Thursday, January 20, 2011

Presiden China disambut meriah di AS


HU JINTAO (kiri) dan Joe Biden berdiri sebagai tanda menghormati lagu kebangsaan China dan Amerika Syarikat di Pangkalan Tentera Udara Andrews, Maryland kelmarin.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menerima kunjungan rakan sejawatannya dari China, Hu Jintao ketika dua pemimpin negara kuasa dunia itu berusaha mencari titik persamaan dalam isu politik dan ekonomi tanpa meminggirkan rakyat masing-masing.

Ketibaan Jintao di Pangkalan Tentera Udara Andrews kelmarin disambut Naib Presiden AS, Joe Biden dengan Jintao menghadiri makan malam pertama daripada dua majlis makam malam yang dianjurkan oleh Obama semasa lawatan empat hari beliau ke AS.

Mengiringi Obama pada majlis makan malam peribadi itu di kediamannya, White House, kelmarin ialah Penasihat Keselamatan Negara, Tom Donilon dan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton manakala Jintao membawa bersama dua pegawai kanan China.

Menurut White House, majlis itu bukan sebahagian atur cara rasmi menyebabkan perbincangan ke dua-dua pemimpin tersebut tidak didedahkan.

Jintao seterusnya diberikan sambutan meriah sebagai pemimpin negara yang merupakan pesaing terbesar tetapi berpotensi sebagai rakan paling utama AS.

Selepas sesi rundingan pada pagi semalam, kedua-dua pemimpin itu akan mengadakan sidang akhbar bersama di White House dengan hanya empat soalan dibenarkan, dua daripada wartawan AS dan dua lagi daripada pemberita China.

Jintao dan Obama dijadual mengumumkan satu persetujuan bersama untuk membina sebuah pusat keselamatan nuklear di China.

Pada tengah hari semalam, Obama merancang menganjurkan pertemuan untuk Jintao dengan ahli-ahli perniagaan AS dan China bertujuan mempromosi eksport negara itu ke China selain menarik lebih banyak pelaburan China ke AS.

Antara mereka yang dijadualkan hadir termasuk beberapa ketua pegawai eksekutif (CEO) termasuk Steve Ballmer daripada Microsoft, Lloyd Blankfein daripada Goldman Sachs dan Jeff Immelt daripada General Electric.

"Pertemuan itu untuk menghilangkan perasaan syak wasangka," kata seorang pakar Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, Charles Freeman.

Jintao, 67, menjadi Presiden China sejak 2002.

Walaupun kurang berkarisma jika dibandingkan dengan pemimpin China terdahulu seperti Jiang Zemin dan Deng Xiaoping, beliau bertanggungjawab dalam membawa kemajuan ekonomi untuk China.

Negara itu kini memiliki simpanan mata wang asing terbesar di dunia mencecah AS$2.85 trilion (RM8.69 trilion) dengan pakar-pakar ekonomi meramalkan China bakar bergelar ekonomi terbesar dunia dalam masa selewat-lewatnya 20 tahun lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: