Tuesday, January 4, 2011

Pentas terbuka bertemu peminat




MOHD. ARIF KENDUT mengambil tempat di atas pentas, tangannya leka membetulkan kedudukan kaki mikrofon di hadapannya.

Mata lelaki berkumis tebal itu melirik ke belakang pentas. Beberapa ahli kumpulannya, Julian Mokhtar, Ghani Abu Talin, Jim Madasamy, Shaik Karim tampak sudah bersedia dengan peralatan muzik masing-masing, mereka hanya menunggu isyarat daripadanya.

Kira-kira 10,000 hingga 15,000 penonton sudah mula bersesak-sesak di kawasan sekitar pentas utama. Ada penonton yang telah tiba sejak tengah hari, biarpun persembahan hanya bermula sekitar pukul 4 petang.

Mohd. Arif atau lebih popular dengan panggilan Ito berasa terharu dan bangga. Bukan mudah sebuah kumpulan muzik baru seperti Blues Gang, mampu menghimpunkan penonton seramai itu.

Ini peluang terbaik kumpulan itu jika mahu membuktikan kebolehan mereka bermain muzik di samping menghiburkan ribuan penonton yang hadir.

Satu-persatu lagu bahasa Inggeris yang dipetik daripada album pertama, Another Time Any Day mula berkumandang di corong pembesar suara. Gabungan suara ‘jantan’ Ito berjaya menggegarkan kawasan Panggung Anniversari yang terletak di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur itu.

Peminat-peminat kumpulan itu nyata terpesona dengan irama blues yang didendangkan. Bait-bait lirik lagu Don't You Hide, Parasit People, Another Time Any Day seakan-akan meniti di bibir mereka.

Bagi Ito, biarpun ia hanyalah konsert percuma, namun dia tetap berpuas hati dengan sambutan hangat yang diberikan. Lagi pun, irama berentak blues masih baru dan jarang sekali menjadi genre pilihan penyanyi ketika itu.


GABUNGAN elemen moden dan futuristik menyerlahkan kehebatan Panggung Anniversari.


Populariti Blues Gang

Tambah Ito, ketika di awal kemunculan Blues Gang sekitar tahun 1976, acara berbentuk hiburan agak terhad di negara ini.

“Dulu selain radio dan televisyen milik Radio Televisyen Malaysia (RTM), pentas terbuka merupakan platform terbaik untuk bertemu peminat sambil mempromosikan lagu dan album baru.

“Lebih-lebih lagi di sekitar Kuala Lumpur, ketika itu hanya Panggung Anniversari sahaja yang wujud. Tidak hairanlah ia sentiasa dibanjiri warga kota yang dahagakan hiburan santai pada hujung minggu,” katanya mengimbau nostalgia ketika itu.

Lelaki berusia 59 tahun itu tidak berasa janggal memberitahu bahawa populariti Blues Gang yang kini berusia lebih tiga dekad bermula di panggung itu.

Katanya, kumpulan itu sering dijemput mengadakan persembahan bersama beberapa kumpulan lain yang popular pada akhir 70-an dan awal 80-an seperti Sweet Charity dan Carefree.

“Boleh dikatakan, setiap kali Blues Gang mengadakan persembahan terutama membabitkan lagu-lagu popular seperti Apo Nak Dikato, Mak Siti, Khatulistiwa dan sebagainya, kawasan sekitar panggung ini akan penuh sesak sehingga terpaksa dikawal oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

“Hanya selepas kehadiran Dataran Merdeka dan dan beberapa pentas terbuka seperti Taman Tasik Titiwangsa suasananya tidak lagi meriah berbanding sebelumnya,” ujarnya yang kali terakhir membuat persembahan sekitar sembilan tahun lalu.

Mengikut sejarah, Panggung Anniversari dibina bersempena sambutan ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara pada 1967.

Kos pembinaannya telah disumbangkan oleh syarikat Tembakau Malaya, Shell Berhad dan Dunlop.

Bagaimanapun, pentas yang pernah melahirkan bintang hiburan pada era 1970-an dan awal 1980-an itu kemudian seolah-olah ditinggalkan apabila banyak pentas lain muncul yang menawarkan hiburan percuma sekitar pertengahan 1980-an.


PADA zaman kegemilangannya, Panggung Anniversari sentiasa dibanjiri warga kota yang mahu menikmati hiburan percuma.


Kesuraman Panggung Anniversari

Sejak itu, panggung itu terus suram dan bersendirian di tengah-tengah tasik yang indah.

Dalam usaha mengembalikan kegemilangannya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melakukan perubahan drastik yang membabitkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit terhadap panggung berusia 43 tahun itu sejak empat tahun lalu.

Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup berkata, kerja-kerja menaiktaraf telah pun selesai dan dijangka dibuka sepenuhnya pada tahun hadapan.

Mengaplikasikan konsep ‘burung’, Salleh memberitahu, seni bina moden dan futuristik pada bangunan itu bakal menjadi tarikan baru kepada warga kota.

Antara perubahan yang paling ketara, jelasnya, ialah pemasangan bumbung teflon di kawasan amfiteater bagi memastikan penonton dapat menikmati persembahan walaupun dalam keadaan hujan.

Kawasan pentas utama juga diperbesarkan serta dilengkapi sistem bunyi dan cahaya yang sesuai digunakan pada waktu malam.

“Selain itu, panggung itu juga mengandungi ruang niaga, kafe, bilik orang kenamaan serta kemudahan awam seperti tandas, surau, bilik utiliti, laluan pejalan kaki dan ruang tempat kereta,” katanya yang berharap panggung itu dapat menjadi tarikan baru kepada pengunjung dan pelancong ke Kuala Lumpur.

Bagi pemilik nama Ahmad Azhar Othman atau lebih popular dengan panggilan Awie, vokalis utama kumpulan Wings berkata, panggung itu banyak menyimpan sejarah dan perjalanan dirinya dalam bidang seni.

Jelas Awie, dia pernah bekerja selama dua bulan sebagai krew teknikal di bawah syarikat Do Re Mi Sound and Light ketika berusia 17 tahun.

Dalam tempoh itu, dia banyak terdedah mengenai dunia hiburan tempatan kerana pernah bekerja dengan beberapa artis seperti Yazid Search, kumpulan Bloodsheed, Lefthanded, Sweet Charity dan Ella and the Boys.

Anak kelahiran Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu berkata, panggung itu sememangnya sinonim di kalangan warga kota yang mahu menikmati hiburan secara percuma pada hujung minggu.

“Saya selalu menyaksikan persembahan yang diadakan, antara yang terus diingati sehingga kini ialah menonton persembahan artis antarabangsa berasal dari Jepun, Kitaro,” katanya yang kini mencecah usia 42 tahun.

Satu kenangan lucu yang tidak dapat dilupakan oleh Awie semasa bekerja di panggung itu ialah dia pernah cuba mengurat kakak penyanyi Ella, Jojie.

“Biasalah jiwa muda la katakan, walaupun tidak menjadi kekasih saya namun kami tetap berkawan baik sehingga ke hari ini,” senyumnya.

Pengalaman bertugas di belakang tabir, mendorongnya menyimpan impian untuk bergelar artis satu hari nanti. Di situlah terbentuknya kumpulan Wings sekitar pertengahan 1980-an.

Di bawah kendalian Ali Bakar, Wings terus menempa nama dalam arena muzik rock tempatan bersama Joe, Jojet dan Syam serta kemasukan beberapa anggota baru seperti Eddie dan Black.

“Kami pernah beberapa kali melakukan persembahan di panggung itu, antaranya konsert Wings pada sekitar 90-an.

“Sambutan terhadap muzik rock dan Wings ternyata di luar dugaan, saya terkejut apabila melihat penonton sanggup memanjat pokok semata-mata mahu menyaksikan persembahan kami,” katanya yang pernah mengadakan persembahan solo pada tahun 2000.

Nilai sentimental

Kata Awie, biarpun konsert yang diadakan tidaklah semeriah konsert-konsert berbayar seperti di Stadium Negara dan Stadium Merdeka, namun ia sudah memadai untuk menghiburkan orang ramai yang hadir.

“Apa yang pasti, panggung ini mempunyai nilai sentimental kepada saya, tanpanya tidak mungkin saya berada di tahap ini sekarang,” ujarnya

Kewujudan Panggung Anniversari juga sangat bermakna dalam hala tuju karier Pengarah Urusan Box-Office Malaysia, Ali Bakar.

Menurutnya, dia banyak belajar mengenai penganjuran dan pementasan pentas ketika bekerja sebagai eksekutif perkhidmatan pemasaran di salah sebuah akhbar tempatan.

“Sejak tahun 1976 sehingga kini, saya telah menganjurkan lebih 40 konsert di sana,” katanya.

Ali berkata, antara kejayaan terbesar ialah ketika mengendalikan konsert Sport Aid pada 1988 yang berlaku serentak dengan larian amal di bandar-bandar raya utama di dunia.

Buat julung-julung kalinya, artis-artis membuat persembahan dari panggung itu pada lewat malam untuk disiarkan secara langsung kepada lebih 100 buah negara dan disaksikan 1.1 bilion penonton televisyen.


PENGALAMAN mengendalikan konsert spert Aid pada tahun 1998 sangat bermakna kepada Ali.


Ali berkata, panggung itu berjaya mengetengahkan bakat-bakat baru dalam industri muzik dari era 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an.

“Ia telah menjadi saksi kegemilangan artis-artis seperti Datuk M. Daud Kilau, Tan Sri SM Salim, Blues Gang, Carefree, Hail Amir, Uji Rashid dan Latif Ibrahim di samping beberapa kumpulan rock terkemuka seperti Wings, Search, Headwind,” jelasnya.

Katanya, faktor usia dan kemunculan banyak siaran televisyen menyebabkan kawasan itu tidak lagi menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan hiburan percuma.

“Bagaimanapun saya yakin proses menaiktaraf yang sudah selesai dijangka mampu mengembalikan kegemilangan yang pernah dikecapi satu ketika dahulu,” katanya.

Tambah Ali, DBKL dan pihak swasta perlu berganding bahu dalam merancang aktiviti seni yang lebih menyeluruh dan sesuai dengan selera peminat tempatan.

“Kita tidak mahu ia gah kerana seni binanya yang cantik dan moden, namun sunyi tanpa sebarang aktiviti yang bermanfaat untuk masyarakat,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: