat tahun berkenalan. Farah sendiri sudah berasa penat apabila diajukan soal cinta apalagi mengenai perkahwinan.
"Tawar hati dan penat apabila ditanya soal cinta. Mungkin kami tiada jodoh. Saya tidak percaya dengan hubungan jangka panjang lagi. Perpisahan kami tiada kena mengena dengan kesibukan saya dalam karier seni mahupun pihak ketiga. Cuma kami tidak ada persefahaman lagi, itu sahaja.
"Hendak kata serik untuk bercinta lagi tidak rasanya. Buat masa ini, biarlah saya melupakan dulu mengenainya (cinta). Saya lebih selesa menumpukan kepada karier terlebih dulu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: