Wednesday, January 12, 2011

Dadah musnahkan keluarga Mat Haizan


MAT HAIZAN dari kaca mata Che Ku Zaimah adalah seorang lelaki dan bapa yang bertanggungjawab.


SIKAP penyayang dan bertanggungjawab Mat Haizan Mat Yasin, 32, menjadi sebab Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, memilih lelaki yang dikenalinya itu sejak tahun 1998 sebagai suaminya dua tahun lalu.

Biarpun hanya melakukan kerja-kerja kampung, suaminya itu tidak merungut. Sebaliknya, Mat Haizan semakin kuat bekerja apatah lagi keluarganya semakin bertambah setelah dikurniakan empat cahaya mata.

Anak-anak pasangan terbabit berusia 10, lapan, tujuh dan dua tahun.

Sikap penyabar lelaki itu semakin terserlah selepas kelahiran anak kedua mereka, Nurul Dahyatul Fazlinda dan anak ketiganya Nurul Farisha Hidayu yang dilahirkan selang setahun.

Pada masa itu, Mat Haizan terpaksa memainkan peranan untuk menjaga Nurul Dahyatul Fazlinda kerana anak ketiga mereka yang masih bayi. Pada masa yang sama, isterinya masih dalam pantang sekali gus memaksanya menjadi pengasuh kepada Nurul Dahyatul Fazlinda atau mesra dengan panggilan Lin.

Akhirnya, Lin menjadi anak emas bapanya yang telah menjaganya daripada semua aspek seperti mandi, memberi susu, menidurkan dan menjaganya ketika sakit.

Sering meminta wang

Namun, pada tahun 2007, Mat Haizan mendapat tawaran untuk bekerja sebagai juruselam kerja-kerja kimpalan di dasar laut di sebuah syarikat yang beroperasi di Kuala Lumpur.

Sejak itu, lelaki itu terpaksa hidup berjauhan dengan keluarga namun rezeki keluarganya semakin bertambah.


CHE KU ZAIMAH bersama anaknya, Muhammad Irfan Firdaus (kanan) sambil mengusap kepala Nurul Dahyatul Fazlinda yang semakin stabil akibat terkena asid selepas dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada bulan Ogos lalu.


Bagaimanapun, derita dan rindu kerana hidup berjauhan yang terpaksa ditanggung oleh Mat Haizan merubah personaliti lelaki itu menjadikannya seorang suami yang cemburu.

Menurut Che Ku Zaimah, sesekali ketika pulang bercuti, pipinya menjadi sasaran tangan suaminya itu jika mereka berselisih faham.

"Namun saya tetap bertahan sebab sayangkan rumah tangga ini dan sehingga dia berhenti kerja awal tahun ini saya juga masih bertahan.

"Tetapi saya mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila suami sering meminta wang dan saya hanya memberi sekadar termampu tanpa banyak soal," katanya yang ketika itu bekerja sebagai penjual sayur di pasar pagi atau malam di sekitar Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, kesabaran Che Ku Zaimah, memuncak tiga minggu sebelum kejadian 15 Ogos lalu apabila dia bertindak membawa anak-anaknya berpindah ke rumah ibunya. Semuanya gara-gara apabila Mat Haizan mencuri kesemua hasil jualannya.

Menurutnya, beberapa hari kemudian, ibu mertuanya yang tinggal di Kampung Kemat yang terletak tidak jauh dari rumahnya bertanya tentang hubungan mereka sebagai suami isteri.

Pada hari dia meninggalkan rumah, suaminya ada memberitahu bahawa mereka sudah tiada hubungan.

"Saya kata, saya tidak tahu sebab suami tidak pernah lafaz apa-apa dan ibu mertua menasihatkan saya supaya merujuk kes ini ke pejabat agama," katanya pada satu pertemuan baru-baru ini.

Namun, tindakan Che Ku Zaimah ke pejabat agama untuk bertanyakan hal tersebut mengundang kemarahan Mat Haizan yang menyangkakan dia mahu bercerai dengannya.


CHE KU ZAIMAH melihat kesan parut anaknya, Muhammad Irfan Firdaus sambil diperhatikan oleh Nurul Dahyatul Fazlinda (kiri) yang menggunakan topeng muka untuk mengurangkan kesan parut.


"Selepas itu saya terima mesej daripada suami dan kata saya tidak akan dapat bersama dengan orang lain selepas bercerai dengannya.

"Saya sangka ugutan itu tidak serius sehinggalah dia memecah masuk rumah ibu saya pada hari kejadian," ceritanya.

Ketika berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Che Ku Zaimah mendengar khabar bahawa suaminya telah ditangkap. Pada masa itu, barulah dia tahu suaminya itu seorang penagih dadah.

Meskipun rasa marah pada dirinya belum reda ekoran perbuatan kejam lelaki itu yang telah menghancurkan kehidupannya dan anak-anak, tetapi pada masa sama dia masih kasihankan lelaki yang pernah berkongsi kasih dengannya.

"Biarlah Tuhan yang memaafkan dia, sebab sebagai manusia biasa, hati saya masih ada rasa marah itu," katanya yang bercadang untuk menuntut fasakh dalam waktu yang terdekat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: