PUTRAJAYA – Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai cuba melarikan diri dari rumah majikannya maut akibat terjatuh dari tingkat 12 Pangsapuri Blok E2, Fasa 12, Presint 9 di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dipercayai memanjat keluar dari tingkat 12 menggunakan kain selimut malam kelmarin semasa majikannya tiada di rumah.
“Mayat mangsa ditemui pada pukul 7.30 pagi oleh penduduk dalam keadaan tertiarap di lorong belakang sebuah tadika di kawasan pangsapuri itu.
“Turut dijumpai berhampiran mayat ialah beg pakaian,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat.
Abdul Razak berkata, polis juga masih menyiasat sama ada majikan amah itu mengambil pendatang tanpa izin sebagai amah berikutan tiada dokumen pengenalan diri mangsa ditemui.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: