BERI SOKONGAN...Heliza dan rakan artis bersama pemilik butik MimpiKita, Nurul Zulkifli (empat dari kanan) pada majlis pelancaran butik itu, baru-baru ini.
NAMANYA mula menjadi sasaran pelbagai gosip sejak berkecimpung dalam bidang hiburan. Selepas gosip hangat mengatakan dia bakal berkahwin dengan seorang berpangkat Datuk, pelakon Syurga Cinta, Heliza Helmi dikatakan akan bertunang pula dengan penyanyi nasyid, pengacara dan komposer, Hafiz Hamidun.
Belum pun reda gosip bertunang dengan Hafiz, Heliza yang bakal mencecah usia 25 tahun dikaitkan pula dengan seorang lagi lelaki apabila gambar dengan pasangannya itu tersebar di Internet.
"Saya pun tak tahu siapa yang suka sebarkan gosip seperti itu. Saya sendiri belum tengok gambar saya dan lelaki yang dimaksudkan itu di Internet. Mungkin ia gambar saya dan seorang sahabat lelaki. Saya pun tak tahu macam mana orang luar lebih tahu daripada saya.
"Apapun, saya tidak boleh cepat melatah dengan gosip yang disebarkan orang itu. Saya melihatnya sebagai asam garam menjadi anak seni. Setiap gosip yang datang itu adalah ujian buat diri saya dan ia memerlukan kesabaran untuk ditempuhi," katanya kepada Rap, baru-baru ini.
Hakikatnya, kata Heliza yang dicungkil bakatnya daripada program realiti TV Akademi Fantasia 5 (AF5), dia masih belum bertemu teman istimewa untuk mengisi kekosongan hati.
"Ciri-ciri lelaki idaman saya ialah yang memahami karier dan menerima keluarga saya. Buat masa ini, saya mengutamakan keluarga dalam segala-galanya sebab itulah saya belum ghairah berfikir soal jodoh. Ia memerlukan masa.
"Bukannya saya menolak jodoh. Kalau jodoh datang cepat, saya tetap terima ketentuan Tuhan itu," katanya.
Ditanya gosip dia sudah bertunang dengan Hafiz, Heliza menjawab, ia juga tidak berasas sama sekali."Kami berjumpa atas urusan kerja semata-mata kerana syarikat Hafiz adalah konsultan (perunding) untuk Heliza Helmi Productions Sdn Bhd (HHP). Kami juga tidak pernah 'dating' berdua-duaan kerana kami bukannya bercinta. Kami hanya rakan setugas.
"Saya pun tak tahu bagaimana cerita kami kononnya bercinta itu tersebar sedangkan kami hanya berjumpa atas urusan bisnes semata-mata. Kami banyak berjumpa dan bincang mengenai projek syarikat, sebab itu ada yang nampak kami muncul di khalayak ramai," katanya.Mengulas lanjut cerita mengenai beberapa kakitangan syarikat HHP yang berhenti serta-merta kerana berdepan dengan masalah tertentu, Heliza tenang membela diri. Ada juga cerita tersebar semua itu berlaku gara-gara kakitangan syarikatnya itu tidak suka dengan kehadiran Hafiz.
"Memang benar, ada beberapa kakitangan saya yang berhenti tapi ia kerana hal biasa dalam mana-mana syarikat. Mereka berhenti kerana mahu beralih angin ke tempat lain dan bukan disebabkan Hafiz.
"Sebenarnya, orang tidak tahu, syarikat saya juga ada beberapa kakitangan sementara yang bekerja dengan saya. Anda boleh bertanya dengan pekerja saya sendiri bagaimana pengalaman mereka bekerja dengan syarikat saya," katanya.
Kata Heliza, operasi syarikatnya yang sudah beroperasi hampir setahun lalu itu tetap berjalan lancar.
"Saya percaya mana-mana syarikat pun akan menghadapi masalah dalaman. Apabila berdepan dengan masalah, pasti kita akan berusaha untuk menyelesaikan masalah itu," katanya.
Heliza ditemui pada majlis pelancaran butik MimpiKita di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama, artis popular lain seperti Fouziah Gous, Juliana Evans, Aizat Amdan dan pelakon baru, Shah.
Berkongsi perkembangan terkini dalam karier seninya, Heliza mula mengembangkan bakatnya dalam bidang muzik termasuk mencipta lagu dan lirik.
"Mungkin ada orang anggap, saya sekadar mengikut 'trend' sekarang di mana ramai penyanyi mencipta lagu sendiri. Saya juga ingin mencuba sesuatu yang baru, sekali gus mengukur kemampuan dalam bidang muzik.
"Idea buat lagu sendiri datang secara tiba-tiba apabila saya belajar bermain gitar dan mendapat ilham melodi lagu diinginkan. Tiga lagu yang saya hasilkan sendiri ialah Cuma Aku, Kau Selamanya dan Chord G manakala gitaris Sofaz, Zimi menjadi penyusun muzik buat tiga lagu ini," katanya.
Lebih bermakna, kata Heliza, dia juga menimba ilmu berharga sepanjang bekerja dengan Zimi.
"Saya sangat puas hati dengan hasil kerja untuk Cuma Aku, Kau Selamanya dan Chord G. Tiga lagu barunya itu lebih 'catchy' dibandingkan dengan dendangan saya sebelum ini. Saya juga akan mula mempromosikan lagu Cuma Aku ke semua stesen radio tempatan bulan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: