Monday, September 13, 2010

Tarikan MASiF 2010


Mimi One Nation Emcees


BUAT pertama kalinya Festival Antarabangsa Music, Seni dan Gaya 2010 (MASiF) 2010 akan berlangsung selama lima hari bermula 15 September ini di pusat membeli belah Pavilion, Kuala Lumpur.

MASiF 2010 akan mengenengahkan acara kesenian terbesar yang merangkumi muzik, fesyen dan seni halus sempena Hari Malaysia pada 16 September ini.

Festival gilang-gemilang itu bakal menjadi platform bagi menghimpunkan bukan sahaja penyanyi dan penggiat muzik malah pereka fesyen dan model serta beberapa cabang seni halus lain termasuk lukisan dan arca.

Pengerusi MASiF 2010, Datuk Khadijah Ibrahim berkata, apa yang membanggakan selain Pavilion, festival itu turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Pereka Bumiputera, Majlis Muzik Malaysia, ArtMalaysia, Saphire Screen Sdn. Bhd., Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Bernama TV.

"Keunikan festival ini bukan hanya melibatkan anak seni yang sudah mencipta nama dalam bidang kesenian masing-masing tetapi juga bakat-bakat baru yang hendak bertapak dan mencari arah dalam dunia seni mereka.

"Justeru, saya berharap MASIF 2010 akan menjadi satu acara yang besar hingga mampu menarik pelancong luar negara dan menjadi festival tahunan yang dinanti-nantikan semua lapisan masyarakat pada masa akan datang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Antara artis terkenal yang akan persembahan sepanjang berlangsungnya acara tersebut ialah Anuar Zain, Zainal Abidin, Amy Search, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Reshmonu, Deja Moss dan Aseana Percussion Unit (APU).

Turut terlibat Stacy, One Nation Emcees dan Azlan & Typewriter.

Artis luar yang turut menjayakan MASiF 2010 termasuk Ruth Sahanaya dari Indonesia, Zsa Zsa Padilla (Filipina) dan Mint dari Thailand. Ketiga-tiga artis tersebut bakal berkongsi pentas bersama Khatijah Ibrahim.

Bagi yang meminati muzik etnik kontemporari, anda juga berpeluang mendengar gesekan biola, Tengku Ryo yang sebelum ini pernah menerima beberapa anugerah di peringkat antarabangsa.

Turut mengambil bahagian ialah pereka-pereka fesyen yang bakal mempamerkan koleksi ciptaan terkini mereka seperti Datuk Tom Abang Saufi, Rahman Saif, Hazree Wahid, Rizman Ruzaini, Aidawati Saidin dan Faizell Azraff.

Selain model wanita, jejaka kacak finalis dan pemenang Manhunt Malaysia 2010 juga akan turut memperagakan koleksi fesyen pereka-pereka fesyen yang terlibat nanti

Model-model selebriti ini dibawa khas oleh Tangerine Models manakala Manhunt Malaysia pula oleh Star Search Entertainment.

Khatijah berkata, festival seperti MASiF 2010 ini mungkin pernah banyak diadakan sebelum ini tetapi dalam skala yang kecil dan tidak melibatkan ramai penggiat seni tanah air.

"Kami berharap semua peminat seni akan hadir pada festival ini semata-mata bukan sekadar untuk menghargai elemen budaya dalam muzik itu tetapi melahirkan rasa sayang kepada negara sempena Hari Malaysia pada 16 Mei ini," jelas Khatijah.

Sementara itu, Penganjur MASiF 2010, Sofia Akzan Amir berkata, pihaknya turut merancang untuk membawa festival itu ke luar negara dalam usaha mempopularkan seni budaya negara di mata dunia.

Beliau berkata, gabungan akar seni Malaysia menerusi industri fesyen, karyawan seni hiburan tempatan dan juga seni halus lukisan dilihat mampu menjadikan festival itu sebagai satu produk pelancongan negara pada masa depan.

"Pada festival pertama kali ini, kami menjangkakan lebih 15,000 pengunjung terutamanya pelancong asing akan menyerbu Pavillion pada 15 September ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: