TAHUN baru 2011 mulai berputaran. Dari satu sudut, bunga-bunga tiba-tiba berkembang dari jantung alam, seperti buih di jantung lautan.
Ketika embun musim baru masih basah di dedaun semalu, wangian udara pagi memunculkan satu simbolik, tanda permulaan rencana awal sedang berkisar. Selumat mana kisaran itu, ia terpulang kepada si pemilik jiwa raga, mahu ia dijadikan resipi makanan jiwa atau hiasan di botol kaca.
Genap usianya 29 tahun menjelang 6 Januari ini, wanita Capricorn bersuara gemersik ini merupakan sebahagian daripada pengisar resipi tadi, lebih tepat lagi dia juga sebahagian daripada penyusun silang kata 2011.
Papan silang katanya telah lama cuba diselesaikan, namun setahun berlalu, kotak-kotak kosong itu hanyalah terisi oleh ayat pelbagai definisi. Banyaknya ia sekadar andaian-andaian yang tidak menampakkan hujung pangkal. Lebih dahsyat lagi, ungkapan yang tersurat mahupun tersirat mengheretnya ke lembah fitnah yang menebarkan bau sedikit memualkan.
"Jujurnya saya tidak jelak dengan pertanyaan-pertanyaan yang dikemukakan. Tetapi ia jadi memualkan apabila bermacam versi fitnah ditaburkan sesuka hati. Kalau ia melibatkan saya seorang tidak mengapa, tetapi kepada pihak yang tidak tahu menahu, impaknya lebih daripada yang dijangka," ungkap pelantun lagu Cinta Adam & Hawa itu tentang gosip perkahwinannya yang mendahului pengumuman tuan empunya badan.
Sejak awal tahun sehinggalah lupus kalendar 2010, khabar angin perkahwinan Misha Omar tak pernah padam. Ada sahaja versi baru yang masuk mencelah, kononnya sudah kahwin di Kelantan, jadi isteri ketiga seorang jutawan bertaraf 'datuk' dan terkini, tarikh 1.1.11 diuar-uarkan sebagai tarikh muktamad ijab kabul Misha disatukan bersama pasangannya.
"Saya menafikan, berita itu tidak benar namun secara peribadinya, kesediaan saya ke arah itu telah ada. Tahun 2011, mungkin menyaksikan saya berubah status, daripada bujang kepada isteri orang.
"Pokok-pangkalnya, saya masih merasakan masih terlalu awal untuk bercerita. Setakat ini, belum ada yang merisik, tidak menafikan ada yang bertanya, cuma masa sahaja yang akan menentukan.
"Sebagai selebriti, saya sedar tanggungjawab saya. Tidak sesekali perkara itu akan dirahsiakan kerana itulah detik penting yang akan melengkapkan kewanitaan saya selama ini," katanya melabuhkan senyum di bibir mongelnya.
Dari sinar di sebalik kelopak matanya, sah ada kumbang sedang menebarkan debunga di laman jiwa. Menanyakan kepadanya, sudah hampir benarkah masa yang dimaksudkan itu, Misha menyedut dan melepaskan nafasnya panjang.
"Cukuplah saya katakan, bahawa saya sangat gembira ketika ini. Jika ada yang bercerita, anggapan saya itu satu petanda yang baik. Telahan-telahan orang itu saya anggap sebagai doa.
"Saya tidak mahu berkahwin atas tekanan, saya mahu ia berjalan setenang-tenangnya. Sebelum ini pun saya pernah kecewa bercinta jadi dalam hati tetap ada bibit curiga," katanya.
|
|
Tidak mampu berlindung lagi di balik telunjuk, sepetang yang bening Khamis lalu, Misha mencurahkan rahsia hati. Benarlah, dia sedang meladeni semusim yang indah; musim cinta!
"Di hati yang dalam, saya sedang bahagia disayangi, dihormati dan dimanjakan. Layanan-layanan yang sebegitu menjadikan saya mudah terharu dan tersentuh. Dia mungkin orang yang tepat, mungkin juga jawapan kepada misteri hidup yang saya cari-cari selama ini.
"Orang boleh lihat kegembiraan saya dan bagi saya, itu tenaga yang saya peroleh daripadanya," buka si anak Kota Bharu, Kelantan ini ke sehelai lagi lembaran buku hatinya.
Siapakah 'dia' yang dimaksudkan Misha? Sehelai lagi halaman dirinya diselak. Kali ini, Misha sedikit berhati-hati, tidak mahu terburu-buru tidak juga terlalu ingin membongkar segala. Terlihat optimis dari raut wajanya.
"Dia lelaki biasa, seorang istimewa buat saya, saya sifatkan dia sebagai orang yang budiman," ringkas jawabnya, tidak mahu terus-terusan melayan perasaan.
2011 penghujung era 20-an
Puas membega-bega, mengacu-ngacu kisah personalnya, sang selebriti yang belum pudar sahamnya itu dialihkan sudut bicaranya. Kedatangan tahun baru yang sedang dilangkahi terkandung banyak rencana karier yang tidak pernah terhenti. Tempoh sembilan tahun bertahan gelaran anak seni, satu anugerah yang tidak bertepi. Tidak sekadar penyanyi, dia meluaskan bakat di pentas lakonan, teater dan pengacaraan.
"Tahun ini juga, saya memasuki usia 29 tahun, tahun akhir zaman 20-an saya. Rasanya ia masih satu permulaan yang baik. Di ambang 30-an ini, saya semakin yakin melangkah dan selesa menjadi diri sendiri.
"Setidak-tidaknya, saya tahu lantai ini sentiasa ada untuk saya berpijak, cuma kadang-kadang sahaja didatangi mimpi ngeri," katanya yang merancang tampil dengan sebuah album kompilasi berjudul Dia...Misha sekitar Januari ini.
Lebih daripada itu, album yang mengumpul senarai hits dendangannya itu turut dilengkapi tiga buah lagu baru, Detik Antara Waktu, ciptaan Rudy Mohamad, Berlalu (Wain Grdeon/Ad Samad) serta sebuah lagu lama nyanyian Alleycat, Kerana yang dinyanyikan semula.
Dalam perancangan yang telah disusun, album studio terbaru daripadanya juga bakal muncul. Memilih komposer unggul, M. Nasir sebagai Penerbit Eksekutif, album yang masih dalam perbincangan material itu juga menjadi sandaran kebangkitan Misha di arena seni suara.
Dalam watak Tun Dr. Hasmah
Selain album, kecintaan Misha terhadap pentas teater bersambung lagi. Selepas Uda & Dara, watak kecil dalam Muzikal Tun Mahathir 1, 2011 bakal mencabar kewibawaan Misha sebagai pelakon teater. Dia bakal menterjemah watak bekas wanita pertama Malaysia, Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali menerusi Muzikal Tun Mahathir 2 yang akan dipentaskan di Istana Budaya bermula 21 Januari nanti.
|
|
"Setakat ini, itu satu tugasan yang sukar tapi saya ada kelebihan kerana sudah berada dalam produksi itu tahun lepas. Saya masih mencari sisi-sisi lain Tun Dr. Hasmah yang boleh dikembangkan. Kalau boleh saya mahu menampakkan kelainan berbanding penghayatan yang pernah disaksikan melalui Erra Fazira sebagai pembawa watak itu ketika dipentaskan kali pertama dulu," katanya akan membawakan watak isteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau remaja.
Menoktahkan edisi sulung Sensasi Bintang 2011, figura muzik yang cukup dikenali dengan deretan hits, Bunga-Bunga Cinta, Dedebu Cinta, Pulangkan, Ku Seru dan Nafas Cahaya sengaja diusik tentang popularitinya.
Ibu angkat kepada Muhammad Adam Emir, 5, itu mengakui, sudah acap kali didatangi pertanyaan yang sama. Masih berduitkah dia, masih popularkah bahkan jentera Nissan Murano yang dipandunya turut menjadi persoalan. Mungkin pertanyaan-pertanyaan itu hadir ekoran kelibat Misha yang agak sepi daripada publisiti.
Tertawa kecil sebelum memikirkan bahasa paling mudah difahami, begini jawabnya:
"Saya masih bekerja dan ke mana pun saya berada, rasanya umum tahu 'pakej' saya. Saya selesa begitu, tidak terlalu mahu berada di depan jika tiada produk yang mahu dipersembahkan."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: