KEGIGIHAN dia bersenam mungkin memalukan ramai ahli sukan.
Tidak hairanlah jika tidak kelihatan lemak pada tubuh Kate Middleton yang sememangnya kurus.
Bagaimanapun, menurut sumber istana, tunang Putera William itu bimbang kemungkinan dia akan hilang bentuk badannya sama sekali.
Kemunculan Kate, 29, di majlis perkahwinan seorang rakan baru-baru ini mencetuskan kebimbangan mengenai masalah berat badannya. Dia didakwa sudah menempah pakaian pengantin untuk perkahwinannya pada 29 April depan tetapi risau ia terlalu besar untuknya pada hari itu kelak.
Dengan ketinggian 178 sentimeter dan berat kira-kira 51 kilogram serta memakai baju saiz enam ketika ini, Kate berhasrat untuk memakai baju saiz tujuh pada majlis perkahwinannya.
"Berat badannya turun, lebih-lebih lagi dengan kesibukannya ke sana sini untuk merancang perkahwinannya. Tetapi dia bimbang akan terlalu kurus menjalang hari perkahwinannya. Kerana itu dia sekarang memakan makanan yang lebih banyak karbohidrat."Dia tidaklah sampai mengambil semangkuk besar spaghetti. Makanan yang dimakannya ketika ini banyak tertumpu pada roti gandum, kek oat, bubur dan bijirin," kata satu sumber kepada majalah Now.
Menurutnya, Kate kini mendapatkan khidmat pakar makanan untuk memperkenalkan lebih banyak karbohidrat dalam dietnya dan dinasihatkan makan lima hingga enam kali sehari dalam usaha memastikan berat badannya berkekalan sambil dia bersenam dan berkejar ke sana-sini."Dia tetap dengan senamannya, berlari dan berbasikal tapi mahu mengekalkan bentuk badannya.
"Bagi seseorang yang aktif macam Kate, bukan sesuatu yang mudah untuk menambah berat badan. Dia kelihatan membakar kalorinya walaupun tanpa mencuba. "Tetapi, dia juga sedar dengan berat badan yang tidak mencukupi akan menjejaskan kesuburannya. Melahirkan seorang pewaris menjadi keutamaan bagi seorang bakal permaisur," kata sumber itu. Pihak istana enggan mengesahkan sama ada Kate mendapatkan khidmat pakar untuk membantu diet dan senamannya dengan berkata, ia tidak mengulas mengenai masalah peribadi.
Majalah Grazia minggu lalu mendakwa, berat badan Kate turun tujuh kilogram sejak 10 bulan lalu.
Menurutnya, keadaan fizikal Kate turut disedari oleh pihak istana.
"Semua orang tahu Diana mempunyai masalah makan dan mereka tidak mahu Kate juga berdepan dengan masalah yang sama," kata satu sumber kepada majalah itu, merujuk kepada pengakuan mendiang ibu William bahawa dia menderita akibat bulimia selepas berkahwinan dengan Prince Charles.
Buat masa ini, tidak ada tanda-tanda menunjukkan Kate menghidap masalah sama.
Dalam pada itu, Kate dikatakan tidak akan mengumumkan siapa yang akan mereka dan membuat pakaian pengantinnya, sehingga majlis itu berlangsung kerana ia mahunya menjadi kejutan kepada William.
Jurucakap Istana memberitahu vogue.com: "Kami tidak ada apa-apa yang hendak diumumkan mengenai pakaian pengantin di raja buat masa ini. Kate mahu menjadikannya kejutan untuk William. Kerana itu, kami hanya akan mengumumkannya pada hari berkenaan. Ia mungkin berubah tetapi setakat ini, itulah yang boleh kami katakan kepada anda." Laporan sebelum ini menyatakan, Kate memilih pereka Britain, Bruce Oldfield untuk membuatkan pakaian pengantinnya selepas seorang lagi pereka, Ben de Lisi berkata, dia tahu mengenainya.
"Saya dimaklumkan Bruce Oldfield mendapat tugasan itu. Saya pasti saya tidak akan dipilih," kata Ben de Lisi.
Awal bulan ini, ibu dan adik Kate dilihat mengunjungi pejabat Bruce di London.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: