Saturday, January 1, 2011

Mahu Tiru Aaron Aziz, Taufik Batisah Ingin Ke Malaysia

Taufik Batisah

PETALING JAYA: Penyanyi Singapura, Taufik Batisah, 29, bakal mengikut jejak langkah aktor Aaron Aziz apabila bercadang untuk mengembangkan karier nyanyiannya di Malaysia.

Menurut Taufik , dia ingin memberi nafas baru pada kerjayanya dengan menarik perhatian peminat-peminat muzik tempatan semula memandangkan dia pernah popular seketika sebelum ini dengan lagunya, Usah Lepaskan.

"Insya-Allah, tahun depan saya akan turun ke Malaysia untuk memulakan karier nyanyian saya. Bukan setakat menyanyi, bahkan saya juga akan cuba berlakon dengan produksi-produksi tempatan, walaupun saya tak pernah menerima sebaran tawaran berlakon di sini (Malaysia) sebelum ini.

"Penghijrahan ini bukan kerana tidak ada tawaran kerja di Singapura, tetapi saya cuma ingin mengembangkan lagi bakat yang ada.

"Setakat ini, di Singapura, saya kurangkan aktiviti nyanyian dan fokus dengan lakonan dimana saya berlakon dalam teater muzikal yang berjudul, Fried Rice Paradise.

"Biasalah, di Singapura, pasaran industri hiburan kecil. Jadi, penghijrahan saya di Malaysia mungkin memberi lebih rezeki buat saya," katanya.

Taufik bersama Amy Search pada Konsert Gempak Astro Revo, baru-baru ini.

Tambah bekas juara Singapore Idol ini, dia berharap, kehadirannya ke industri hiburan tempatan diterima dengan hati terbuka oleh para penggiat dan peminat seni tanah air.

Dalam pada itu, Taufik tidak takut jika peminat-peminat di Singapura memarahinya berhijrah Malaysia kerana dia percaya peminat-peminatnya pasti faham dengan impian yang ingin dikecapinya.

"Setiap orang mempunyai "lubuk" rezeki masing-masing dan begitu juga dengan saya. Tetapi saya tetap akan menerima tawaran di Singapura sekiranya ada dan ia terpulang kepada jadual.

"Memandangkan sudah hampir tiga tahun saya tidak ada album baru, tahun 2011 mungkin membuka peluang untuk saya membikin album baru atau sebagai permulaan, saya keluarkan dengan single dahulu di mana saya sendiri yang mencipta lagu tersebut," ujarnya yang akan berkahwin dalam jangka masa empat tahun lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: