
LAZIMNYA seminggu sebelum Syawal, Latifah Omar, 35, sudah berada di Kampung Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, sibuk ke Kamdar untuk membeli baju raya dan ke Jalan Pasar Bukit Mertajam untuk membeli kuih raya yang bakal dilelong.
Pada sebelah malam, dia sibuk memasang pelita minyak tanah kerana itulah kelaziman yang dilakukan di kebanyakan rumah di kampung menerangi kelam malam. Kanak-kanak pula kelihatan seronok bermain mercun dan bunga api.
Hari-hari terakhir Ramadan, Latifah sekeluarga akan bergotong-royong mengacau dodol dan membakar lemang di kampung.
Walaupun kini Latifah bermastautin di Colorado Springs, Colorado, Amerika Syarikat (AS) kenangan itu cukup kuat di dalam memorinya.
"Di AS, tiada aktiviti mengacau dodol, membakar lemang buluh, jauh sekali membuat kuih tradisional seperti wajik, kuih penderam, karas dan sebagainya.
"Saya hanya menyediakan kuih raya moden ringkas seperti almond London dan tat nanas di sini," katanya yang menetap di AS sejak tahun 1999 selepas menjadi isteri kepada Alistair Funge, 39.
Menurut Latifah, pada pagi raya mereka sekeluarga akan ke Masjid Colorado Springs untuk sembahyang raya sebelum bertolak ke Denver untuk menziarahi rakan-rakan.
Walaupun tidak semeriah seperti di Malaysia, Aidilfitri kali ini mereka sekeluarga berpeluang berhari raya dengan ramai rakyat Malaysia yang menetap di Denver dan keluarga Melayu yang mengambil doktor falsafah di University Fort Collins, Colorado.
Jadi, suasananya agak meriah berbanding enam tahun lalu. Kali ini banyak rumah yang menganjurkan rumah terbuka dan menghidangkan pelbagai juadah tradisional.

Tiada bazar
Latifah memberitahu, persiapan menjelang hari raya tidak begitu meriah seperti di tanah air kerana semuanya perlu disiapkan sendiri.
"Tiada bazar Ramadan untuk membeli kuih raya dan tiada Kamdar untuk membeli baju raya yang siap dijahit. Alhamdulillah, kini saya boleh menjahit pakaian sendiri.
"Tahun ini saya adalah suri rumah sepenuh masa, jadi saya berpeluang menjahit baju raya anak-anak. Oleh kerana saya tidak pandai menjahit baju Melayu Cekak Musang, terpaksalah saya membuat baju Melayu Johor untuk anak lelaki dan suami tahun ini," kata ibu kepada Kira Nuralia, 10, Adam Alexander, 7 dan Anna Zahara, 2.
Sepanjang menetap AS, Latifah hanya berpeluang menyambut Hari Raya Aidilfitri sebanyak tiga kali bersama keluarga di Malaysia tanpa suaminya yang sibuk dengan tugas.
Latifah yang menggemari lemang, rendang, sate dan kuah kacang memberitahu, pada peringkat awal berkahwin dahulu, dia langsung tidak mahir memasak juadah hari raya.
"Setelah beberapa tahun berhari raya tanpa kemeriahan, saya mengambil keputusan untuk mencuba resipi-resipi yang dipelajari daripada Internet, lebih-lebih lagi setelah mendapat cahaya mata.

"Cuma di sini agak sukar untuk mendapatkan bahan-bahan asas kerana ia bergantung di mana kita tinggal. Mujur, daun pisang beku tidak sukar diperoleh, jadi mudah untuk membuat ketupat daun pisang," ujarnya yang pernah teringin makan lemang.
Masak lemang
Tahun lalu, Latifah cuba membuat lemang buat kali pertama dengan membalut pulut yang ditanak dengan daun pisang, kemudian dibalut dengan kertas aluminium sebelum dibakar di dalam ketuhar.
Walaupun jauh di perantauan, latifah dan keluarganya tetap mengamalkan budaya kunjung-mengunjung sesama rakyat Malaysia yang menetap di AS.
"Kita kena ada usaha mewujudkan suasana raya di sini. Bagi membolehkan anak-anak merasai suasana raya, saya mendapatkan bekalan bunga api untuk mereka.
"Seperti biasa, kami akan menyalakan pelita di sekeliling rumah pada minggu terakhir Ramadan untuk mewujudkan suasana seperti di kampung," katanya.
Menyorot kenangan beraya di perantauan Latifah memberitahu, menyambut raya di perantauan sudah menjadi lumrah baginya sejak 15 tahun lalu ketika menuntut di Monash University, Australia.
Meskipun terasa sayu kerana beraya tanpa keluarga, namun dikelilingi pelajar-pelajar Malaysia sedikit sebanyak mengubat kerinduan yang bertamu di hati. Bagi menghilangkan rasa rindu kepada keluarga, Latifah akan membuat panggilan telefon kepada kedua-dua ibu bapanya.
"Kali pertama menyambut raya di Colorado Springs, kami sendirian. Langsung tidak jumpa rakyat Malaysia walaupun kerap ke masjid.
"Saya pernah beraya sebatang kara semasa berada di Alamagordo New Mexico dan yang paling sedih di Dayton, Ohio. Selama tiga tahun saya menetap di Dayton, saya tidak pernah bertemu dengan orang Islam dari Malaysia. Daging halal pun susah diperoleh. Jadi terpaksalah saya makan ikan dan udang sepanjang tahun, " imbasnya.
Syawal sudah menjadi perayaan wajib bagi Latifah sekeluarga. Suaminya akan mengambil cuti untuk membolehkan mereka menunaikan solat sunat raya Aidilfitri di masjid dan berhari raya bersama sahabat-sahabat Malaysia yang lain.
Seorang lagi anak kelahiran Pulau Pinang, Nor Nadia Kamarudin, 32, yang mengahwini lelaki yang berasal dari Gothenborg, Sweden, Izak Petter Hagstrom-Willaume, 45, memberitahu, dia merindui kemeriahan beraya di kampungnya.

"Menyambut Aidilfitri di tanah air lebih meriah. Di Malaysia boleh solat raya bersama keluarga, ziarah pusara datuk dan nenek selain menikmati juadah wajib raya.
"Di sini tiada tradisi kunjung-mengunjung. Kami hanya berkumpul di rumah atau di dewan yang disewa sambil membawa juadah hari raya dan makan bersama-sama," katanya yang sudah lima tahun menetap di Sweden.
Katanya, jika di Malaysia pada pagi raya lemang, rendang, ketupat menjadi juadah wajib, hidangan yang sama turut disajikan di sana.
Sebelum berumah tangga, Nadia pernah menjamah juadah raya seorang diri pada pagi raya bertemankan lagu raya kerana Syawal jatuh pada hari dia bekerja.
"Persiapan menyambut raya di sini biasa sahaja dan tidak semeriah di Malaysia. Baju raya dan kuih raya dikirimkan ibu dari Malaysia.
"Walaupun dapat menikmati juadah hari raya seperti rendang, namun ia tidak sama dengan air tangan ibu," katanya yang teringin menikmati kuih makmur, ketupat pulut dan kuah kacang.
Kehadiran Syawal amat dinanti-nantikan oleh suaminya kerana dapat menikmati juadah lazat setelah sebulan berpuasa. Pada tahun hadapan, Nadia dan suaminya merancang untuk meraikan 1 Syawal di Malaysia bersama permata hati mereka, Jasmine, 15 bulan.
Aidilfitri di kediaman konsulat
![]() |
| Aktiviti mengacau dodol antara yang dirindui oleh kebanyakan anak perantau. |
Sementara itu, Mydatul Farraheeza Muhammad, 30, belum berkesempatan meraikan Aidilfitri di Malaysia sejak tinggal di Frankfurt, Jerman tiga tahun lalu.
Menurutnya, suasana malam sebelum menyambut Syawal sama seperti di Malaysia kerana masing-masing berkumpul dan masak beramai-ramai di kediaman Jeneral Konsulat Malaysia Frankfurt.
"Juadah wajib pada pagi raya terdiri daripada ketupat, lemang dan rendang. Bagi memastikan saya meraikan Aidilfitri dengan sempurna kali ini, pertengahan Ramadan lalu, saya membawa sedikit bahan-bahan untuk membuat rendang, pulut dan daun palas ketika pulang ke Malaysia untuk persediaan Syawal.
"Pertama kali menyambut Syawal memang terasa sayu, tetapi segala-galanya terubat apabila melihat senyuman tuan rumah (Jeneral Konsulat Malaysia) dan rakyat Malaysia di sini," kata isteri kepada Muhamad Shariff, 41 dan ibu kepada Uwais, 6 dan Sophia, 3.
Siti Asma Sultan Weimar dari Melbourne, Australia yang lebih dikenali sebagai Jasmeen, 28, pula sangat terharu apabila keluarga mentuanya membuat jamuan hari raya pada tahun pertama meraikan Aidilfitri bersama suami, Mikail Karl Weimar, 36.
"Juadah yang dihidangkan bukanlah seperti di Malaysia, hanya ayam panggang, salad dan sayuran.
"Tahun ini, saya dan suami terpaksa bekerja pada hari raya. Kesibukan kerja sedikit sebanyak dapat melupakan kesedihan dan kerinduan pada keluarga dan kampung halaman di Batu Ferringhi, Pulau Pinang," kata Siti Asma yang teringin menikmati ketupat, nasi beriani, pajeri terung dan masakan ibunya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: