Friday, January 21, 2011

Karya sulung Ismail Man




CINTA mempunyai seribu makna yang sukar diungkap dengan kata-kata. Ia merupakan satu anugerah istimewa kepada umat manusia.

Perkataan cinta itu mampu menggoncang kalbu setiap insan bergelar manusia dalam mengharungi liku-liku kehidupan mereka.

Penangan cinta begitu hebat malah berupaya merubah seseorang seperti terapung-apung di awangan akibat terlalu bahagia kerana dipanah cinta.

Kehadiran cinta dalam hidup seseorang dapat menjelmakan perasaan sempurna dan ingin hidup bersama buat selama-lamanya.

Bagaimanapun, seseorang boleh merana dan berduka lara apabila dikecewakan oleh cinta ini.

Mereka akan berasa bak nafas terhenti dan jiwa lompong apabila kehilangan cinta dalam hidup.

Pengalaman kekecewaan seorang siswi akibat putus cinta juga telah menjadi sumber inspirasi kepada seorang lelaki bernama Ismail Man, 51, dalam penghasilan sebuah karya cinta berjudul, Hembusan Rindu.

Masih segar dalam ingatan Ismail, kedengaran raungan yang amat kuat bersebelahan rumahnya sewaktu bertugas sebagai felow di Kolej Zaaba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak beberapa tahun lalu.

“Sudah menjadi lumrah seorang felow untuk memastikan kebajikan siswi-siswi apabila mereka berdepan dengan sebarang masalah ataupun sakit.

“Apabila mendengar raungan tersebut saya telah bergegas ke rumah sebelah untuk melihat keadaan siswi berkenaan tetapi apabila melontarkan soalan kepada teman serumahnya dia hanya memberitahu saya tidak dapat membantu,” ujarnya mengimbas detik cemas itu.

Ismail agak pelik dengan jawapan siswi tersebut lalu terus bertanyakan mengapa dia tidak dapat membantu pelajar itu.


HEMBUSAN RINDU merupakan karya cinta pertama Ismail yang diterbitkan tahun lalu.


Siswi putus cinta

Dengan jawapan ringkas, dia memberitahu kawannya meraung disebabkan putus cinta.

“Senario tersebut merupakan titik perubahan kepada diri saya untuk menghasilkan manuskrip novel pertama berjudul Hembusan Rindu pada tahun 2007.

“Rentetan pengalaman menjadi felow dari tahun 2002 sehingga 2007 di kolej kediaman berkenaan turut diolah menjadi rencah manuskrip novel tersebut,” ujarnya ketika ditemui di UPSI baru-baru ini.

Selain itu, Ismail yang kini menjawat jawatan Timbalan Pendaftar UPSI menambah, dia turut mendapat sokongan keluarga dan rakan-rakan untuk menyiapkan novel pertamanya.

Antara rakan-rakan yang memberi sokongan termasuklah Dr. Johari Ab. Hamid atau lebih dikenali sebagai Izzah Joelati, Siti Zabeha Ibrahim dan Hasrina Baharum.

“Dalam penghasilan manuskrip berkenaan saya akan memilih waktu menulis di antara pada pukul 3 pagi hingga 5 pagi kerana suasana lebih tenang dan mudah melontarkan idea pada waktu itu untuk menghasilkan karya cinta.

“Saya mengambil masa kira-kira satu tahun untuk menyiapkan manuskrip berkenaan sebelum ia diterbitkan pada tahun 2010,” kata lelaki yang meminati membaca novel karya tempatan dan luar negara ketika menuntut di tingkatan enam lagi.

Bapa kepada lima cahaya mata itu memberitahu, cabaran yang perlu dihadapi ketika menyiapkan manuskrip berkenaan adalah keterbatasan masa.

“Saya mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan manuskrip berkenaan kerana terikat dengan tugas hakiki dan perlu mencuri masa mengolah idea.

“Penutup novel berkenaan juga agak mencabar kerana ingin menggunakan kaedah drastik yang boleh memberikan impak kepada pembaca,” ujarnya.


NOVEL Hembusan Rindu berkisar mengenai dua watak utama Diana dan Daniel yang sanggup menggadai nyawa untuk menyelamatkan insan yang dikasihi.


Menonton novel cinta

Selain itu, dia juga perlu menjiwai setiap watak-watak utama dalam novel berkenaan agar ia kelihatan realistik apabila dibaca oleh pembaca.

Beliau juga banyak menonton drama dan novel cinta untuk menjiwai watak-watak tersebut.

Ismail yang merupakan Bendahari Persatuan Penulis Budiman (BUDIMAN) menambah, ramai juga yang tidak percaya dan terkejut apabila beliau berjaya menghasilkan sebuah novel cinta.

“Mungkin disebabkan saya lebih gemar menulis penulisan patriotik dan rencana di UPSI berbanding mengolah cerita cinta.

“Saya juga tidak menonjol diri dan tidak memberitahu orang sekeliling mengenai penghasilan manuskrip Hembusan Rindu kecuali kepada keluarga dan rakan terdekat sahaja,” katanya.

Bercerita mengenai novel pertamanya, Ismail berkata, beliau sangat teruja dan gembira apabila novel berkenaan menemui pembaca kerana telah menunggu kira-kira dua tahun penerbitan Hembusan Rindu.

“Saya telah menghantar manuskrip berkenaan pada tahun 2007 dan 30 Julai tahun lalu merupakan detik bersejarah apabila ia diterbitkan.


PENGALAMAN sebagai felow di Universiti Pendidikan Sultan Idris menjadi salah satu intipati novel Hembusan Rindu.


“Novel Hembusan Rindu berkisar mengenai dua watak utama iaitu Farah Diana Ahmad Tajuddeen dan Daniel Haji Zainuddin. Mereka sanggup menggadai nyawa untuk melihat orang yang disayangi dapat diselamatkan,” katanya.

Dalam novel berkenaan, Ismail juga menerapkan mengenai seni mempertahankan diri seperti silat Serimau Hitam Perak dan Silat Cekak Malaysia.

Katanya, orang ramai terutamanya golongan wanita perlu mempunyai asas seni pertahanan diri untuk menjaga keselamatan dan kehormatan mereka.

“Dalam pada itu, saya juga menyelitkan agar jangan menghampiri zina dan sebagainya kerana bimbang dengan keadaan sekarang yang banyak melibatkan kes pembuangan bayi.

“Ia perlu diberi pendedahan agar perbuatan ini dapat dibendung untuk memastikan kes pembuangan bayi tidak berulang kembali,” katanya.

Ismail yang menganggap penulisan sebagai hobi dalam perancangan membuat manuskrip cerpen pada tahun ini.

“Saya berharap manuskrip cerpen dapat disiapkan dan diterbitkan dalam masa terdekat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: