Monday, January 3, 2011

PEERS semai nilai positif




BUKAN tugas mudah untuk memperbetulkan persepsi umum mengenai istilah seks dalam institusi pendidikan Malaysia, apatah lagi untuk diajar kepada si cilik berusia tujuh tahun yang baru menjengah alam persekolahan.

Ia menuntut corak pemikiran yang lebih terbuka dalam usaha menyampaikan maklumat yang tepat dan bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak. Untuk itu, kurikulum baru telah dibentuk.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran Malaysia akan mula beroperasi secara berperingkat awal tahun ini tatkala sekolah mula membuka pintunya untuk murid-murid darjah satu.

Pengenalan KSSR menambah baik Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang dimulakan pada tahun 1993 dengan membawa gelombang perubahan yang menyasarkan pengisian pendidikan yang bersifat holistik.

Memfokuskan 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul, reka bentuk kurikulum juga diubah dengan menerapkan pendidikan berorientasikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial atau diringkaskan sebagai PEERS.

Elemen itu bakal diajar berasingan bersama penekanan dalam aspek penjagaan pemakanan dan keselamatan menerusi mata pelajaran Pendidikan Kesihatan.

Diasingkan daripada Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) menurut kurikulum lama, mata pelajaran Pendidikan Kesihatan ini akan diajar dalam ruang masa 30 minit sebanyak sekali seminggu untuk pelajar sekolah rendah.

Pendidikan Jasmani pula akan diteruskan dengan memperuntukkan tempoh masa selama satu jam setiap minggu.

Menurut Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM, Datuk Dr. Julaihi Bujang, pembahagian kandungan dalam Pendidikan Kesihatan dibahagikan sebanyak 75 peratus untuk PEERS, 15 peratus berkenaan pemakanan kanak-kanak dan 10 peratus akan diajarkan teknik pertolongan cemas dan keselamatan.

“PEERS adalah satu proses sepanjang hayat untuk memperoleh pengetahuan dan membentuk sikap, nilai dan kepercayaan terhadap identiti, perhubungan serta keintiman sesama individu,” singkap beliau.


PELBAGAI masalah sosial yang berkait rapat dengan salah laku seks dilaporkan media hampir setiap hari. Bagaimanakah ibu bapa hendak menjawab pertanyaan daripada anak-anak yang masih di bawah umur? - Gambar hiasan


Tambah Julaihi, pengetahuan yang dibekalkan itu akan mencakupi pengetahuan dari segi biologi, sosiobudaya, psikologi dan kerohanian serta tidak hanya berfokus isu seksual semata-mata.

Pembahagian dan pengisian

Dari sudut pengisian dalam PEERS pula, pengetahuan yang diberi akan dipecahkan kepada dua tahap berdasarkan peringkat umur murid-murid sekolah rendah.

Tahap satu melibatkan pelajar darjah satu hingga tiga dan skop utama dalam PEERS akan mengajarkan perbezaan fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kepentingan memelihara kehormatan diri, pengurusan perasaan dan kemahiran mengatakan ‘tidak’ kepada sentuhan yang tidak selamat.

“Pelajar darjah empat hingga enam yang dikategorikan dalam tahap dua akan diajar mengenai perubahan fizikal, pengurusan konflik, sistem reproduktif, kemahiran memelihara kehormatan diri, risiko perhubungan seks sebelum perkahwinan, jangkitan penyakit seksual dan kemahiran mengatakan ‘tidak’ kepada rokok, dadah dan alkohol,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya.

Sebanyak 500,000 naskhah buku teks baru telah berjaya dicetak dan diedarkan ke sekolah rendah seluruh negara untuk kegunaan pelajar tahun satu secara percuma.

Julaihi memaklumkan terdapat enam perkara akan ditekankan dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan yang bakal dilaksanakan di semua jenis sekolah rendah seluruh negara nanti.

“Perkara-perkara tersebut adalah kesihatan diri dan reproduktif, penyalahgunaan bahan, kemahiran pengurusan mental dan emosi, kekeluargaan, perhubungan serta pencegahan penyakit.

“Jadi tidak ada kekeliruan berhubung istilah mata pelajaran seks yang bakal diajar kerana pendekatan yang digunakan bukan tertumpu pada elemen seksual semata-mata sebaliknya berkonsepkan kehidupan kanak-kanak itu sendiri,” tegas Julaihi.


TENAGA pengajar yang mendukung silibus PEERS perlu bersedia menjawab persoalan yang ditanyakan para pelajar secara telus dan tepat.


Latih guru-guru wibawa

Selain daripada buku teks yang digubal oleh guru-guru pakar dan berpengalaman, modul pengajaran turut dibekalkan kepada guru-guru yang bakal mengajar mata pelajaran tersebut.

“Modul pengajaran guru ini akan membantu para guru berkomunikasi dengan lebih efektif dan interaktif bersama pelajar serta membimbing pendidik menyediakan alat bantu mengajar secara kreatif sama ada secara digital mahupun bercetak.

“Dalam pada itu, guru-guru juga akan menjalani sesi orientasi bersama jurulatih yang dikhaskan oleh kementerian bagi menyalurkan pengetahuan yang tepat kepada pelajar kelak,” ujar beliau.

Sementara itu, seorang pendidik yang bakal memikul tanggungjawab Pendidikan Kesihatan sempena transformasi KSSR, Rifhan Abdul Jabar, 28, bersedia untuk menyampaikan ilmu tentang PEERS kepada pelajar tahun satunya.

“Saya seronok dan teruja untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada anak murid saya malah telah menyiapkan semua alat bantu mengajar bagi memudahkan pemahaman mereka,” katanya.

Keterangan jantina

Dalam pada itu, Pakar Seksual Reproduktif Lelaki dan Perempuan Hospital Damai Service, Dr. Mohd. Ismail Mohd. Thambi berkata, elemen utama yang mencakupi keterangan mengenai jantina diri pelajar itu sendiri akan dapat memandu mereka bertindak dengan tepat.

Menurutnya, PEERS mungkin boleh diajar oleh guru-guru pendidikan moral, namun isi kandungan yang berkaitan sains seperti sistem reproduktif, maklumat kehamilan dan kelahiran dan penyakit-penyakit kelamin perlu dihuraikan oleh individu yang benar-benar arif.

“Cara pelajar menjaga maruah diri dan perkara berkaitan bidang sains boleh diajar oleh mana-mana guru namun sekiranya ada sesi soal jawab antara pelajar dan guru, perkara yang janggal akan timbul jika seseorang pendidik itu tidak mahir sepenuhnya.


MELALUI kurikulum baru, subjek yang selama ini jarang dibincang secara terbuka sudah mempunyai buku rujukan yang terbimbing.


“Pelajar juga kemungkinan akan bertanyakan soalan yang tidak bersangkutan tentang seks seperti orientasi seksual dan ketika inilah kredibiliti pendidik bakal teruji,” ulasnya.

Ahli Psikologi Perkembangan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khaizil Ismail memberitahu, pendidikan seks perlu diajar secara menyeluruh serta dipandang dari sudut positif berikutan usaha untuk memberi pengetahuan dalam bidang ini adalah langkah yang murni.

“Kalau diperhatikan, setiap agama mengulas ajaran berkaitan seks dan pengetahuan seperti ini akan membantu individu mengubah sikap dan memberikan kesedaran dalam mencorak pemikiran,” ulas beliau.

Tambah Khaizil, masalah timbul apabila individu itu sendiri tidak mahu mengubah sikap terutama apabila terbit kes-kes masalah sosial yang melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja.

“Masyarakat kita tidak menolak pelajar yang mengandung tanpa nikah namun tidak mencegah senario pergaulan bebas yang kian berleluasa dewasa kini,” jelas beliau yang membezakan penerimaan positif masyarakat Barat dalam isu yang sama.

Oleh itu, Khaizil menyarankan agar penyampaian yang betul oleh warga pendidik amat penting berikutan risiko penyalahgunaan pengetahuan yang diterima pelajar adalah tinggi.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam memantau perkembangan sikap dan perilaku anak-anak. Guru-guru pula harus menyalurkan pengetahuan tentang dunia seksualiti ini menerusi pendekatan berarah kekeluargaan,” katanya kepada Kosmo!.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: