Wednesday, September 1, 2010

Wakaf tunai semarakkan Ramadan


Selain menderma umat Islam kini boleh memilih wakaf tunai sebagai salah satu cabang amal jariah. - Gambar hiasan


ALLAH SWT telah menentukan kedudukan iman umat-Nya yang bagaimana untuk diberi ganjaran dan pahala yang terbaik. Seperti firman-Nya yang bermaksud: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan atau kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (ali-Imran: 96).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya. (riwayat Muslim)."

Pun begitu jika ada sedekah jariah dan amal kebajikan yang dilakukan, ia tidak akan dapat menyamai ganjaran Allah SWT semasa bulan Ramadan.

Ini kerana sahabat Rasulullah yang terakhir wafat, Anas bin Malik r.a berkata: "Rasulullah ditanyakan, wahai Rasulullah apakah sedekah yang paling utama? Jawabnya sedekah pada bulan Ramadan." (riwayat Tirmizi)

Hadis ini mengesahkan sedekah mahupun amal kebajikan di bulan Ramadan sangat tinggi pahalanya berbanding bulan lain.

Mengikut hadis, bagi setiap ibadat wajib yang dikerjakan, pahala yang ditawarkan sangat lumayan iaitu 70 kali ganda pahala biasa. Bagi ibadat sunat pula, setiap ibadat yang dilakukan diberi balasan pahala wajib. Itulah kelebihan bulan Ramadan.

Alangkah ruginya umat Islam yang masih lalai daripada merebut 'bonus' yang diberikan oleh Allah SWT. Ibadat wajib yang akan mendapat pahala 70 kali ganda hanya ada dua iaitu solat dan zakat.

Berbeza dengan solat yang dilakukan setiap hari, ramai umat Islam membayar zakat di bulan Ramadan. Dengan itu tidak hairanlah ketika ini kaunter-kaunter zakat di seluruh negara mendapat kunjungan berganda daripada umat Islam yang ingin membayar zakat.

Ketika inilah pusat-pusat zakat negeri sibuk mengatur jadual dan program bagi melayani umat Islam yang mahu menunaikan zakat, sama ada zakat harta atau fitrah. Pelbagai promosi kempen dilakukan dan kaunter-kaunter luar termasuk di pusat membeli belah dan pejabat kerajaan dibuka untuk kemudahan orang ramai.

Ibadat sunat yang boleh dan mudah dilakukan sepanjang bulan yang mulia ini juga banyak dan pelbagai.

Antaranya membanyakkan bersedekah, membaca al-Quran, mengadakan jamuan berbuka puasa, berzikir dan berwirid mengingati Allah, memohon keampunan dan beriktikaf di masjid terutama pada 10 malam terakhir Ramadan.

Ibadat-ibadat itu merupakan kegemaran dan pilihan ramai umat Islam.

Namun begitu satu ibadat sunat yang boleh dilakukan tetapi agak dilupakan oleh umat Islam ialah berwakaf dengan wang atau lebih popular dengan istilah wakaf tunai.

Di beberapa negeri ia lebih dikenali dengan nama Saham Wakaf. Mengikut amalan dan tradisi umat Islam, wakaf tunai amat kurang dilakukan umat Islam di sepanjang bulan Ramadan sejak kebelakangan ini.

Ia mungkin kerana wakaf tunai disamakan dengan sedekah walaupun hakikatnya kedua-duanya amat berbeza sekali.

Oleh kerana menganggapnya sebagai sama, maka umat Islam berpandangan tidaklah lagi perlu membuat wakaf tunai disebabkan telah melakukan sedekah.

Apakah yang dimaksudkan wakaf tunai? Mengikut definisi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Perdana Menteri, wakaf tunai bermaksud berwakaf melalui wang tunai dengan cara membeli unit-unit saham yang ditawarkan dan mewakafkan semula saham-saham tersebut kepada pihak yang menguruskannya iaitu Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Wang pembelian unit-unit saham ini akan dikumpul di dalam tabung Saham Wakaf untuk ditukarkan kepada harta kekal yang dinamakan badal. Hasil harta wakaf tersebut akan digunakan untuk kebajikan agama Islam dan umatnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: