Friday, January 28, 2011

Murid tadika swasta dapat bantuan yuran bulanan


Baharuddin Yusof (tengah) dan Hussain Awang bersama penerima bantuan melaungkan 1Malaysia selepas Majlis Penyampaian Bantuan Prasekolah Swasta di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah, Kelantan, semalam.


TANAH MERAH 27 Jan. - Semua murid tadika swasta di seluruh jajahan Kelantan kecuali Jeli yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran mendapat bantuan bayaran yuran bulanan sebanyak RM150 sebulan bagi tempoh Ogos, September dan Oktober tahun lepas.

Setakat ini, tiga jajahan termasuk Gua Musang, Pasir Mas dan Tanah Merah telah menerima sumbangan tersebut yang diagih-agihkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri dengan kerjasama UMNO bahagian masing-masing.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Baharuddin Yusof berkata, sumbangan tersebut mencerminkan keprihatinan Kerajaan Pusat membantu semua pihak tanpa mengira latar belakang di negeri ini.

"Bantuan ini membantu meringankan beban keluarga yang terpaksa mengeluarkan belanja untuk menghantar anak mereka ke sekolah swasta sebagai langkah membekalkan generasi muda dengan ilmu pendidikan.

"Walaupun sumbangan diberikan kepada keluarga peringkat pertengahan yang berkemampuan, ia jelas menunjukkan kerajaan tidak membeza-bezakan bantuan kepada rakyat daripada latar belakang kehidupan yang berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program penyampaian bantuan yuran bagi tadika swasta di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran untuk Parlimen Tanah Merah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang dan hampir 300 ibu bapa dan murid prasekolah yang terlibat.

Pada majlis itu, seramai 254 murid dari 14 tadika swasta di Parlimen Tanah Merah yang berdaftar dengan kementerian menerima bantuan itu.

Sementara itu, Hussain ketika ditemui selepas majlis itu berkata, pihaknya akan menyertai setiap program yang diadakan di seluruh jajahan pada masa depan bagi menyampaikan bantuan kepada golongan sasar.

Katanya, jika selama ini golongan miskin dan sederhana yang menghantar anak-anak mengikuti prasekolah ke tadika Kemas yang menerima bantuan kerajaan, namun pihaknya tetap prihatin dengan beban yang ditanggung oleh golongan pertengahan yang terpaksa memilih sekolah swasta.

"Bantuan ini adalah insentif kepada ibu bapa yang selama ini mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk menghantar anak-anak ke sekolah swasta kerana mereka juga sentiasa menyokong usaha-usaha yang digerakkan oleh Kerajaan Pusat," katanya.

1 comment:

  1. gaji minimum ibu bapa penjaga berapa untuk dapat bantuan ini???

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: