Monday, September 6, 2010

Pucuk segar jaminan mutu

POKOK gaharu menyimpan pelbagai manfaat, sama ada seperti yang diceritakan dalam kitab lama mahupun hasil penyelidikan moden.

MANFAATKAN GAHARU...teh dan sabun dihasilkan menerusi perniagaan diusahakan Kasmah dan suami.
MANFAATKAN GAHARU...teh dan sabun dihasilkan menerusi perniagaan diusahakan Kasmah dan suami.
KHASIAT...kebaikan gaharu disebut dalam kitab lama serta hasil kajian moden.
KHASIAT...kebaikan gaharu disebut dalam kitab lama serta hasil kajian moden.
>>Teks dan gambar Mohd Rafi Mamat am@hmetro.com.my Lantaran itu, Kasmah Othman, 57, tidak teragak-agak menghasilkan teh dan sabun berasaskan tumbuhan berkenaan sejak lebih setahun lalu.


Idea menghasilkan teh dan sabun daripada pokok gaharu tercetus selepas suaminya, Halim Ismail melakukan kajian terhadap keistimewaan pokok berkenaan yang tercatat dalam beberapa kitab lama.


Menurutnya, pelbagai khasiat terdapat pada teh yang dihasilkan daripada pucuk pokok gaharu antaranya dapat membantu menangani penyakit darah tinggi, kanser kulit, asma, kencing manis dan sukar tidur selain membantu melancarkan peredaran darah.


“Terdapat sekurang-kurangnya 10 penawar pada teh pucuk pokok gaharu. Bagaimanapun, saya yakin jumlahnya lebih daripada itu terutama selepas kajian secara menyeluruh dilakukan oleh pakar perubatan tempatan.


“Dalam kitab lama banyak menceritakan khasiat yang terdapat pada pokok gaharu yang lebih terkenal dengan minyaknya yang digunakan untuk membuat wangian dan mendapat permintaan menggalakkan di negara Timur Tengah,” katanya yang memasarkan produk keluarannya menerusi jenama Natural Living.


Kasmah mendapatkan pucuk pokok gaharu segar dari ladang adiknya di Raub, Pahang, yang memiliki kira-kira 5,000 pokok gaharu. Setiap dua minggu, pucuk pokok berkenaan diambil untuk melalui beberapa proses sebelum dijadikan serbuk teh.


Dalam usaha menjaga kualiti produk yang dihasilkan, dia ha­nya mengambil pucuk yang segar dan bebas daripada penyakit serta kulat termasuk serangan serangga sebelum diproses di kilangnya di Kuala Lipis, Pahang. “Untuk memberi lebih keistimewaan daripada segi rasa teh gaharu yang dihasilkan, saya mencampurkannya dengan daun stevia yang menghasilkan rasa manis tanpa menggunakan gula. “Selain menghasilkan rasa manis, daun stevia mempunyai pelbagai khasiat lain antaranya membantu untuk mengawal kandungan gula dalam darah, membuang angin dalam badan dan melancarkan peredaran darah,” katanya.


Selain pasaran tempatan, teh pokok gaharu yang dihasilkan diedarkan ke Singapura, Brunei dan Thailand. Dia juga akan berusaha mendapatkan pengedar di beberapa negara Barat dan Timur Tengah.


Mengenai sabun pokok gaharu, dia mendapat kepakaran daripada beberapa pakar tempatan untuk membuat kajian seterusnya menilai khasiat yang terdapat pada produk berkenaan.


Menurutnya, pengguna dapat melihat hasil selepas mereka menggunakan sabun berkenaan yang membantu kulit wajah dan bahagian badan lain daripada segi kecerahan kulit apabila menggunakan produk yang 100 peratus dihasilkan tanpa bahan kimia itu.“Ia membantu memperbaiki sel kulit. Justeru, wanita yang mementingkan kecantikan semula jadi sesuai menggunakan produk ini tanpa rasa bimbang dan was-was daripada segi kesuciannya.


“Saya menghasilkan sabun ini secara tradisional. Untuk menambah kualiti, madu lebah dan perahan pokok stevia dicampur mengikut sukatan tertentu,” katanya yang sentiasa berusaha menambah produk daripada pokok gaharu.


Kasmah berkata, semua produk yang dihasilkan dijual pada harga berpatutan yang mampu dimiliki semua lapisan masyarakat. Pengguna boleh mendapatkannya di semua wakil jualan seluruh negara dan lebih penting, semua produk dihasil­kan mempunyai sijil halal. Kejayaan dalam bidang perniagaan produk daripada pokok gaharu ini banyak mendapat bantuan dan sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan yang sentiasa menghulurkan khidmat tanpa jemu. Selepas berjaya menghasilkan teh dan sabun pokok gaharu, dia kini berusaha menghasilkan beberapa produk baru seperti kopi gaharu yang lebih khusus untuk membantu menurunkan kandungan gula dalam darah terutama bagi penghidap kencing manis.


“Saya yakin produk yang berasakan pokok gaharu ini akan terus mendapat permintaan menggalakkan kerana pelbagai khasiat yang dimilikinya.“Sebagai pengusaha saya berharap agensi kerajaan dapat membantu daripada segi promosi termasuk menghulurkan bantuan yang sesuai kepada mereka yang terbabit dalam industri ini,” katanya yang bercadang untuk membuka ladang pokok gaharu suatu hari nanti.


Kasmah berkata, untuk memperluaskan rangkaian produk perniagaan diusahakan bersama suaminya itu, dia turut menge­luarkan produk madu lebah pokok tualang yang diperoleh daripada penduduk di Lipis, Raub dan Jerantut. Bagi penghidap penyakit kencing manis, Nature Life Resources mengeluarkan air perahan daun pokok stevia bagi menggantikan gula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: