KUALA LUMPUR: Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Ahmad Puad Onah yang diberi mandat oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebagai penganjur baru Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) bertekad untuk memperbaiki segala kelemahan dan sekali gus meningkatkan mutu penganjuran festival itu.
Menurut Ahmad Puad, sebagai langkah permulaan, dia akan mengadakan perjumpaan dengan ahli persatuan itu dalam masa terdekat bagi membincangkan dengan terperinci mengenai perkara tersebut.
"Saya akan mengadakan mesyuarat bersama ahli persatuan dalam masa terdekat bagi melantik jawatankuasa khas dan berbincang dengan lebih terperinci mengenai penganjuran festival ini.
"Banyak perkara yang perlu kami semak termasuklah aspek majlis, kategori yang dipertandingkan, lokasi, bajet dan sebagainya.
"Saya akui ia bukan tugas yang mudah tetapi kami bersedia menyahut cabaran ini," katanya yang ditemui pada majlis penyerahan replika cek kos penganjuran FFM24 pada tahun ini di Kompleks Studio Merdeka, Finas, di sini, Isnin.
Tambah Ahmad Puad, kepercayaan yang diberikan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan standard anugerah itu, sekali gus menjadi penanda aras yang baru pada pembangunan industri filem tanah air.
"Apa jua kekurangan dan kelemahan daripada festival-festival sebelum ini akan kami semak dan perbaiki. Kami akan meneliti sama ada semua kategori yang sedia ada perlu ditambah, dibuang atau dipinda bergantung pada kesesuaian.
"Kita juga akan mempertimbangkan sama ada untuk terus mengekalkan penyertaan filem-filem berbahasa Malaysia saja atau membuka pada filem-filem Mandarin dan Tamil tempatan.
"Mungkin juga kami akan membuka penyertaan kepada pelakon-pelakon Singapura pada FFM24. Semua ini akan dilaksanakan selepas mendapatkan pandangan menyeluruh daripada pihak kerajaan, Finas dan media," katanya.
Pada tahun lalu, pihak Finas dikritik hebat apabila banyak keputusan mengenai pemenang FFM23 dipertikaikan banyak pihak.
Mengulas mengenai replika cek bernilai RM1 juta sebagai simbolik kepada kos penganjuran festival itu, Ahmad Puad berkata, jumlah yang diperuntukkan itu sebenarnya tidak mencukupi.
Memandangkan jumlah yang diperuntukkan untuk trofi dan wang tunai kepada para pemenang saja mencecah hampir setengah juta, baki daripada dana tersebut adalah tidak memadai bagi menampung kos keseluruhan penganjuran acara berprestij itu.
"Kalau diikutkan jumlah RM1 juta itu adalah tidak memadai untuk menganjurkan FFM. Berdasarkan pengalaman daripada penganjuran yang sudah-sudah, kos keseluruhan FFM adalah di antara RM1.8 juta hingga RM2 juta.
"Kami perlu mencari sebarang bentuk penajaan bagi merealisasikan tugas ini, tidak kiralah sama ada dalam bentuk lokasi, wang tunai atau barangan," katanya.
Ahmad Puad turut berkata, walaupun Gafim dilantik sebagai penganjur FFM, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Finas dan persatuan yang berkaitan bagi melancarkan penganjuran festival itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim berkata, penyerahan tugas menganjurkan FFM kepada Gafim sebenarnya sudah dibincangkan sejak akhir tahun lalu lagi.
Sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan mutu penganjuran FFM, sudah tiba masanya acara itu dikendalikan sendiri oleh penggiat industri.
Selepas mendapat persetujuan daripada kementerian, Gafim telah dimaklumkan mengenai penyerahan tugas itu dan hanya menunggu waktu yang sesuai bagi mengumumkannya.
"Sebenarnya kami sudah berbincang sejak akhir tahun lalu lagi. Selepas mendapat keizinan daripada menteri, Finas sudah berjumpa dengan Gafim untuk memaklumkan hal ini.
"Sudah tiba masanya festival ini dianjurkan oleh penggiat filem sendiri. Finas bagaimanapun akan memantau dan terus membantu apa yang perlu," katanya.
FFM24 yang bakal diadakan pada sekitar bulan Oktober depan dan dijangka akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: