“BARU sembilan tahun,” ungkap Seth A Rahim Buang, 53, ketika penulis bertanya berapa lama dia menjalankan perniagaan. Jawapannya mengundang persoalan dan rasa ingin tahu lebih mendalam.
Kalau sembilan tahun, kenapa kata ‘baru’?” gesa penulis ketika menghubungi pengusaha kilang daging dan ayam kebab serta roti pita itu untuk mengatur temujanji. “Sebab masih banyak yang perlu saya pelajari,” katanya dengan nada merendah diri.
Bertemu Seth yang meninjau kilang barunya di Kilometer 13, Off Jalan Batu Caves, Kuala Lumpur, penulis dapat melihat riak ceria di wajahnya. Beberapa perbincangan diadakan dengan kontraktor pengubahsuaian serta pembekal mesin berteknologi tinggi.
Pengarah Urusan Malinja Doner Kebab & Bakery Sdn Bhd itu berkata, selepas pembukaan kilang itu, lebih mudah laluannya mencapai standard pengeluaran produk iaitu mendapat pengiktirafan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan sijil Analisis Risiko dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) daripada Kementerian Kesihatan, seterusnya memperluaskan pasaran produk ke pasar raya hiper dan dieksport ke luar negara.Seth memulakan perniagaan sebagai pembuat roti pita dan pelbagai daging kebab di Johor Bahru pada 2001. Cetusan mengusahakan perniagaan itu timbul apabila dia mendapati tiada usahawan Bumiputera menceburkan diri dalam perniagaan itu, sebaliknya dipelopori pengusaha bukan Islam.
“Pengasas syarikat ini isteri saya, Allahyarham Hamidah Abdul Rahman. Sembilan tahun lalu, perniagaan ini asing bagi orang kita. Saya dan isteri terpanggil untuk membangunkan bisnes ini demi memenuhi tuntutan fardu kifayah iaitu
menyediakan makanan halal untuk masyarakat Islam.
“Ketika memulakan bisnes, saya akui cetek ilmu niaga. Kini banyak ilmu perniagaan saya kutip sepanjang bergelar usahawan. Pelan atau strategi perniagaan paling mustahak kerana membantu kita cara menghadapi dan menyelesaikan masalah. Memang betullah pengalaman guru terbaik dalam proses mempelajari selok-belok dunia perniagaan dan mengatasi kelemahan yang ada,” katanya.
Kaedah membuat roti pita dan daging kebab dipelajari Seth daripada seorang pegawai dagang Lubnan selama tiga bulan. Bermodalkan RM300,000 daripada wang simpanan, jualan saham serta pinjaman keluarga, mereka memulakan pelan pertama iaitu membeli mesin.
“Waktu baru berniaga, membeli mesin berharga RM200,000 pun saya rasa mahal sangat. Malah, saya terlupa modal pusingan tidak ada. Enam bulan berniaga, saya masih belum nampak masalah yang bakal timbul akibat ketiadaan modal pusingan. Bagi mengatasi masalah itu, saya terpaksa mengurangkan kos demi membolehkan syarikat yang baru menapak terus bertahan sebagai pemain industri,” katanya.
Menurutnya, bimbingan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) banyak membantu membuka mindanya dalam dunia perniagaan dan pengetahuan mengenai produk.
Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar memberi bimbingan mengenai kebersihan dan keselamatan makanan manakala Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membantu promosi ke luar negara.
Memiliki perniagaan sendiri, tanggungjawab memajukannya terletak di bahu Seth. Pekerjaan tetap sebagai pengurus logistik di sebuah syarikat multinasional sudah dilepaskan demi menumpukan sepenuh perhatian pada perniagaan sendiri.
Bermakna, jika perniagaan itu gagal, sudah tentu akan menjejaskan ekonomi eluarga.
Untuk memastikan syarikat mampu berdiri di celah pesaing yang lebih kukuh dalam pasaran sedia ada, Seth harus berkorban tenaga dan masa. Bekerja 16 atau 18 jam sehari perkara biasa baginya sewaktu mula membangunkan perniagaan.
Akibatnya, keluarga sedikit terabai kerana tumpuan lebih kepada bisnes, namun mereka memahami situasi itu. Malah keluarga ibu bapa dan adik-beradik sentiasa memberi sokongan dan semangat terhadap usaha yang dilakukan.
Biarpun kurang pengalaman, laluan dirintis Seth menunjukkan peluang cerah untuk terus maju, namun keadaan itu menyebabkan rasa kurang senang di kalangan pesaing perniagaan. Mereka melambakkan produk dengan tawaran harga lebih murah.
Menghadapi saat getir itu, Seth mengatasinya dengan memperluaskan pasaran, menjaga kualiti, penjenamaan, pembungkusan dan pelabelan lebih baik.
“Sebagai peniaga, kita harus sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan mencari jalan mengatasinya. Meluaskan pasaran cara paling bagus bagi mengatasi persaingan kerana kita tidak terlalu bergantung kepada pelanggan tertentu saja,” katanya.
Produknya diedarkan ke pasar raya, penjual kebab, pasar malam dan pasar tani selain mengadakan kerjasama pintar dengan pengusaha dari utara, selatan dan Lembah Klang.
Seth dan rakan pengusaha lain saling membantu pemasaran produk masing-masing. Pasaran akan datang, produknya diedarkan oleh HPA Industries melalui al-Wahida Marketing Sdn Bhd dan Mangkuk Tingkat.com
Kilang di Kawasan Perindustrian Tampoi, Johor memproses daging, ayam dan roti pita, cawangan di Serkam, Melaka bagi pengedaran ke seluruh negara manakala di Batu Caves untuk pembuatan roti pita, roti hot dog dan roti burger.
Menyingkap latar belakangnya, usahawan dari Johor yang juga anak ketiga daripada lapan beradik itu dibesarkan dalam keluarga sederhana. Bapanya, Buang Shukor, 85, pesara anggota polis manakala ibu, Khadijah Abdullah, 71, suri rumah.
“Tuntutan kerja bapa sebagai polis marin menyebabkan kami sekeluarga sering berpindah-randah, antaranya Johor, Melaka dan Pulau Pinang. Bapa sering belayar termasuk ke Sabah dan Sarawak yang mengambil masa tiga bulan.
“Ibu yang berketurunan Cina gemar berniaga warung dan katering kecil-kecilan untuk menambah pendapatan keluarga dan saya serta adik-beradik banyak membantu,” katanya.
Seawal jam 4 pagi, dia sudah bangun kerana perlu menghantar nasi lemak ke warung sebelum ke sekolah. Di sekolah, Seth dan adik-beradik lain turut menjual nasi lemak kepada rakan.
“Ibu mengajar kami berdikari mencari duit poket sendiri. Cuti sekolah, saya mengambil upah cuci kereta atau motosikal penghuni berek dengan membawa baldi. Dia juga mendidik kami bersabar, gigih dan tidak mudah berputus asa serta sentiasa ada sifat sangka baik dengan orang,” katanya.
Menurutnya, mereka diajar sifat amanah dengan tidak mengambil barangan yang bukan milik sendiri.
“Ibu berpesan, jika jumpa wang, jangan ambil kerana bukan milik kita. Sifat amanah yang diterapkan berjaya meresap dalam diri anak. Di berek, kami dibenarkan menjaja kerana penghuni menaruh kepercayaan kepada kami,” katanya.
Menurutnya, walaupun sudah berusia dan sepatutnya tidak perlu lagi bekerja keras, ibunya rajin dan tidak tahu duduk diam.
“Sehingga kini, walaupun anak tidak membenarkan dia melakukan kerja berat, dia
masih mahu menerima tempahan jika ada yang memintanya menyediakan mi atau nasi beriani,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: