Saturday, January 22, 2011

Ferrari bekas Presiden Tunisia dicuri


GAMBAR fail menunjukkan Zine El Abidine Ben Ali dan isterinya dalam satu kempen pilihan raya presiden di Tunis pada 11 Oktober 2009.


TUNIS - Sebuah kereta mewah Ferrari 599 GBB Fiorano bernilai AS$199,189 (RM610,514) milik bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dicuri dengan menggunakan sebuah forklift, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang pencuri yang mengendalikan forklift itu sempat tersenyum ketika membawa kereta curi tersebut di lebuh raya pada waktu tengah hari.

Imej kereta sport itu dicuri boleh dilihat di laman YouTube.

Isteri bekas presiden itu, Leila Trabelsi yang berusia 53 tahun dikenali kerana sangat menyukai kereta-kereta mewah.

Keluarganya dikatakan memiliki lebih 50 buah kereta yang disifatkan sebagai simbol penting perbuatan rasuah.

Digelar sebagai Imelda Marcos dunia Arab, bekas pendandan rambut itu juga memiliki banyak rumah mewah dan sering membeli-belah di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan menghabiskan ratusan ribu dolar.

Sejak Zine El Abidine melarikan diri dan tinggal dalam buangan di Arab Saudi, keadaan di bandar Tunis, Tunisia masih belum aman sepenuhnya.

Para penunjuk perasaan dilihat mencium anggota tentera dan meletakkan bunga di atas kereta-kereta kebal selepas Zine El Abidine melarikan diri pada minggu lalu.

Pentadbiran baru yang dipimpin oleh presiden sementara, Fouad Mbazaa menjauhkan dirinya daripada rejim Zine El Abidine dan mula membebaskan 1,800 banduan.

Selepas Zine El Abidine meletakkan jawatan dan melarikan diri itu, Tunisia mengumumkan aset-aset yang dimiliki oleh bekas presiden tersebut akan disiasat.


IMEJ di YouTube menunjukkan sebuah forklift mengangkut kereta Ferrari milik bekas presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali.


Sebelum ini isteri Zine dilaporkan membawa jongkong-jongkong emas bernilai AS$55.7 juta (RM171 juta) yang diperolehi dari Bank Negara Tunisia semasa melarikan diri.

Selain itu, para pegawai-pegawai pemerintah turut dikatakan telah menyimpan hampir AS$618 juta (RM1.89 bilion) di dalam akaun-akaun rahsia di bank Switzerland.

Walaupun Zine El Abidine yang berkuasa selama 23 tahun itu telah tumbang, penunjuk perasaan menuntut rakan-rakan presiden tersebut supaya melepaskan jawatan.

Zine meletakkan jawatan dan melarikan diri selepas sejumlah penunjuk perasaan mendesaknya berbuat demikian ekoran masalah pengangguran, rasuah dan sekatan kebebasan bersuara di negaranya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: