Monday, January 17, 2011

Menggigil jumpa mayat

PUCAT LESI...Masni dan Tina  jumpa mayat bayi hanyut ketika mandi.
PUCAT LESI...Masni dan Tina jumpa mayat bayi hanyut ketika mandi.

JOHOR BAHRU: Umpama nampak hantu, dua kanak-kanak perempuan menggeletar dan menangis selepas mendapati beg plastik hanyut di sungai yang mereka buka mengandungi mayat bayi dipercayai baru dilahirkan, bukan daging lembu seperti mereka sangka.

Dalam kejadian di tebing Sungai Danga di perkampungan Orang Asli, Kampung Bakar Batu, Taman Perling di sini, kira-kira jam 1 tengah hari semalam, Tina Paizal dan Masni John, kedua-duanya berusia sembilan tahun sedang mandi sebelum terlihat satu bungkusan beg plastik mencurigakan di tebing sungai.


Mereka menghampiri bungkusan plastik itu kerana menyangka ia mengandungi barangan berharga sebelum mendapati ia berisi benda seakan-akan daging.

Namun, mereka terkejut besar sebaik membuka beg plastik apabila nampak telinga bayi berkenaan, lalu terus berlari ke rumah dalam keadaan ketakutan.


“Saya ingat daging lembu, rupa-rupanya benda lain. Oleh kerana takut, kami terus berlari pulang ke rumah,” kata Masni yang masih trauma dengan kejadian itu.


Sementara itu, ibu Tina, Merah Lat, 28, pula berkata dia curiga dengan kelakuan anaknya yang pucat lesi dan menggeletar sebelum dimaklumkan penemuan mayat bayi berkenaan.“Sejurus sampai di rumah, mukanya pusat lesi dan badannya menggeletar ketakutan seperti ternampak hantu. Saya menenangkannya dan beberapa minit kemudian dia menceritakan apa sebenarnya berlaku.


“Kami ke lokasi kejadian dan mendapati dakwaan anak saya itu benar sebelum saya menghubungi polis,” katanya, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi berkenaan yang dipercayai perempuan dan masih lagi bertali pusat. “Mayat bayi itu dibungkus dengan surat khabar dan dimasukkan ke dalam plastik berwarna kuning sebelum dibuang ke dalam sungai.


“Polis tidak menemui sebarang kesan cedera pada mayat bayi itu yang sudah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: