Thursday, January 20, 2011

Panda China ke Scotland


KINI hanya sekitar 1,600 ekor panda dicatatkan terdapat dalam hutan-hutan di China.


MENGGUNAKAN nama Inggeris, Sunshine dan Sweetie, Panda yang berasal dari China kini menjalani kehidupan baru selepas dipindahkan ke Zoo Edinburgh, Scotland selama 10 tahun.

Perpindahan sementara pasangan panda berkenaan adalah sebahagian daripada perjanjian perdagangan antara Britain dan China yang dianggarkan bernilai RM12.6 bilion.

Perjanjian itu ditandatangani ketika perjumpaan di London antara Timbalan Perdana Menteri China, Li Keqiang dan Timbalan Perdana Menteri Scotland United Kingdom (UK), Nick Clegg.

"Perbincangan kami berjaya meliputi beberapa isu dan kami menyaksikan proses menandatangani beberapa perjanjian termasuk perjanjian komersial dengan kontrak yang bernilai sekurang-kurangnya RM12.6 bilion," kata Clegg.

Perbincangan mereka turut merangkumi isu keselamatan antarabangsa dan perubahan cuaca. UK dan China akan bekerja secara dekat dalam isu-isu alam sekitar.

Sunshine atau Tian Tian dan Yuangguang atau Sweetie merupakan pasangan panda yang dikhaskan untuk mengawan di Zoo Edinburgh.

Pasangan itu yang lahir pada tahun 2003 akan menjadi panda pertama di UK sejak 17 tahun dan dijangka bakal menggalakkan kajian, pemuliharaan dan pelancongan di Scotland, jelas Clegg lagi.

Sementara itu, UK telah membentang karpet merah buat Li, individu yang dijangka memegang jawatan Perdana Menteri China tahun depan.

Semasa lawatan hari keduanya di UK Isnin lalu, Li turut mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, David Cameron.

"Panda adalah khazanah kebangsaan China. Perjanjian bersejarah ini ialah hadiah kepada orang UK dan China," kata duta China, Lui Xiauming.


ZOO Edinburgh kini memiliki panda yang akan berada di bawah jagaannya selama 10 tahun.


"Ia akan melambangkan simbol penting persahabatan kedua-dua negara dan akan mengeratkan hubungan rakyat di kedua-dua negara," tambahnya.

Sementara itu di Hong Kong, penyelidik-penyelidik China menjelajah hutan di wilayah Sichuan dan menandakan sebanyak 1,116 habitat panda selepas menemui tapak mencari makanan haiwan itu.

Mereka menganalisis ancaman biasa habitat berkenaan dan menemui bahawa kumpulan panda tersebut yang kebanyakannya berada di dalam hutan yang berusia sekurang-kurangnya 100 tahun.

"Sebelum ini kami sangkakan hutan berlereng merupakan faktor penting tetapi berdasarkan kajian, usia hutan menjadi satu sebab utama bagi panda memilih habitatnya," kata Fiwen Wei, Timbalan Pengarah Institut Zoologi di Akademi Sains China di Beijing.

Wei dan kumpulannya yang menerbitkan penemuan mereka dalam The Royal Society Journal Biology percaya panda menggunakan pokok-pokok besar sebagai sarang melahirkan anak.

"Hutan tua menawarkan banyak sarang melahirkan anak yang perlu untuk pembiakan panda. Lantaran itu adalah penting untuk kita terus memelihara hutan kerana apabila pokok-pokok besar ditumbangkan, tidak akan ada lagi sarang buat mereka," katanya.

Laporan tahun 2004 oleh Worldwide Fund for Nature membongkarkan bahawa terdapat sebanyak 1,600 panda hidup liar di hutan.

Panda kini menjadi antara haiwan yang berada di ambang kepupusan akibat diancam aktiviti penebangan, pertanian dan peningkatan populasi rakyat China.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: