MARANG – Dua nelayan bertarung nyawa selama lapan jam dengan berpaut pada sebuah tong ikan fiber sebelum mereka terdampar di pantai Rusila dekat sini semalam selepas bot yang dinaiki karam.
Dua mangsa yang selamat itu ialah Md. Ali Musa, 61, dan rakannya Yusof Salleh, 49. Mereka ditemui selamat pada pukul 1 petang.
Bagaimanapun, nasib tekong bot, Abdullah Salleh, 51, iaitu abang Yusof, belum diketahui kerana sehingga kini dia belum ditemui.
Bot yang dinaiki ketiga-tiga mangsa itu karam dua batu nautika dari lokasi mereka berlepas di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu untuk menangkap ikan.
Menurut Ali, sebelum kejadian pada pukul 5 pagi, bot yang dinaiki tiba-tiba dimasuki air selepas setengah jam perjalanan.
“Kami membuang air dari dalam bot yang bocor itu tetapi keadaan makin tidak terkawal menyebabkan saya dan Yusof mencapai jaket keselamatan lalu terjun ke laut.
“Di dalam laut, saya sempat berpaut pada sebuah tong sebelum diikuti Yusof,” katanya ketika ditemui dirawat di Klinik Kesihatan Marang.
Selepas itu, Ali berkata, dia dan Yusof dihanyutkan ke tepi pantai sebelum terdampar dalam keadaan lemah.
Menurut Ali, dia bersyukur kerana selamat dalam kejadian itu namun bersedih dengan nasib Abdullah yang belum ditemui.
Dalam pada itu, anak sulung Abdullah, Mohd. Shukri, 33, berkata, dia terkilan kerana tidak bersama bapanya ketika bapanya turun ke laut semalam.
“Biasanya, saya sentiasa ikut bapa dan dua yang lain ke laut tapi hari ini (semalam) saya tolak pelawaan bapa kerana saya rasa sangat letih,” katanya.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat Abullah yang membabitkan anggota polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dilancarkan untuk mencari mangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: