Saturday, January 15, 2011

Astro First lakar sejarah tersendiri



Kewujudan Astro First yang diperkenalkan oleh pihak Astro adalah inisiatif untuk memberi peluang kepada penonton menyaksikan filem terbaru di pawagam.

Bermula pada 13 Januari lalu, setiap pelanggan boleh menonton filem yang melepasi tempoh wajib tayang di pawagam hanya di rumah. Dengan hanya membayar RM15 bagi setiap judul filem yang ingin ditonton, ia sedikit sebanyak memberi ruang menonton bersama keluarga.

Bermula dengan tiga filem iaitu Ngangkung, Damping Malam dan Aku Masih Dara, Astro bakal menayangkan beberapa filem lagi selepas ini seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hantu Siang, Senario Opss Pocot dan juga Senjakala.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, Astro First menyasarkan membawa hiburan masa depan ke setiap kediaman rakyat Malaysia.

“Astro First perkhidmatan pertama seumpamanya dalam usaha untuk melakar sejarah industri hiburan. Menerusi Astro First, penonton boleh menikmati filem-filem terkini yang baru ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia di kediaman masing-masing mengikut keselesaan sendiri.

“Selepas perundingan demi perundingan dengan pihak pawagam dan syarikat produksi terlibat, kini kami bersedia menawarkan filem-filem terkini di pawagam menerusi platform Astro terus ke kediaman pelanggan dengan nilai jauh lebih baik,” katanya yang menyediakan pilihan masa menonton untuk setiap filem mengikut keselesaan penonton dalam tempoh 48 jam selepas pembelian.

Lebih daripada sekadar menawarkan pengalaman menonton filem terbaru kepada tiga juta pelanggan, Astro First juga mempunyai misi sama penting, iaitu memperluas pengedaran filem dan memanjangkan tempoh menonton yang ditawarkan di pawagam.

Astro First juga memberi akses pangkalan penonton yang luas kepada penerbit filem tempatan yang selama ini tidak pernah didapati. Apa pula kata penerbit filem tempatan apabila filem yang masih ‘panas’ di pawagam sudah boleh ditonton di rumah?


Bagaikan satu bonus! – David Teo

Sebagai seorang penerbit filem yang banyak menghasilkan filem dalam setahun, David Teo berbesar hati kerana filemnya akan menemui penonton Astro.

Mengakui ia sebagai fenomena baru dalam mempertingkatkan mutu industri perfileman negara, David berkata, ia harus disokong oleh semua penggiat filem tempatan.

“Saya sokong bukan sahaja kerana MIG ada banyak filem setiap tahun, tetapi saya melihat ini sebagai usaha berterusan memartabatkan industri perfileman tempatan.

“Ia dipanggil bonus. Dua minggu di pawagam kemudian disambung kepada penonton di rumah, bukankah ia sesuatu yang bagus? Sebagai penggiat filem, mesti ada sikap optimis terhadap idea-idea baru. Dua kali untungkan?” katanya yang enggan pula mendedahkan tentang bayaran diterima.


Dapat kurangkan cetak rompak– Ahmad Idham

Penerbit dan pengarah Ahmad Idham sememangnya bersetuju dengan langkah yang diambil oleh pihak Astro untuk menyiarkan filem-filem terbaru di pawagam.

Menurutnya, cara ini dapat membantu meningkatkan persada seni perfileman tempatan. Apa yang paling penting, ia dapat membantu membanteras pembelian cetak rompak.

“Saya melihat apa yang dilakukan oleh pihak Astro ini sesuatu yang harus dipuji. Selain platform mudah untuk sampai kepada penonton, ia juga dapat mengurangkan aktiviti cetak rompak yang semakin berleluasa. “Saya bangga dengan penciptaan ini. Dengan cara ini juga boleh mengurangkan kes cetak rompak yang mana banyak karya tempatan yang terjejas. Jadi dengan apa yang dilakukan oleh pihak Astro ini, dilihat penonton kita pasti tidak akan disogokkan dengan hasil cetak rompak,” katanya yang akan menyusul dengan filem Senjakala tidak lama lagi.


Bukan semua boleh ke panggung – Raja Azmi

Walaupun masih tidak memberi kata putus untuk menyiarkan filem ... Dalam Botol ke Astro First, namun penerbit Raja Azmi menganggap ia perkara yang perlu disokong.

“Sekurang-kurangnya ini inisiatif yang diambil untuk mereka yang berjauhan dengan panggung wayang. Perlu diingat, bukan semua orang suka ke panggung. Beratur membeli tiket. Lagi-lagi untuk filem Melayu. Jadi dengan cara ini, ia boleh menarik minat mereka untuk menonton filem Melayu. Saya masih berfikir untuk menyiarkan filem saya.

“Ini kerana, terlalu banyak permintaan untuk filem ini ditayangkan di luar negara seperti Itali, Australia, Thailand dan beberapa negara lagi. Apa-apa pun ia sebagai langkah bijak dan perlu disokong.


Titik mula mencintai filem tempatan – Norman Abdul Halim

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, kemunculan perkhidmatan Astro First secara tidak langsung membantu rakayat Malaysia mula mencintai produk tempatan atau lebih tepat filem tempatan.

“Jika dilihat, pawagam di Malaysia hanya ada di antara 70 sahaja. Purata penonton pula sekitar 150,000 hingga 300,000 penonton. Saya tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang tidak sihat. Ia seumpama penjualan secara digital. Memang berbeza menonton di rumah dengan di panggung, tetapi ramai antara kita terutama anak-anak muda yang begitu canggung untuk menonton filem tempatan di panggung. Mereka merasakan filem kita tiada kualiti.

“Tindakan menghasilkan Astro First ini sedikit sebanyak membantu mereka menyukai karya tempatan,” katanya yang akan melepaskan filem Hikayat Merong Mahawangsa ke Astro First pada bulan Mac nanti.

Katanya, kewujudan ini akan membawa perubahan besar dalam industri perfileman apabila ia menjadi ‘penyelamat’ buat penerbit filem yang gagal meraih keuntungan kutipan tiket di pawagam.

“Dengan cara ini, ia akan menjadi satu era baru kerana ia diibaratkan seperti penjualan secara digital dan dapat menyelamatkan filem kurang mendapat sambutan di pawagam kerana filem yang disiarkan di Astro First turut diberikan promosi sebanyak yang mungkin pada saluran tersebut,” katanya.


Boleh jatuhkan industri - Erma Fatima

Berbeza dengan karyawan lain, Erma Fatima tidak bersetuju dengan kewujudan Astro First. Menurutnya apa yang dilakukan oleh pihak Astro hanya untuk membunuh industri.

“Saya memang tak bersetuju dengan Astro First ini. Sesebuah karya yang eksklusif tidak akan ditayangkan sejurus tamat tempoh dua minggu wajib tayang.

“Di mana eksklusifnya filem tempatan. Ini hanya akan menjatuhkan industri kita sahaja. Saya tidak bangkitkan soal keuntungan sebaliknya kewajaran menayangkan karya tempatan kepada umum dalam masa yang begitu singkat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurut beliau, sekiranya pihak Astro mahu benar-benar memberi tayangan kepada umum, ia haruslah diberi tempoh antara enam bulan hingga setahun.

“Itu tempoh yang baik. Kalau ia terus dipancarkan kepada penonton, sudah pasti jumlah penonton di panggung akan berkurang.

“Mereka lebih suka menunggu di rumah dan membayar RM15 dan menonton beramai-ramai. Itu bermakna kerja keras penerbit filem dengan adunan sistem bunyi, kesan khas dan apa sahaja yang dilakukan untuk penonton di pawagam hanya sia-sia,” katanya.

Mendakwa cara itu hanya boleh membunuh industri, pengarah filem Embun ini turut khuatir dengan adanya Astro First akan mengakibatkan industri filem tempatan akan mengalami kejatuhan sama seperti di Indonesia tidak lama dahulu.

“Waktu itu, industri perfileman di Indonesia sangat teruk dan susah untuk bangkit semula. Saya tak mahu perkara sama terjadi kepada negara kita.

“Sudahlah lambakan filem luar sewenang-wenangnya masuk ke negara kita tanpa ada sebarang sekatan. Ditambah dengan ini pula, industri seni makin tenat,” kata Erma yang turut menyelar program itu menerusi Twitter.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: