Monday, September 6, 2010

Universiti kita mampu bersaing

TERPILIH antara kelompok universiti cemerlang negara pasti besar impaknya apatah lagi persaingan dunia pendidikan global semakin ketara dengan pelbagai penemuan dan penjanaan ilmu baru.

SERBA LENGKAP...kemudahan serba lengkap untuk mengikuti proses pembelajaran adalah antara penilaian yang sentiasa dilihat masyarakat di sesebuah institusi.
SERBA LENGKAP...kemudahan serba lengkap untuk mengikuti proses pembelajaran adalah antara penilaian yang sentiasa dilihat masyarakat di sesebuah institusi.

MASA DEPAN...graduan antara elemen terpenting untuk menilai kemampuan sesebuah institusi. ANTARABANGSA...institusi wajar memperbanyakkan pendedahan peringkat antarabangsa. GALAKAN...institusi dan pelajar cemerlang sentiasa mementingkan elemen ilmu dalam semua aspek. INGIN TAHU...budaya ingin mencari ilmu perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar supaya institusi mampu terus menjana kecemerlangan. PRAKTIKAL...latihan praktikal mampu menjana kesempurnaan ilmu di kalangan pelajar. CARI PENGALAMAN...kemahiran insaniah seperti komunikasi menjadi budaya penting perlu diterapkan.


MASA DEPAN...graduan antara elemen terpenting untuk menilai kemampuan sesebuah institusi.
Bagaimanapun, bukan calang cabaran terpaksa dipikul dengan pengiktirafan itu apatah lagi mengubah persepsi masyarakat yang sering melabelkan institusi pendidikan tinggi (IPT) negara sebagai jaguh kampung.

Meskipun banyak pening­katan taraf dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) masih wujud suara sumbang memperlekehkan kewibawaan institusi.

Lebih menyedihkan, sikap suka membandingkan antara satu institusi dengan institusi lain meskipun mempunyai objektif sama memperkasakan dunia pendidikan tanah air.

Persoalannya, sejauh manakah kemampuan institusi tempatan bersaing di persada pendidikan global? Atau hanya mampu menunjukkan kehebatan sesama sendiri.

Presiden Management and Science University (MSU), Profesor Datuk Wira Mohd Shukri Ab Yajid, berkata ja­ngan memperlekehkan institusi tempatan kerana terbukti mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa serta duduk sebaris dengan institusi terkenal dunia.Beliau berkata, tanggapan institusi tempatan kurang berwibawa bukan budaya masyarakat berilmu ­kerana institusi ini landasan awal memberi pendidikan ­tertinggi.


“Sikap suka membanding­kan institusi seperti inilah yang bakal merosakkan masa depan. Dalam arena pendidikan, perbandingan tidak boleh dilakukan dengan hanya membuat tafsiran rambang.“Apakah bukti IPT tempatan jauh ketinggalan sedangkan banyak pihak berhempas pulas membawa ke peringkat global. Tukar cara pemikiran itu kerana sumbangannya besar kepada negara,” katanya.

Selain pemantauan badan profesional seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), KPT turut melaksana dan memberi pelbagai pengiktirafan bagi memastikan institusi sedia ada setanding dari segi kualiti dan kecemerlangan, antaranya Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (Setara).

Mohd Shukri, berkata apa yang dilakukan itu membuktikan usaha memartabatkan bidang pendidikan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, malah mencerminkan hasrat semua pihak.

“Pelbagai program dan pelaksanaan perancangan dilakukan bagi meningkat­kan lagi mutu pendidikan sedia ada, usaha ini wajar membuka mata pihak yang suka mengkritik.

“Jangan samakan dengan institusi negara luar, IPT negara masih baru dan banyak perlu dipelajari, namun jangan memperlekehkan sesuka hati,” katanya.

MSU terpilih antara 18 institusi awam dan swasta dalam kategori cemerlang (Tier 5) dalam pengiktirafan Setara, baru- baru ini, sekali gus melonjakkan prestasi­nya di persada pendidikan negara.

Pemilihan berkenaan satu pengiktirafan dan bukti MSU mampu bersaing secara sihat dalam menjana pembangunan sektor pendidikan negara, sekali gus menjadi universiti pilihan ramai.

“Namun, kejayaan itu bukan datang dengan mudah, terpaksa mendaki pelbagai kesukaran hingga setanding institusi lebih terkenal.

“Antara penekanan utama ialah pengantarabangsaan membabitkan pensyarah, pelajar dan latihan industri.

“Jumlah pelajar dan pen­syarah asing akan diperting­katkan 20 peratus daripada jumlah sedia ada serta menjalin hubungan industri dengan pelbagai syarikat bertaraf global terutama di Asean, China dan India.

“Aspek penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran turut ditekankan sebagai elemen utama bagi meningkatkan lagi mutu pendidikan sedia ada,” katanya.

Ditanya mengenai persaingan, beliau berkata, ia wajar dilihat dari sudut positif kerana bidang pendidikan memerlukannya sebagai pencetus semangat mening­katkan lagi kepelbagaian penerokaan cabang ilmu.

“Kalau tiada persaingan, IPT dan pendidikan akan mati , generasi pula di takuk lama. Persaingan perlu bagi membangkitkan semangat bersaing.

“Kejayaan semua institusi dapat diraih jika semua saling menyokong, bidang pendidikan memerlukan elemen positif untuk membentuk satu jaringan hebat dalam penerokaan ilmu,” katanya.


INFO

SETARA

SETARA adalah pengiktirafan kepada institusi pendidikan tinggi awam atau swasta dengan mengambil kira aspek tertentu bagi menjana kecemerlangan institusi. Ia program untuk penambahbaikan kualiti secara berterusan yang meslengkapi jaminan kualiti MQA.

Terdapat enam tier dan melalui pengumuman terbaru SETARA, Julai lalu, 18 institusi berjaya mencapai Tier 5 iaitu cemerlang, sekali gus mendapat beberapa kelebihan, antaranya boleh memohon dan menerima geran penyelidikan disediakan kerajaan selain layak menerima status universiti penyelidikan serta menambah bilangan program pelajar pra dan pasca siswazah sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: