Thursday, September 23, 2010

Teruja beli barang anak


Kehidupan Azawate Zenol Abidin dan suami, Raqizal Khalis Husni kini lebih ceria dengan kehadiran Izz Zaquan Raqizal Khalis.


TIADA apa yang lebih menggembirakan pasangan suami isteri, apabila setelah sekian lama mendirikan rumah tangga, akhirnya diberitakan akan menimang cahaya mata.

Situasi tersebut merupakan perkara lumrah di mana setiap pasangan yang telah mendirikan rumah tangga pastinya tidak sabar menantikan cahaya mata yang akan menyerikan lagi ikatan perkahwinan.

Begitulah juga yang dirasai oleh Personaliti Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Azawate Zenol Abidin, 35.

Beliau yang telah mendirikan rumah tangga bersama Raqizal Khalis Husni, 34, pada Februari 2008, sememangnya amat menantikan kelahiran cahaya mata pertama tambahan pula mereka suami isteri merupakan anak sulung di kedua-dua belah keluarga.

Sudah pasti kelahiran cucu sulung turut dinanti-nantikan baik bagi keluarga Azawate mahupun keluarga Raqizal.

Bercerita lanjut mengenai putera sulungnya, menurut Azawate atau lebih mesra disapa Aza, selain kehadirannya amat dinanti-nantikan, Izz Zaquan Raqizal Khalis yang baru mencecah usia setahun, tidak banyak ragam sejak dilahirkan lagi.

''Sepanjang mengandungkan Zaquan, Aza mengalami alahan yang teruk hinggakan ada satu hari Aza muntah ketika memandu sebab tiada tempat untuk berhenti dan muntah di lantai pejabat sebab tak sempat ke tandas.

''Walaupun begitu, Aza tetap kuatkan diri kerana sememangnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal.

''Alhamdulillah, akhirnya Zaquan selamat dilahirkan pada 7 Ogos 2009 di Hospital Pakar Damansara, Selangor,'' ujarnya yang juga merupakan Penolong Penerbit dan Penyampai Berita TV3.

Dia yang melahirkan Zaquan secara normal turut berkongsi pengalaman menceritakan kenangan yang menarik sewaktu mengandungkan anaknya itu.

Bagi Aza, apa yang paling istimewa ialah ketika buat pertama kali melihat gambar bayi dalam kandungan sehingga menitiskan air mata.

Selain itu, Aza juga teruja ketika membuat persiapan membeli barangan bayi walaupun pada mulanya tidak tahu hendak bermula dari mana.

Keterujaan Aza membeli barangan bayi dapat dilihat apabila beliau sanggup pergi seorang diri berulang kali sehingga terduduk bersila di lantai dan ketika itu usia kandungannya sudah mencecah lapan bulan.

Tambahnya, bermula dari saat disahkan mengandung, perjalanan hidup mula berubah dan jadual harian juga jauh berbeza jika di bandingkan dengan hari-hari sebelumnya.

''Sejak disahkan mengandung, segala-galanya berubah dan sudah pasti paling ketara ialah perubahan fizikal di samping emosi dan rutin harian.

''Bagaimanapun Aza bertuah kerana suami amat memahami keadaan Aza dan sehingga hari ini telah menjadi rutin harian kami, antara Aza dan suami, siapa yang kemudian pergi kerja akan hantar anak dan paling awal balik kerja akan mengambil anak di rumah ibu mertua Aza,'' tambah anak kelahiran Kedah itu.

Aza sememangnya merupakan insan yang bertuah kerana selain memiliki suami yang memahami tugas hariannya keluarga mertua turut sama membantu meringankan beban.

Ini kerana Zaquan akan dihantar ke rumah atok dan neneknya apabila Aza dan suami keluar bekerja.

Beliau yang sememangnya bekerja mengikut shift akan memastikan setiap masa terluang akan dihabiskan bersama keluarga.

Bercerita pula mengenai Zaquan, anak kecil itu sangat peka terhadap keadaan sekeliling dan mempunyai sifat ingin tahu yang mendalam.

Selain itu, Zaquan juga amat gemarkan muzik dan ini dapat dilihat apabila dia duduk bersama datuknya yang bermain piano atau gitar, pasti akan menggoyangkan badan dan kepala.

Setelah Zaquan genap setahun pada 7 Ogos lalu, Aza mula merancang menginginkan seorang puteri pula.

''InsyaAllah, selepas ini Aza nak pula merasa anak perempuan dan setakat ini, Aza dan suami menginginkan tiga orang cahaya mata,'' katanya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: