
PUSAT Pengajian Layanan, Pelancongan & Seni Kulinari Universiti Taylor's (TCHT) diberi pengiktirafan apabila menerima Anugerah Kehormat 2010-2012 Hospitality Asia Platinum Awards (HAPA) Malaysia Ke-9 yang berlangsung baru-baru ini.
Disifatkan sebagai anugerah Oscars dalam industri layanan, tahun ini anugerah tersebut menerima lebih 600 pencalonan daripada pelbagai pertubuhan.
Dekan TCHT, A.R. Neethiahnanthan yang menerima anugerah berkenaan bagi pihak Universiti Taylor's turut melahirkan ucapan terima kasih kepada HAPA kerana mengiktiraf dedikasi dan usaha gigih Taylor's yang menjangkau suku abad.
"Kami di Universiti Taylor's TCHT benar-benar merasa bangga apabila dipilih sebagai pusat pengajian layanan yang terulung di Malaysia.
"Dalam langkah kami memasuki tahun ke-25 menyediakan perkhidmatan untuk industri pendidikan dan hospitaliti, kami kini lebih bersemangat untuk mara ke depan dan terus meningkatkan tahap kecemerlangan, dari segi akademik dan profesional," kata Dekan TCHT, A.R. Neethiahnanthan.
Di samping itu, beliau juga merakamkan penghargaannya kepada tenaga pengajar dan kakitangan TCHT yang komited untuk membolehkan mereka mencapai kejayaan tersebut.
Timbalan Naib Canselor Universiti Taylor's, Pradeep Nair pula menyifatkan tahun 2010 sebagai tahun yang cemerlang. Menurutnya, Anugerah Kehormat HAPA melakar satu lagi kejayaan bagi Taylor's yang baru sahaja mendapat status universiti pada bulan September lalu.
"Selama 24 tahun Taylor's TCHT telah menjadi pemimpin dalam pendidikan dan latihan layanan dan pelancongan. Sebagai pusat pengajian pengurusan layanan dan pelancongan yang terbesar dan paling terkenal di Asia Tenggara, TCHT berbangga dengan kejayaannya melahirkan graduan berkaliber tinggi dan bersedia untuk menceburi industri dan memberikan prestasi yang baik dalam bidang kepakaran mereka.

"Kami juga adalah penerima Anugerah Pusat Pengajian Layanan Terbaik HAPA bagi Tahun 2007-2008. Justeru, anugerah ini membuktikan bahawa Taylor's mempunyai keupayaan, kesungguhan dan kegigihan untuk melahirkan graduan bermutu tinggi untuk industri layanan," tambahnya.
Dimulakan sejak lapan tahun lalu, Anugerah Platinum Asia Layanan (HAPA) diadakan dua tahun sekali dengan matlamat untuk menyokong dan mengiktiraf kecemerlangan industri di Asia. Majlis penyampaian anugerah itu telah menjadi acara yang dinanti-nantikan kerana HAPA memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada tokoh dan institusi yang banyak berjasa kepada industri layanan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: