Monday, January 3, 2011

Alumni Sebagai Kesinambungan PLKN

Sebahagian 42,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) siri 8/2011 ketika tiba di Padang Bangunan Zetro, Wangsa Maju, Ahad. Seramai 140,000 remaja berumur 18 tahun akan mengikuti PLKN bagi tahun 2011 selama tiga bulan di 79 buan kem di seluruh negara.

KETUA Sekretariat Alumni PLKN Mohd Syafik Mohd Taufik, 24, tidak menafikan keputusan kerajaan mewujudkan sekretariat ini adalah tepat dan telah lama ditunggu-tunggu bekas pelatih PLKN.

Beliau yang dilantik oleh kementerian pada 27 September lalu berkata sekretariat yang diwujudkan dapat dijadikan platform dan panduan untuk bekas pelatih berhubung dan meneruskan perjuangan.

“Sebenarnya, mereka masih berhubung selepas tamat program, tapi hanya melibatkan pelatih sesama kem. Mereka anjurkan ‘reunion’, berkelah dan aktiviti lain untuk tujuan suka-suka,” katanya kepada Mingguan mStar.

Mohd Syafik berkata, keputusan jemaah menteri menubuhkan sekretariat khas menunjukkan JLKN sedar akan keperluan dan kepentingan mewujudkannya.

Seramai 22 ahli jawatankuasa peringkat induk telah dilantik pada September lalu, manakala 10 ahli jawatankuasa bekas pelatih dilantik di setiap kem pada 9 Oktober 2010.

“Di peringkat induk tumpuan akan diberikan terhadap hala tuju dan mengawal selia pergerakan alumni serta aktiviti di peringkat nasional dengan Ketua Pengarah PLKN sebagai penasihat.

“Yang mengumpul dan menggerakkan aktiviti untuk bekas pelatih adalah ahli jawatankuasa yang ditempatkan di kem-kem latihan,” katanya.

Jelasnya penubuhan sekretariat penting sebagai kesinambungan terhadap apa yang dipelajari di kem.

“Hampir 80 peratus pelatih berjaya ubah diri mereka menjadi lebih baik. Selepas tamat latihan, tak patut biarkan mereka begitu saja.

“Sekurang-kurangnya perlu ada platform yang dapat bantu mereka secara berterusan. Jika di kem mereka didedahkan dengan Modul Khidmat Komuniti, melalui aktiviti sekretariat mereka dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan,” katanya.

Pernah memegang jawatan Penghulu Kem di Kem Ulu Pari, Rembau, Negeri Sembilan bagi Kumpulan Kedua, Siri 1 2004, Mohd Syafik berkata beberapa program telah dianjurkan sejak sekretariat ini ditubuhkan.

Program tersebut termasuklah Jamuan Hari Raya dan Perjumpaan Semula Bekas Pelatih PLKN yang diadakan secara serentak di 79 kem PLKN pada Oktober lalu, aktiviti membantu mangsa banjir di Perlis dan jamuan bersama syarikat pembekal Kad Pintar PLKN.

Mohd Syafik menunjukkan Kad Pintar PLKN yang diperkenalkan kepada pelatih PLKN tahun 2011. Bekas pelatih PLKN di seluruh negara juga berpeluang mendapatkan kad ini dengan membuat pendaftaran di laman web www.1plkn.com.my

“Ketika jamuan hari raya seramai 20,000 bekas pelatih berjaya dikumpul. Ada yang sanggup ke kem PLKN yang jauh dari rumah mereka walaupun penginapan dan kenderaan tak disediakan.

“Seramai 200 bekas pelatih juga secara sukarela telah membantu mangsa banjir di Perlis dengan melibatkan sukarelawan dari Kuala Lumpur dan Kedah,” katanya.

Mengulas tentang Kad Pintar PLKN yang diperkenalkan pada tahun ini, kad tersebut adalah medium yang menghubungkan semua bekas pelatih PLKN di seluruh negara.

Sebaik pendaftaran kad dibuat di laman web www.1plkn.com.my, bayaran sebanyak RM20 akan dikenakan.

“Selain dapat mengeluarkan elaun, pemegang kad juga dapat mengetahui maklumat terkini dan aktiviti sekretariat.

“Kad ini juga membolehkan pelatih dan bekas pelatih PLKN mendapat diskaun pembelian di outlet terpilih,” katanya yang sudah mendaftar sebagai pemegang Kad Pintar PLKN.

Mohd Syafik yang ragu-ragu untuk mengikuti PLKN ketika mendapat tawaran pada 2004 akhirnya berasa banggga dan bertuah kerana terpilih mengikuti program itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melancarkan pergerakan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) siri 8/2011 di Padang Bangunan Zetro, Wangsa Maju, Ahad.

Selepas tamat latihan beliau sedar program ini banyak memberi manfaat kepada peserta, termasuklah mengeratkan hubungan sesama pelatih tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.

“PLKN menawarkan modul dan latihan yang sesuai dengan umur peserta selain menguji kekuatan mental dan fizikal.

“Bagi saya, mereka yang tak suka dengan PLKN adalah mereka yang tak menghayati perjalanan program,” ujarnya.

Beliau menasihatkan mereka yang terpilih untuk menyertai PLKN supaya tidak melepaskan peluang itu.

“Tak ada apa yang perlu dirungsingkan. Semuanya sudah tersedia di sana. Anda yang terpilih adalah yang istimewa,” ujar graduan lulusan perakaunan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) ini.

Beliau juga berharap agar kuota kemasukan dapat ditambah bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelatih memasuki PLKN.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: