Saturday, January 8, 2011

Peluang untuk pesakit barah ginjal


Dr. Ibharim Wahid (tengah) dan Dr. Chris Wynne (kiri) pada majlis pelancaran Votrient.


SEL carcinoma ginjal (RCC) merupakan sejenis barah buah pinggang yang paling umum dihidapi kalangan orang dewasa.

Setiap tahun kes RCC di seluruh dunia meningkat sebanyak dua peratus, manakala di Malaysia saja terdapat lebih kurang 383 kes barah buah pinggang dan organ pembuangan air kecil sejak 2006.

Perunding Onkologi dan Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Datuk Dr. Ibrahim Wahid, berkata, di kalangan orang dewasa RCC adalah penyebab utama bagi 85 peratus barah buah pinggang.

Lebih penting hampir 30 peratus daripada pesakit-pesakit RCC mempunyai barah metastatik pada peringkat diagnosis.

Antara faktor-faktor risiko RCC termasuk usia yang meningkat, jantina (kelazimannya lelaki), merokok dan obesiti di samping faktor genetik.

"RCC lebih kerap berlaku pada usia 60-70 tahun dan golongan lelaki lebih kerap menghidapinya berbanding wanita," katanya.

Menurut Dr. Ibrahim, barah buah pinggang adalah penyakit di mana sel-sel buah pinggang menjadi bertambah dan tumbuh di luar kawalan.

Dalam kebanyakan kes RCC, tumor akan mula kelihatan pada lapisan saluran halus dalam buah pinggang.

Simptom yang biasa kelihatan bagi pesakit RCC termasuklah darah dalam air kencing (haematuria), kelesuan, hilang berat badan, anemia dan sakit pada sisi atau pada bahagian bawah belakang badan.

Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, barah buah pinggang sukar dikesan semasa pemeriksaan fizikal sehingga ia didiagnosis berada pada peringkat lewat penyakit itu.

Dari segi rawatan pula, Dr. Ibrahim berkata, RCC bukan metastatic biasanya dirawat melalui pembedahan membuang seluruh buah pinggang yang terjejas.

Bagaimanapun jika tumor tersebut tidak boleh dibuang melalui pembedahan, kemungkinan besar ia sukar diubati dan rawatan bersistematik lain perlu dilakukan.

"Rawatan tersebut ialah rawatan terapi tertumpu seperti, immunotherapy, mTOR inhibitors, Temsirolimus, Everolimus dan sebagainya.

"Bagaimanapun rawatan ini memberi kesan sampingan seperti keletihan dan reaksi kulit pada tangan serta kaki yang mungkin memberi kesan kepada aktiviti harian pesakit sehinggakan mereka berhenti menjalani terapi.

"Disebabkan itu, cabaran kami sebagai doktor adalah dalam mengimbangi rawatan yang berkesan dengan kesan sampingan dan kualiti hidup pesakit," tambah Dr. Ibrahim.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Votrient (pazopanib), sejenis penghindar angiogenesis baru dan terpilih yang membabitkan pertumbuhan dan penghidupan tumor.

Dalam pada itu Pengarah di Pusat Penjagaan Barah St George's, New Zealand, Dr. Chris Wynne berkata, RCC adalah barah malignan yang paling kerap pada buah pinggang dan ia tidak boleh menerima rawatan kemoterapi dengan baik .

"Walaupun rawatan semakin baik dengan pengenalan terapi yang tertumpu, RCC peringkat akhir tetap satu penyakit yang mencabar.

"Votrient akan menyertai terapi tertumpu yang lain untuk memberikan doktor-doktor satu pilihan ubat makan kepada pesakit mereka yang menghidapi RCC peringkat akhir," katanya.

Votrient yang dikeluarkan GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) ialah ubat makan yang diambil sekali sehari yang diberikan untuk rawatan peringkat akhir RCC.

Katanya, Votrient membantu mencegah pertumbuhan saluran-saluran darah baru yang boleh merangsang pertumbuhan tumor barah buah pinggang.

Satu Ujian Fasa III yang dijalankan ke atas 435 pesakit RCC peringkat akhir menunjukkan bahawa Votrient menampakkan penyembuhan yang ketara di mana pesakit hidup lebih lama tanpa pertumbuhan tumor.

Tambahan pula, Vorient boleh diterima baik dan kebanyakan kesan sampingan yang diperhatikan semasa tempoh percubaan adalah ringan ke sederhana dan mampu diurus secara klinikal dengan hidup berkualiti berbanding.

Votrient diberikan dalam dos 800mg sehari dan perlu diambil tanpa makanan, sekurang-kurangnya satu jam sebelum atau dua jam selepas makan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: