Thursday, January 6, 2011

Sumbu direbut pemburu haram




BANGKAI Melita berlumuran darah dengan anggota badan ditanggal satu persatu terbujur kaku di antara dua anak bukit.

Suatu ketika dahulu Melita merupakan seekor badan sumbu hitam (Diceros bicornis) yang gagah berani.

Namun, tubuh perkasa Melita masih gagal untuk menyelamatkan nyawanya. Melita tumpas selepas dibunuh kejam tanpa belas kasihan di tangan pemburu haram pada awal Disember tahun lalu di Taman Pemuliharaan Hidupan Liar Lewa, Kenya.

Mamalia seberat dua tan itu kelihatan amat mengerikan dengan anggotanya yang berlumuran darah. Lebih menyayat hati, binatang pemakan bangkai menyungkah sedikit demi sedikit bahagian kepala dan tulang belakang mamalia itu sehingga menampakkan rangkanya.

Melita yang berusia 22 tahun itu merupakan mangsa terbaru peningkatan pemburuan haram yang semakin membimbangkan di Lewa. Kawasan berkenaan seumpama syurga bagi hidupan liar kerana ia diapit keindahan Gunung Kenya yang teguh berdiri menemani mereka.

Episod kejam pembunuhan Melita tiada titik noktah apabila badak sumbu hitam betina tertua di taman pemuliharaan hidupan liar swasta berkenaan turut menemui nasib yang sama seperti Melita.


KINI hanya terdapat 64 ekor badak sumbu hitam bebas hidup di Taman Pemeliharaan Hidupan Liar Lewa


Beberapa minggu lalu, badak sumbu hitam betina yang diberi nama Stumpy berusia 41 tahun turut ditembak mati dengan kejam.

Pembunuh-pembunuh Melita iaitu tiga lelaki yang bersenjatakan rifel kalashnikov dipercayai menyelinap masuk dari arah utara kawasan taman simpanan hidupan liar berkenaan pada waktu malam.

“Mereka pastinya telah bersembunyi sehari sebelum bertindak untuk memerhatikan Stumpy,” imbas renjer di Lewa, Steve Kisio yang sudah lali dengan bau busuk bangkai badak sumbu Lewa sehingga menusuk hidung.

“Pasukan kami terdengar bunyi tembakan kira-kira pada pukul 6.30 petang. Selepas berbalas tembakan, penceroboh tersebut berjaya meloloskan diri ditemani suasana gelap gelita malam,” cerita Kisio.

Bagaimanapun, salah seorang daripada tiga lelaki itu berjaya ditangkap tidak berapa lama kemudian hasil maklumat daripada beberapa individu di bandar berdekatan Isiolo. Pemburu haram berkenaan diberkas ketika cuba melarikan diri menuju sempadan Somali.

“Walaupun kali ini pemburu haram tidak sempat untuk membawa tindak-tanduk badak itu keluar daripada Lewa tetapi kakitangan taman terpaksa memotongnya jua kerana Stumpy sudah pun mati akibat terkena tembakan,” terang Kisio sambil mengatakan dia amat sedih dengan kehilangan terbaru itu.


BANGKAI badak sumbu dibiarkan begitu sahaja kerana pemburu hanya mengejar sumbunya sahaja.


Harapan Lewa

Taman Pemuliharaan Hidupan Liar Lewa yang terletak 225 kilometer di utara Nairobi merupakan kawasan perlindungan badak sumbu terakhir Kenya.

Ia menempatkan 117 mamalia herbivor iaitu 64 badak sumbu hitam manakala 53 ekor lagi ialah badak sumbu putih (Ceratotherium simum simum)

Populasi badak sumbu di Kenya adalah kira-kira 600 ekor sahaja. Badak sumbu Taman Pemuliharaan Hidupan Liar Lewa bebas bergerak bersama-sama kerbau dan gajah di taman berkeluasan 25,000 hektar itu.

Lewa sangat terkenal dengan kerja-kerja perlindungan badaknya dan sering menjadi model contoh pemuliharaan hidupan liar.

“Tapak pemuliharaan hidupan liar berkenaan telah diwujudkan pada tahun 1995 oleh sebuah keluarga orang kulit putih Kenya.

“Tetapi ini merupakan kali pertama kami melihat peningkatan mendadak dalam pemburuan haram. Kami tidak pernah melihat sesuatu pada skala ini,” kata Ketua Keselamatan dan Renjer Taman Pemuliharaan Hidupan Liar Lewa, John Pameri.

Sejak 12 bulan lalu, sebanyak empat ekor badak sumbu telah dibunuh pemburu haram termasuk Stumpy dan Melita. Fenomena tersebut menular ke keseluruhan rantau itu apabila 15 ekor gajah pula dibunuh kerana gading mereka dalam tempoh dua minggu lalu,” Pameri memberitahu AFP.

“Kami merasakan terdapat peningkatan didorong oleh permintaan yang tinggi dari luar negara terutamanya China,” kata Pengurus Taman Pemuliharaan Hidupan Liar Lewa, Jonathan Moss.

Harga bagi satu kilogram tanduk badak sumbu meningkat sehingga AS$8,034 (RM24,780) iaitu angka yang sangat besar bagi masyarakat yang memperoleh pendapatan AS$2.50 (RM7.70) sehari.

“Jadi godaan untuk terlibat menceburi permintaan haram amat tinggi,” tegas Moss.


PROGRAM rondaan malam wajib dilakukan kerana banyak kes pembunuhan badak sumbu dilakukan pada waktu malam.


Berhadapan dengan ancaman tersebut, Lewa telah melaksanakan program rondaan malam, pengawasan badak sumbu pada setiap hari, pengawasan udara, jaringan pemberi maklumat dan penglibatan masyarakat tempatan, terang Moss.

“Kami cuba menyekat rantaian bekalan tanduk haiwan itu di Afrika.

“Bagaimanapun, satu-satunya jalan penyelesaian adalah dengan menghentikan permintaan dari China,” tegas Moss.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: