MENYOROT setiap langkah anak seni ini, masih banyak yang tidak diungkap dan disembunyi kemas di dalam jiwanya. Episod cinta atau apa saja atas subjek cinta, awal-awal lagi bicara itu dihentikan. Mungkin bimbang timbul persepsi lain atau mahukan sedikit ruang buat dirinya bernafas sendirian.
Namun berlari atas paksi gelanggang seni mengheret status selebriti popular, ia bagaikan membenarkan setiap inci helaian peribadi itu diterjemah atas lembaran cerita untuk tatapan umum.
Mahu atau tidak, rela atau berat hati, hakikat tetap satu keperitan yang perlu ditelan. Mujur pengalaman lebih dua dekad berdiri sebagai anak seni, Nanu Baharudin akur dan pasrah.
Berselindung di sebalik tuturnya dan sesekali tampak bicaranya dengan cukup berhati-hati. Namun apa yang tersirat masih dapat dibaca. Mana tidaknya, aktres yang terkenal dengan lakonan hebatnya menerusi Imigran, Pontianak Harum Sundal Malam, Congkak dan 1957 Hati Malaya ini berbunga-bunga menceritakan ruang kosong jiwanya bakal diisi cinta baru.Bayangkan, di sebalik karakternya yang tegas, wajah jelita dan susuk tubuh yang masih cantik, anak kelahiran Kuala Lumpur berusia 41 tahun ini sempurna melalui diari hidupnya selaku ibu tunggal sepanjang 23 tahun. Satu tempoh yang panjang dan memberinya seribu satu dugaan namun jelasnya, status itu membuatkannya lebih kuat dan tabah membesarkan dua anak kesayangan, Mohd Ikhwan Saffiq, 24, dan Nur Iman yang kini baru berusia sepuluh tahun.
“Lebih dua dekad saya menyendiri membesarkan anak dan tumpuan kerjaya. Tidak langsung menjerat diri dengan apa saja komitmen cinta dan lelaki. Bukan kerana serik atau terlalu cerewet, sebaliknya bukan mudah mencari pengganti yang bakal menemani saya setiap masa, sedangkan selama ini saya selesa bersendirian dan menentukan warna hidup tanpa sebarang pimpinan lelaki bergelar kekasih atau suami.
“Tiada masalah besar saya membentuk dua anak serta keluarga. Percaturan kerjaya dan anak datang seiring dan alhamdulillah, Tuhan memberi saya kekuatan untuk terus berdiri perjuangkan bakat diberi.
“Saya pasrah dengan ketentuan dan tidak sesekali mempersoalkan perkara itu. Biarlah selama mana saya menjanda, yang penting anak bahagia dan kerjaya sentiasa terjamin.
“Namun bohong jika saya menafikan perasaan sepi dan sunyi itu. Ada kalanya perasaan itu datang membuai emosi yang bersarang. Memang rindu kembali menemani seorang teman setia, namun hingga kini insan itu belum datang mengetuk serius. Jika melihat pada wajah yang menghimpit, memang ramai namun belum satu pun yang benar-benar mencuri perhatian.
“Bagaimanapun, saya mengakui kini mengenali seseorang yang mungkin dapat saya simpulkan serasi dan punya kelebihan mendekati hati saya dengan kemas. Saya sukakan dia dan setakat ini kami hanya berkomunikasi melalui medium alam maya memandangkan dia jauh nun di sana.
“Jika benar hubungan ini berkekalan dan perasaan sayang mula menggantikan sapaan teman ini, saya tidak menyorok atau menolak apa saja andaian sekeliling kerana hubungan serius tidak mengikat saya untuk diam,” katanya.
Si empunya nama Sabaranu yang juga kelahiran Ipoh, Perak ini sekali lagi mengalih tumpuan dan meleret panjang senyumnya, seolah-olah enggan menceritakan lagi mengenai perasaannya yang terbang tinggi mengecapi kebahagiaan. Alasan bintang siri Spa Qistina ini, usah terlalu taksub berkongsi kisah cinta kerana tidak dapat pula kita mengagak apa berlaku di hari esok. Bimbang nanti, cerita yang dicanang tampak indah namun hakikat di dalam, sengsara sendirian.
“Penat sebenarnya bercerita soal jodoh sebab penghujungnya tiada jawapan konkrit mampu saya beri. Memang ada juga saya cuba menjalin hubungan, namun tidak menjadi.
“Cukup saya jelaskan ada seseorang cuba hinggap di pintu hati, namun belum pasti lagi sama ada terus ke dalam atau hanya tersidai di luar jendela saja. Tiada wanita yang nafikan kebahagiaan dan begitu juga dengan saya, cuma proses untuk sampai ke situ bukan mudah. Saya berhati-hati dalam soal itu. Setakat ini hubungan kami masih lagi teman dan mengenali antara satu sama lain.
“Entahlah apa yang membuatkan seseorang itu mampu menarik perhatian saya namun yang pasti, pada usia seperti ini dengan seribu satu pengalaman yang pernah saya tempuhi, saya inginkan lelaki matang, bijak dan menerima saya seadanya. Anak pun sudah besar dan sesekali mereka juga mengusik mengenai perancangan untuk saya berkahwin lagi. Insya-Allah jika ada jodoh nanti, ia akan tetap datang menanti,” katanya tersenyum.
Mengalih sembang kepada kerjayanya pasti mengundang rasa gembira pemenang anugerah Bintang Harapan di Festival Filem Malaysia ke-10 menerusi Rimba Malam. Buat pertama kali, jelas Nanu, laluan seninya kian berkembang dan empayar gelanggang seninya tidak lagi tertumpu berhias di depan lensa kamera semata-mata, sebaliknya bintang filem Cinta ini gigih mencuri ruang menguatkan sisi pengarahan dan pengurusan produksi bagi menjamin masa depannya.
Aktres yang kini sibuk di lokasi drama siri arahan Feroz Abd Kader berjudul Biar Rindu Berlalu terbitan Bright Networks Sdn Bhd untuk RTM berdebar-debar menantikan filem Haq yang bakal ditayangkan di pawagam pada 27 Januari ini.
Tidak hanya memikul tanggungjawab sebagai teraju utama, pemilik syarikat produksi Pure White Pictures yang sebelum ini menghasilkan drama seperti Di Situ Ada Cinta, Skandal Cinta dan Rindu Bertasbih yang juga arahannya sendiri ini terbabit secara keseluruhan selaku penerbit bersama.
Menelan perbelanjaan RM2.5 juta, Haq terbitan KasehDia Pictures Sdn Bhd dan arahan bersama CL Hong dan Jumaatun Azmi ini menggabungkan barisan pelakon hebat seperti Zulhuzaimy dan Ady Putra mengangkat subjek aksi yang penuh drama dan fantasi.
“Haq adalah naskhah tersendiri dengan memaparkan kisah dua beradik angkat yang dikurniakan kuasa istimewa seperti kisah komik.
“Wujud pula pertembungan hebat apabila seorang daripada dua beradik itu iaitu Badrul mendapat kuasa jahat yang cenderung dengan sikap tamak.
“Selain itu, diselitkan pula beberapa elemen drama, fantasi dan mainan emosi yang diterjemah dengan sempurna selari dengan konsep penceritaannya.
“Watak Zahra yang saya lakonkan bukan sembarangan karakter dan pertama kali saya disatukan dengan dua hero hebat yang membawakan dua karakter jauh berbeza.
“Saya bergandingan dengan Ady sebagai pasangan kekasih dan diakui memang kecoh diperkatakan mengenai babak panas membabitkan kami berdua dalam Haq. Lihat saja nanti apa yang dikatakan menarik itu.
“Jujurnya saya mengharapkan Haq mampu memancing perhatian kaki wayang untuk sama-sama menyokong filem ini kerana bukan setakat saya membintangi filem ini, sebaliknya saya percaya dan yakin dengan plot penceritaan yang dipertaruhkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: