KREATIF...hobi menjahit dan menghias manik boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan di kalangan suri rumah.
HILAIAN gelak tawa dan senda gurau dari ruang tamu jelas kedengaran kala kaki melangkah masuk ke sebuah banglo yang terletak di kawasan perumahan elit di Damansara.
Sekali imbas, sekumpulan wanita yang saling usik-mengusik itu bagaikan teman akrab yang sudah lama saling mengenali sedangkan hakikatnya mereka baru beberapa bulan berkenalan menerusi laman web sosial Facebook dan hanya sesekali bersua muka.
Menariknya, sambil mereka rancak bercerita mengenai kisah lelucon mengenai kehidupan masing-masing, tangan mereka turut ligat menjahit dan menyusun serta menghias manik pada fabrik yang ingin dijadikan baju kurung.
Nyata, minat pada seni jahitan dan hiasan manik berjaya menghubungkan mereka dari dunia maya ke realiti lalu menjadikan perjumpaan itu sebagai aktiviti menarik setiap minggu.
Menurut penganjur aktiviti minggu itu, Datin Nor Simah Meon, perjumpaan seperti itu dicetuskan rakan dalam senarai kenalannya di Facebook yang turut sama berkongsi minat dalam hiasan manik.
"Kami semua suri rumah yang berminat menjalankan perniagaan di rumah dengan menggunakan hobi serta kemahiran yang ada. Daripada perbincangan di Facebook, kami akhirnya bersetuju mengadakan pertemuan seperti ini dan lokasinya dipilih secara bergilir-gilir."Namun disebabkan komitmen pada keluarga, kami hadkan pertemuan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Tetapi ia juga bergantung kepada jumlah rakan yang hadir dan kami lebih suka mengadakan pertemuan ini pada hari bekerja antara Isnin hingga Khamis," katanya.
Pertemuan itu biasanya diadakan sebelah pagi selepas menguruskan keluarga ke sekolah dan tempat kerja. Berbekalkan beg troli kecil yang menempatkan peralatan menjahit serta puluhan jenis manik dan beberapa pasang baju kurung yang ditempah pelanggan, mereka memulakan pertemuan itu dengan berbincang dan berkongsi idea mengenai corak hiasan manik yang ingin dilakukan pada baju itu."Masing-masing akan membawa baju yang ditempah pelanggan dan akan bertanyakan rakan lain sama ada pilihan manik yang ingin dihias pada satu-satu fabrik itu sesuai atau tidak. Begitu juga dengan teknik dan rekaannya.
"Dari situ, kami bukan saja dapat memperbaiki jahitan dan hiasan, malah dapat memberi kepuasan bukan saja pada diri malah pelanggan," ujarnya.
Namun, sudah resam di kalangan masyarakat kita yang biasanya cemburu sesama sendiri apabila ada di kalangan rakan yang lebih berjaya dan dalam hal ini, rakan yang mendapat lebih banyak tempahan daripada pelanggan berkongsi idea dengan rakan lain.
"Bagi kami, unsur cemburu atau iri hati tidak pernah timbul kerana kami percaya rezeki akan datang atas daya usaha masing-masing. Kami juga mempunyai kumpulan pelanggan yang berbeza, jadi tidak timbul unsur itu.
"Apa yang penting, kami suka berkongsi idea dan kreativiti sesama sendiri. Ia bukan saja dapat meningkatkan produktiviti tetapi dapat memperoleh ilmu tambahan mengenai bidang ini "Dengan cara perkongsian ilmu dan idea ini juga dapat mengurangkan tekanan kami dan melarikan minda seketika daripada kesibukan tugasan di rumah," jelasnya.
Berbanding di butik, bayaran yang mereka kenakan bagi setiap tugasan manik lebih murah meskipun menggunakan manik berkualiti tinggi dari Jepun.
"Kebanyakan baju yang sudah siap dijual di kedai menggunakan manik dari China. Bukan tidak cantik tetapi warnanya cepat luntur dan mudah pecah jika tidak dijaga dengan baik.
"Manik Jepun pun boleh pecah jika baju dibasuh terlalu kuat tetapi secara keseluruhannya, ia lebih baik dan berkualiti berbanding manik keluaran negara lain.
"Kami tidak menetapkan harga tertentu pada satu-satu rekaan manik itu kerana ia bergantung kepada jumlah manik yang digunakan serta bahagian yang ingin diletakkan manik," katanya.
Jelas salah seorang ahli dalam pertemuan itu, Hasliza Ahmad, semua orang mampu menjahit dan menghias manik, tidak kira lelaki atau wanita, tetapi sebaiknya mereka mengikuti kelas asas atau menyertai perjumpaan seperti ini.
"Tidak mengapa kalau tiada asas dalam jahitan. Tidak semua di antara kami tahu menjahit dan ada yang lebih suka fokus kepada hiasan manik. Lagipun kos untuk memulakan perniagaan hiasan manik ini tidaklah mahal kerana kita boleh membelinya secara pukal.
"Yang utama adalah sokongan daripada suami dan keluarga, selain minat mendalam dalam bidang ini. Teknik lain boleh dipelajari daripada rakan.
"Kita juga boleh melakukannya bila-bila masa di rumah. Ada antara kami yang sentiasa membawa beg manik ke mana saja pergi walaupun ketika bercuti kerana terlalu minat dan tidak sabar melihatkan hasilnya," kata Hasliza.
Selepas lebih empat jam sibuk dengan tugasan dan tempahan masing-masing, sesi perkongsian idea itu berakhir dengan jamuan makan tengah hari yang disediakan penganjur.
Sebelum pulang, mereka menetapkan tarikh pertemuan dan lokasi seterusnya sebelum masing-masing saling berjanji untuk melawat laman blog sesama sendiri sebagai tambahan ilmu daripada apa yang sudah mereka peroleh pada pagi itu.
Aktiviti mereka boleh dilihat menerusi http://sunniesliyanasani.blogspot.com (Masliyana Misnan), http://jemarimanik.blogspot.com (Doris Jani), http://2010elly.blogspot.com (Datin Nor Fadzilah Laili) dan http://batryana.blogspot.com (Hasliza Ahmad).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: