Sunday, January 2, 2011

2011 transisi diri Fahrin




SAAT Fahrin Ahmad meluah keinginan untuk memperlahankan kariernya sempena pembukaan laman 2011, sebilangan pihak mula membuat interpretasi bahawa pelakon kacak itu mahu mengucap selamat tinggal kepada daerah seni.

Hakikatnya, tidak pernah terlintas di kotak fikiran Fahrin untuk berlalu pergi daripada bidang yang membuka rezekinya. Malah, jauh sekali untuk lelaki semuda 32 tahun itu mengambil kata putus bagi menghentikan khidmatnya sebagai anak wayang.

Cerita ingin memperlahankan kerjaya lakonan sebelum ini tidak lebih sekadar resolusi tahun baru Fahrin. Soal bersara, belum lagi tertulis dalam kamus hidupnya.

Benar, Fahrin beberapa tahun lalu mula memperlihatkan reaksi bosan terhadap permainan industri hiburan. Dipalit beberapa kontroversi, dia menjadi saksi keharmonian hidupnya sedikit terancam. Namun, itu bukan situasi membuatkan dia berputus harap.

Enam tahun melewati pahit manis berstatus pemain seni, Fahrin puas mengisi komitmen sebagai pelakon. Malah, biar kehidupan personalnya mula dirampas satu persatu, dia masih menggagah diri membawa sekeping tubuh yang penuh ambisi.

Sensasi Bintang: Sejak bila terfikir untuk memperlahankan karier lakonan?

FAHRIN AHMAD: Sejak kali pertama bergelar pelakon, dalam hati saya kuat mengatakan untuk mempersiap diri bagi menceburi bidang lain demi menjamin masa depan lebih baik. Tawaran lakonan bergantung kepada permintaan, bayangkan kalau suatu hari nanti saya jatuh sakit, saya harus menanggungnya sendiri. Kalau bersikap lupa diri, itu lebih memudaratkan. Jadi, saya ingin melakukan sesuatu selain berlakon.

Tidakkah keputusan itu terlalu drastik?

Sebelum saya menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) lagi, keluarga tidak merestui karier seni. Mereka risau tentang banyak perkara. Tetapi, saya tekad meneruskan nasib dalam bidang ini. Pada waktu sama, saya sentiasa bersikap rasional dan berpijak di bumi nyata. Saya selalu terfikir untuk memiliki perancangan lebih mantap pada masa depan, tambahan pula apa yang ada depan mata bersifat sementara. Bukan saya sendiri, artis lain juga kena ada perancangan sama.

Tidakkah ia seperti memberi kenyataan hangat-hangat tahi ayam?

Sebenarnya berlaku salah persepsi. Ingin saya jelaskan di sini, bersara bukan perkataan yang tepat. Saya mahu menceburi bidang keusahawanan. Tiada manusia boleh buat pelbagai benda pada satu masa. Jadi, saya kena bijak membahagi waktu dengan memperlahankan aktiviti seni. Jangan salah anggap kerana jadual penggambaran saya penuh sehingga Jun ini. Sebab itu, saya panggil tahun 2011 sebagai transisi diri. Selama ini masyarakat mudah memperlekeh dan memandang rendah golongan artis. Saya harap perubahan ini mendapat restu peminat. Apa jua keputusan, saya anggap ia ada hikmah.


FAHRIN ingin terlibat dalam bidang keusahawanan selepas ini.


Adakah ia seperti bermain tarik tali supaya pengarah berebut untuk mengambil anda berlakon?

Saya sangkal dakwaan ini. Kalau buat macam itu, ia umpama publisiti dan gimik murahan sedangkan saya seorang yang berfikiran panjang. Saya percaya, ramai bersetuju apabila umur memasuki 32 tahun, setiap manusia ada cita-cita untuk memiliki lebih jaminan dan berkeluarga. Tanpa prejudis, saya beranggapan, jika saya berada dalam bidang seni untuk tempoh panjang ditambah tuntutan masa dan peribadi, ia dilihat kurang ideal untuk menjalani kehidupan berumah tangga. Ini cuma pendapat peribadi saya.

Apakah kenyataan itu dipengaruhi emosi selepas berdepan pelbagai kontroversi?

Saya mahu menyimpulkan ayat yang paling sesuai untuk jawab soalan ini. Saya harus mengaku, adakala hati ini diselubungi kesedihan dan rajuk kerana kehidupan sebagai anak seni tidak seindah seperti disangkakan. Selain daripada faktor perancangan kerana enggan bergantung harap pada lakonan semata-mata, saya rasakan, berada dalam bidang ini menuntut harga yang terlalu tinggi harus dibayar. Semakin hari semakin mencabar malah, dunia seni banyak merampas, menghukum dan prejudis terhadap hidup saya. Tetapi, saya tidak menyalahkan orang lain dan tidak menyesal bergelar anak seni. Ia sebenarnya terpulang kepada kebijaksanaan saya menguruskan hidup sendiri. Saya percaya, rakan artis lain juga ada perancangan masing-masing.

Selain mengurangkan aktiviti seni, apa lagi yang ingin anda lakukan?

Walau apa terjadi, bidang pengacaraan tetap diteruskan sehingga bila-bila. Pengacaraan dan lakonan punya perbezaan. Tuntutan masa sebagai pelakon sangat tinggi. Pengacaraan menjadi jiwa sebenar saya. Kalau boleh, saya mahu memperbanyakkan peluang mengacara termasuk mengendalikan program bual bicara sendiri. Ia tidak bermakna saya berhenti terus daripada lakonan dan tidak menolak kemungkinan berlakon hingga tua. Saya tidak akan hilang terus daripada lakonan. Kalau usia semakin meningkat, jika ditakdirkan saya terus berlakon, ia sekadar minat dan untuk melepaskan kerinduan semata-mata bukan sebagai punca utama pendapatan seperti sebelum ini.

Benarkah keputusan memperlahankan karier dibuat kerana merancang untuk berkahwin pada tahun ini?

Tidak juga. Pada saya, apa yang dilakukan sekarang merupakan perancangan menjadikan saya seorang insan lebih baik. Macam saya cakap tadi, ia hanya mempersiapkan diri sebagai jaminan masa depan. Iyalah, kalau suatu hari nanti saya berkahwin, pasti keluarga hendak bergantung dan memerlukan saya. Jadi, tidak bagus jika sebagai lelaki dan suami, saya tiada perancangan mantap untuk menggembirakan mereka. Kebahagian mereka kebahagiaan saya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: