TEGURAN demi teguran yang diberikan ekoran insiden pihak pengurusannya meminta bayaran RM40,000 daripada produksi teater Muzikal Tun Mahathir (MTM) musim kedua banyak mengajar aktor Zizan Nin untuk menempuh pelbagai ujian dalam bidang seni.
Namun pelakon drama Putera Katak ini tidak pernah ambil pusing mahupun berkecil hati dengan insiden yang berlaku itu. Bagi Zizan, ada sebab syarikat pengurusannya meminta bayaran sedemikian.
Bermulanya lembaran baru pada tahun 2011 ini, Zizan atau nama sebenarnya Azizan Nin, 36, mahu menyemai semangat baru dan lebih mengembangkan kariernya ke tahap yang lebih berjaya.
Bercerita tentang perkembangan terbarunya, Zizan sedang menjalani penggambaran filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki.
Dalam filem romantik komedi tersebut, dia melakonkan watak Zafrin ketika remaja manakala untuk watak dewasa, ia dilakonkan oleh Rashidi Ishak.
“Saya melakonkan watak seorang pelajar berusia 17 tahun. Saya mempunyai ibu dan bapa yang kaya lakonan Khatijah Tan dan Zaibo.
“Di sekolah, Zafrin merupakan pelajar pintar dan berasa tergugat setelah seorang pelajar perempuan lakonan Dira Abu Zahar baru masuk di kelasnya. Sejak daripada itu, dia mendapat tempat kedua dalam peperiksaan.
“Apabila di rumah, dia turut tertekan dengan sikap ibu yang suka membebel. Sebagai terapi, bapanya membuat sebuah zoo mini di dalam rumah mereka.
“Bagaimanapun, lama-kelamaan apabila mengenali pelajar perempuan itu dengan lebih rapat, dia memahami tentang erti kasih sayang, persahabatan dan kehidupan. Malah cinta antara mereka turut berputik,” cerita Zizan kepada Mingguan mStar.
Lebih teruja apabila Zizan dapat berlakon dengan pelakon hebat yang belum pernah bekerjasama dengannya sebelum ini kecuali Dira.
Mereka adalah Aziz M. Osman, penyanyi Atilia, Ainul Aishah, Rashidi Ishak, Vanidah Imran dan Afdlin Shauki.
Dia akui amat meminati Afdlin dan turut menyukai filem arahan pengarah itu berjudul Papadom. Atas sebab itu Zizan menerima naskhah filem yang diadaptasi daripada novel tulisan Ahadiat Akashah tersebut.
Selain Afdlin, Zizan juga selesa bekerjasama dengan pengarah Osman Ali, Rosminah Tahir, Zul Arshad dan Murali Abdullah di mana setiap mereka begitu jujur dalam menyampaikan ilmu untuk berlakon.
Setakat ini, Zizan telah melakonkan ratusan drama termasuklah Seruan Pulau Nami, Di Sebalik Tirai Besi, Epilog Syurga Cinta, Ibu Mi Segera, Zahara Yatama, Siong, Cinta Medik, Penunggu Gunung Raya dan Janji Seorang Anak.
Puas berlakon
Mengimbas latar belakang Zizan sebelum memasuki industri lakonan, dia pernah terjebak dalam bidang peragaan dan periklanan.
Masih ingat lagi seawal dia menerima tawaran berlakon iklan komersial pada tahun 1999, dengan gaji berjumlah puluhan ribu ringgit.
Agak terkejut juga memandangkan sebelum itu dia hanya bekerja sebagai pembantu kaji selidik dengan gaji RM1,800 sebulan selepas bergelar graduan dalam bidang perniagaan kewangan.
Sebelum menceburi bidang lakonan pada tahun 2004, dia berlakon lebih 50 iklan televisyen seperti Mr Potato, Lipton, Nivea, Ponds, Listerine dan kredit kad ANZ.
Sebab itu, dari awal lagi dia telah terbiasa dengan sebarang urusan membabitkan perjanjian kontrak. Setelah bernaung di bawah syarikat pengurusan artis Aquila Emas Sdn Bhd, Zizan menyerahkan kepada syarikat itu untuk menguruskan karier seninya sehingga sekarang.
Sejak menceburi pentas lakonan, Zizan akui dia telah lama tidak berlakon iklan komersial. Kali terakhir dia muncul dalam iklan Panasonic. Sejujurnya dia mengakui lebih seronok dan berpuas hati berlakon drama dan filem berbanding iklan.
“Paling saya puas hati apabila berlakon drama Janji Seorang Anak untuk TV3. Drama ini mendapat respons yang baik dan ditayangkan semula atas permintaan penonton. Drama ini mengubah persepsi orang apabila saya boleh membawakan watak selain romantik dan korporat.
“Dalam cerita itu, saya melakonkan watak seorang pemuda yang lahir dari keluarga miskin dan menjadi harapan keluarga namun akhirnya dia menderhaka kepada orang tuanya apabila bercinta dengan anak orang kaya.
Cerita itu membuatkan ramai orang insaf,” ujarnya yang turut berpuas hati dengan drama Penunggu Gunung Raya.
Suami kepada Fazilah Hani Harun ini akui setiap lakonan memerlukan imaginasi yang tinggi.
Sementara dia yang pernah berlakon teater Muzikal Tun Mahathir musim pertama menganggap lakonan di pentas teater menuntutnya supaya lebih berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan kerana semuanya dipersembahkan secara langsung.
Bahagia dengan isteri
Dalam memikirkan tentang kerja yang tidak pernah selesai, anak jati Kuala Lumpur ini bijak mencuri peluang untuk berlibur bersama-sama isteri tersayang.
Biarpun beberapa drama sedang menanti termasuk Ribel untuk RTM, Zizan telah menetapkan untuk bercuti dengan isterinya di dalam negara pada Januari ini.
“Setelah berumah tangga, semua perkara yang saya lakukan mesti bersama-sama isteri seperti memasak pada hujung minggu dan menonton filem di rumah atau di pawagam.
“Kini isteri saya pun sudah mempunyai hobi baru iaitu menonton DVD (cakera padat digital) bersama-sama saya. Dia agak terkejut juga apabila saya telah menonton filem Indecent Proposal lakonan Robert Redford dan Demi Moore sebanyak 67 kali.
“Saya menggemari filem arahan Adrian Lyne kerana sudut kameranya cantik dan cemerlang. Kalau boleh mahu bekerja dengannya jika berpeluang,” luah Zizan penuh teruja.
Antara keistimewaan lain Zizan menunjukkan kasih sayang kepada isterinya melalui masakan. Dalam masa yang sama isterinya juga turut mengikutnya ke lokasi penggambaran dalam usaha mengeratkan lagi tanda kasih sayang mereka itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: