Tuesday, January 18, 2011

Kereta Farhan AF4 Ditemui Belakang Balai Polis

KUALA LUMPUR: Penyanyi Akademi Fantasia keempat (AF4) Nur Farhan Azizan,27, atau Farhan (gambar) yang begitu trauma selepas dua kali rumahnya di pecah masuk berasa lega apabila keretanya yang hilang akibat kejadian itu telah ditemui kira-kira dua bulan lalu.

Kata Farhan, kereta jenis Naza Citra yang dibeli hasil wang nyanyiannya ditemui oleh pihak polis di belakang balai polis Jalan Pudu di sini.

“Saya amat bertuah, kereta yang hilang “datang” balik. Inilah rezeki namanya,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam anjuran Lords’ Tailor di sini malam Ahad.

Dalam kejadian pada Julai tahun lalu, rumah penyanyi itu di Pandan Indah di sini di pecah masuk ketika dia dan keluarga keluar makan menyebabkan dia kerugian kira-kira RM20,000 apabila barang kemas dalam rumah berkenaan dicuri.

Lebih malang lagi dua bulan selepas itu, rumahnya sekali lagi di ceroboh menyebabkan kereta jenis Naza Citra miliknya telah dilarikan.

Kata Farhan, dia begitu gembira kerana kereta berkenaan ditemui oleh pihak polis dalam keadaan sempurna kerana aksesori kereta luar dan dalam tidak diambil oleh pencuri.

“Pihak polis beritahu saya, mereka mengesyaki kereta itu ditinggalkan pencuri kerana mendapati ia tersadai dalam tempoh tertentu sehinggalah selepas membuat pemeriksaan mendapati ia kereta yang saya laporkan hilang,” katanya.

Ditanya adakah dia masih trauma selepas dua kali kejadian pecah masuk rumahnya itu berlaku, Farhan menjelaskan dia sudah dapat berhadapan dengan situasi cemas seperti itu.

Tambahnya, kawasan perumahan yang didiaminya sejak lima tahun lalu tersebut sentiasa mendapat pengawasan pihak polis selain sudah mempunyai pengawal keselamatan.

Walau bagaimanapun kata Farhan, dia tetap berhati-hati dan berharap kejadian seumpama itu tidak terus berulang.

“Walaupun fobia saya sudah hilang tetapi saya tetap akan berjaga-jaga agar perkara yang sama tidak berlaku lagi,” katanya yang turut ditemani ibu tersayang, Maniza Abdul Wahid yang berusia 46 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: