TEGAS...di sebalik kelembutan wajahnya, Zainah sangat tegas dalam menyelesaikan tugasan di pejabat.
RIAK wajahnya penuh kelembutan. Bual bicaranya disulam senyuman bak seorang ibu melayan anak atau kakak melayan adik.
Dari segi luaran dia nampak tegas tetapi sesiapa juga yang mengenali wanita pertama dalam Penjara Wanita Kajang, PKP Zainah Pardi, pasti mengakui sifat berhemah serta boleh bertolak ansur yang dimiliki wanita kelahiran Nilai, Negeri Sembilan ini.
Sifat keterbukaan serta sering mendengar masalah kaki tangan bawahan menyebabkan dia cukup disenangi di kalangan staf Penjara Wanita Kajang. Baginya, tanpa pekerja bawahan, semua tugas yang dijalankan tidak bermakna. Pekerja dan ketua saling memerlukan ibarat aur dengan tebing bagi melengkapi peranan masing-masing dan memberikan yang terbaik kepada syarikat atau pertubuhan yang diwakili mereka.
Memegang jawatan sebagai Pengarah Penjara Wanita Kajang bermula Februari 2007. Sebelum itu, Zainah menyandang tugas sebagai Penguasa Penjara di Jabatan Penjara Malaysia pada 2000 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Penjara Wanita.Zainah memberitahu, sebagai ketua kepada semua banduan wanita, tanggungjawabnya sangat berat. Ini kerana, selain memastikan keselamatan dalam penjara terjamin, dia juga perlu mengembalikan keyakinan masyarakat mengenai fungsi penjara dalam memulihkan sikap banduan supaya mereka berubah menjadi manusia yang lebih bertanggungjawab.“Ini adalah cabaran paling besar sebagai orang tertinggi dalam penjara wanita. Masyarakat tidak tahu apa yang berlaku di dalam jeriji besi dan apabila keluar, ada di kalangan banduan beralih kepada perbuatan lama mereka. Sudah tentu ini memberi cabaran kepada saya serta kakitangan yang lain bagi membentuk banduan menjadi insan berguna serta tidak mengulangi kesilapan lama,” katanya.
Justeru, aspek keagamaan seperti pendekatan halaqah, solat serta membaca al-Quran diberi penekanan termasuk aktiviti kemahiran seperti jahitan, membuat kuih, dobi dan urutan dan spa diberikan kepada banduan bagi memastikan selepas keluar, mereka boleh melakukan sesuatu yang sesuai dengan kemahiran mereka.
“Memulihkan sikap banduan bukanlah sesuatu yang mudah, namun saya cuba melakukan yang terbaik dengan menyediakan pelbagai program berkaitan terutama dari segi kemahiran serta keagamaan,” katanya.
Menurut Zainah, sejak mula dilantik sebagai pengarah, dia agak gusar memikirkan tanggungjawab yang harus dipikul. Selama ini lelaki sering beranggapan wanita tidak sesuai menjadi ketua dan hanya mengharapkan bantuan lelaki.
Justeru, dengan pelantikan ini, dia mahu membuktikan wanita juga mampu memegang jawatan penting dan memastikan semua program di bawah kelolaannya berjalan lancar.
“Memang di mana-mana sekali pun jantina sering dijadikan ukuran. Pada hal wanita sekarang lebih berdaya saing dan kuat bekerja seperti lelaki. Cuma mereka jarang diberi peluang disebabkan anggapan bahawa mereka lemah serta tidak boleh memimpin,” katanya.
Buktinya sepanjang empat tahun menjadi pengarah, antara perubahan membanggakan dilakukan Zainah ialah menambah kemahiran untuk banduan daripada tiga kepada sembilan kemahiran, menaik taraf tempat perjumpaan banduan, membuka spa untuk orang ramai, menjadikan persekitaran berkualiti serta suasana bekerja lebih mesra dan ceria sehingga memperoleh Anugerah Keceriaan Pejabat dan Johan Perkhidmatan Pelanggan pada 2010.
Bagi Zainah, kredibiliti seseorang dapat dilihat dari segi perubahan positif yang dilakukan dan bukan hanya pada omongan kosong saja. Melihat keadaan sekarang di mana wanita masih lagi menjadi mangsa penindasan, Zainah menyeru agar wanita menjadikan pendidikan sebagai asas utama dan tidak hanya berharap kepada lelaki untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ini kerana hanya dengan ilmu dan keyakinan diri saja mampu mengangkat martabat wanita supaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki.
“Namun ini tidak bermakna wanita tidak memerlukan lelaki, cuma hanya dengan pendidikan saja mampu mengelak wanita daripada menjadi mangsa penderaan atau penindasan mereka,” jelasnya yang sangat mengagumi ketokohan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas idea serta gagasan sehingga membawa Malaysia berada pada tahap sekarang.
Berpegang kepada prinsip melakukan sesuatu sehingga berjaya, wanita keempat dilantik sebagai Pengarah Penjara Wanita Kajang ini berharap akan ada lebih banyak penjara wanita dibuka mengikut zon bagi memastikan aktiviti dapat dilaksanakan secara teratur, juga membuktikan kakitangan wanita juga mampu melakukan seperti mana lelaki.
“Banduan adalah pesalah yang ditempatkan di penjara. Tidak kira sama ada mereka lelaki atau wanita, seharusnya mereka mendapat peluang untuk memperbaiki kehidupan. Mungkin mereka tersalah pilihan dan ingin kembali ke pangkal jalan. Sebagai anggota masyarakat, kita harus menerima mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat,” katanya.
Melihat kepada perwatakannya yang tegas dan penuh berhemah menurut Zainah, sejak kecil dia sudah diasuh menjadi seorang yang berdisiplin terutama hal berkaitan agama. Justeru, pendekatan menggunakan rotan sangat berkesan bagi memastikan Zainah serta adik-beradik yang lain menjalankan tanggungjawab sebagai anak dan pelajar ketika itu.
“Sekarang barulah saya sedar didikan keluarga yang amat mementingkan disiplin mampu membentuk peribadi mulia kepada saya serta adik-beradik yang lain. Ini kerana didikan menggunakan rotan memberikan keinsafan kepada anak-anak supaya tidak mengulangi perbuatan yang tidak sepatutnya,” katanya.
Mengambil pendekatan keluarga terutama ayahnya dalam mendidik anak-anak mendorong Zainah serta suaminya, Wan Shuib Wan Ahmad menerapkan cara yang sama kepada empat anaknya iaitu Wan Khairunnisa, 16, Wan Muhammad Izzuddin, 13, Wan Muhammad Naqiuddin, 10, dan Wan Muhammad Nursyakirah, 7, terutama pendidikan agama.
Ini kerana pada zaman sains dan teknologi, cabaran ibu bapa sangat besar. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkan masa depan anak-anak sama ada mahu menjadi kain putih, hitam atau sebaliknya.
“Saya sangat mementingkan disiplin kepada anak-anak. Mungkin kerana cara didikan keluarga menyebabkan saya menggunakannya pula kepada anak-anak. Memang ada ibu bapa berasakan rotan tidak lagi sesuai pada zaman moden ini, namun itu terpulang kepada cara masing-masing.
“Bagi saya, itu saja pendekatan paling berkesan untuk mendidik anak-anak selain menerapkan mereka dengan ilmu agama serta pengajian al-Quran bagi menguatkan kerohanian mereka,” katanya.
Melihat waktu bekerjanya yang padat bermula awal pagi dan berakhir sehingga petang, malah seminggu sekali dia dimestikan melakukan rondaan bermula jam 12 tengah malam sehingga jam 5 pagi.
Bagi Zainah, sebagai ketua, isteri dan ibu, pembahagian masa sangat penting untuk memastikan semua tugas dapat dilakukan dengan sempurna.
Dia bersyukur kerana suami sangat memahami dan turut membantu meringankan bebanan isteri. Bagi memastikan semuanya berjalan lancar sama ada tugas di pejabat atau di rumah, Zainah menyelesaikan semua urusan dapur manakala hal anak-anak diambil alih suami.
“Dengan pembahagian tugas sebegini, semua kerja dapat dilakukan dengan lancar manakala pelajaran anak-anak tidak terabai memandangkan suami bertugas di pejabat pendidikan daerah dan tentunya lebih tegas dan arif mendidik anak-anak,” katanya.
Sukakan aktiviti lasak, wanita yang dilahirkan pada 17 Oktober 1965 ini gemar bersantai bersama keluarga di rumah atau bermain badminton bersama suami dan anak-anak. Baginya, masa senggang adalah kepunyaan suami dan anak-anak, justeru dia akan memastikan dapat meluangkan masa bersama keluarga sekurang-kurangnya pada hujung minggu.
“Jika diikutkan masa memanglah tidak mencukupi. Namun saya akan pastikan pada hujung minggu dapat bersantai bersama keluarga kerana inilah saja masa berharga bersama mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: