PETALING JAYA: Rumah tangga yang sedang bahagia dikatakan goyah, aktres Amyza Aznan hanya tertawa kecil dan tidak menganggap dakwaan itu terlalu serius.
Tidak melenting, tidak bermakna rumah tangganya dan suami, Khairil Izhar Mohd Nazir sedang dilanda badai sebaliknya pelakon drama Trilogi Cinta ini enggan membesarkan dan mengambil pusing tentang perkara tersebut.
“Saya dan suami sedang hidup bahagia seperti pasangan lain. Mungkin cerita seperti ini timbul apabila ada orang ternampak kami tidak selalu keluar bersama.
“Ini kerana saya dan suami sedang sibuk dengan kerja masing-masing. Jadual kerja saya sangat padat dengan penggambaran drama 13 episod Isteriku Bukan Queen Control dan telefilem Menantu Tip Top serta mengacara program Sehati Sejiwa di RTM1.
“Sementara suami pula sibuk mengendalikan konsert dan beberapa aktiviti di tempat kerjanya di Petronas KLCC,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama 40 episod Trilogi Cinta terbitan Suhan Movies Trading.
Kata Amyza, memang kadangkala dia dan suami dilihat tidak bersama kerana faktor kerja dan jarak tempat kerja dengan rumah mereka.
Dia yang kini sedang berada di rumah ibu mertuanya di Keramat tidak menafikan kadangkala suaminya terpaksa bermalam di situ sementara dia tinggal di rumah mereka di Bukit Jalil.
“Kami masih tinggal bersama-sama cuma kadangkala suami mahu memudahkannya ke tempat kerja di KLCC, jadi sebab itu dia akan tidur di rumah ibu mertua saya di Keramat. Saya tidak mengambil serius tentang isu ini dan tidak sangka pula orang boleh fikir kami ada masalah apabila tidak selalu bersama.
“Suami saya bukan jenis suka terlalu mendedahkan diri dalam industri seni ini. Dia juga hanya tergelak apabila mendengar cerita seperti ini,” ujarnya yang pernah beraksi dalam program Sehati Berdansa dan Serasi Bersama dengan suaminya.
Bagaimanapun, Amyza tetap berterima kasih kepada pihak yang mengambil berat tentang rumah tangganya dan berharap semua orang mendoakan kebahagiaannya sekeluarga.
Selain itu, dia juga bersyukur dengan rezekinya dalam karier seni kerana masih mendapat tawaran berlakon beberapa drama lain dan baru dilantik sebagai duta wangian Karisma sejak enam bulan lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: