Monday, January 24, 2011

DJ Fuzz luah pandangan peribadi


DJ FUZZ bersama album terbarunya Mixologi 3.


MENGGALAS tanggungjawab sebagai disc jockey (DJ) tidak dinafikan sering dihadap pertuduhan kurang enak oleh segelintir pihak. Terlibat dalam pengambilan alkohol atau penyalahgunaan dadah, itu antara persepsi biasa dilemparkan buat individu yang menggesek jemari-jemari di atas piring hitam bermain instrumen turntable.

Kononnya, energi yang dimiliki oleh DJ sewaktu mengadakan persembahan di pusat-pusat hiburan kebiasaannya ‘ditemani’ oleh alkohol dan dadah. Maka, tidak hairanlah apabila mereka boleh bertahan dalam tempoh panjang sehingga mencecah dinihari bagi menghidangkan hiburan berterusan kepada pengunjung.

Biar apa jua tanggapan segelintir umum terhadap luaran negatif kerjaya tersebut, yang pasti, salah seorang DJ terkenal dalam arena muzik hip hop, DJ Fuzz, 33, bagaimanapun meluah pendapat peribadi bahawa bukan keseluruhan DJ mengamal gaya hidup Barat dengan meminum arak dan menggunakan dadah.

“Terus terang, saya jarang dengar cerita golongan DJ mengambil dadah sewaktu menjalankan kerja. Tetapi, pada waktu sama, orang lain kena faham persekitaran kelab malam yang menjalankan bisnes masing-masing dengan menghidangkan minuman beralkohol kepada pengunjung di premis mereka setiap waktu.

“Paling jelas, DJ tidak ada kena mengena dengan pengambilan minuman keras atau dadah tambahan pula mereka sekadar datang di pusat-pusat hiburan untuk melakukan tugas. Saya sendiri tidak meneguk arak biarpun lama berkecimpung dalam bidang ini kerana masih tahu batasan tertentu.

“Saya mengamal prinsip kalau tengah bekerja dan mengendalikan turntable, minuman alkohol pengunjung harus berada jauh daripada mesin mixer saya. Ini melibatkan soal kerja sekali gus mata pencarian saya. Lantaran itu, saya harus memastikan diri tidak terpengaruh dengan perkara yang dilarang keras ini.

“Begitupun, ini semua bergantung kepada individu. Cuma, sekali lagi, saya ingin menegaskan, tidak semestinya DJ kena mengambil alkohol dan mabuk sewaktu menjalankan tanggungjawab mereka,” hurai DJ Fuzz ketika ditemui pada pelancaran album Mixology 3 di Laundry Bar, The Curve, Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tidak mencuri waktu panjang, DJ Fuzz atau nama penuhnya Farzwa Emir memberitahu, kecintaan mendalam terhadap dunia DJ melebihi daripada segala-gala.

“Tidak adil rasanya menyalahkan kami gara-gara perlakuan seorang atau dua DJ yang terlibat dalam masalah alkohol dan dadah. Pinta saya, beri kami ruang untuk memperlihat bakat masing-masing terutama anak-anak muda untuk berkarya,” ujar DJ Fuzz yang terinspirasi daripada Kid Capri, Funkmaster Flex dan DJ Premier.

Akademi sendiri

Berada di gelanggang DJ selama 11 tahun, DJ Fuzz melangkah ke depan dengan membangunkan sekolah DJ, Akademi DJ Mixology di pusat beli-belah Amcorp Mall, Petaling Jaya sejak tahun 2005. Lebih membanggakan, pusat pengajian kedua telah ditubuhkan di Prangin Mall, Pulau Pinang pada Jun 2010.


MENGAKU persekitaran kerjanya sering 'ditemani' unsur negatif, DJ Fuzz bagaimanapun tidak mudah terpengaruh.


“Saya akui suka mengajar orang lain terutama para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tentang cara mengendalikan turntable dan mesin mixer. Senang cerita, saya ingin lihat lebih ramai orang Malaysia terlibat sebagai DJ lebih-lebih lagi cabang ini masih belum menerima pendedahan masyarakat sepenuhnya.

“Sebaik saja melancarkan album perdana, Mixologi 1 sekitar enam tahun lalu, salah seorang kenalan, Altimet memunculkan idea kepada saya untuk mengajar budak-budak yang berminat membabitkan diri sebagai DJ. Malah, saya sering menerima panggilan telefon daripada kawan-kawan atau orang luar sambil meminta tunjuk ajar.

“Daripada situ, saya terfikir, ada betul kata Altimet. Pada waktu sama, saya sebenarnya telah mengajar beberapa orang anak muda di rumah dalam tempoh beberapa bulan. Lama kelamaan, saya ambil keputusan untuk membangunkan akademi sendiri diberi nama Akademi DJ Mixology bagi menampung lebih ramai pelajar.

“Kalau dikira, diam tidak diam, saya sudah mengajar 100 orang sejak kebelakangan ini. Situasi ini sebagai peningkatan bagi mengetengah lebih ramai generasi baru untuk menjadi DJ,” ujarnya yang telah mendirikan rumah tangga sejak empat tahun lalu.

Tidak hanya itu, pemuda yang sedang melibatkan diri dalam seni mempertahankan diri Muay Thai juga dalam proses menyiapkan buku hasil tulisan sendiri, Teach Me How To DJ. Menjadi naskhah lengkap berbalut panduan untuk menjadi seorang DJ, ia bakal menemui peminat pada pertengahan tahun ini jika tiada aral melintang di depan.

“Buku ini ditulis sejak Mac 2010. Saya anggap ia merupakan masa sesuai untuk berkongsi segala pengalaman dimiliki selepas terlibat dalam dunia DJ lebih sedekad lalu. Selain menerangkan cara bergelar DJ, saya juga menghurai keistimewaan karier ini berbanding kerjaya lain,” jelas graduan Perakaunan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu.

Mengulas kehadiran Mixologi 3 di pasaran baru-baru ini, DJ Fuzz tidak hanya bertindak selaku penerbit. Dia bagaimanapun sempat bereksperimen dengan haluan baru seperti mempersembahkan gandingan bersama beberapa artis popular tempatan. Antaranya ialah Noh (Hujan), Mizz Nina, Altimet, Tactmatic dan Aizat.

“Mixologi 3 menjadi langkah awal saya bekerjasama dengan lebih ramai artis baik dalam dan luar negara. Saya cuba melakukan perubahan tersendiri sebagai eksperimental dalam variasi genre seperti contoh Selamat Pagi Sayang nyanyian Noh dan Di Manapun Engkau Berada (Aizat Amdan). Ia terlihat sebagai kelainan ketara bagi album ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: