Monday, September 13, 2010

Bermaafan di pagi Syawal


Kamal Adli dan Intan Ladyana.


BIARPUN Aidilfitri sudah dua hari berlalu, kemeriahannya tetap terasa. Apatah lagi peluang dapat berjumpa dengan sanak saudara menjadikan suasana kali ini meriah berbanding tahun-tahun terdahulu bagi kebanyakan orang.

Seperti biasa, dalam setiap perjalanan hidup sudah pasti ada yang terkhilaf. Sebagai manusia biasa sudah pasti ada sahaja kesilapan dilakukan yang mengguris lubuk sanubari.

Bagi yang masih berpeluang menyambut Aidilfitri kali ini sudah pasti peluang untuk saling bermaaf-maafan tidak dilepaskan. Saat yang paling menggembirakan sudah pasti melihatkan hubungan yang selama ini tak berkesudahan kembali jernih.

Kamal Adli, Intan Ladyana, Ammar Alfian dan Puteri Sarah juga begitu. Mereka mengharapkan ketibaan bulan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam itu membuka lembaran baru buat diri semua.

Meskipun ada yang terasa hati sebelum ini, keempat-empat artis popular tanah air ini mahu memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan sepanjang menyelusuri perjalanan sebagai anak seni.

Kata mereka, inilah masa yang terbaik untuk merapatkan hubungan yang sudah semakin terpisah selain meraikan bulan kemenangan bagi seluruh umat Islam.

Namun peluang untuk berkumpul bersama saudara mara tidak dilepaskan mereka. Sudah banyak aktiviti yang dirancang semenjak Ramadan yang lalu akan dilaksanakan sepanjang mereka bercuti.

Balik kampung

Antara sedar dan tidak, perjalanan yang dilalui oleh pelakon yang sedang meningkat naik ini cukup membanggakan. Terlalu komited membina nama, Kamal Adli tidak sedar tiada masa rehat untuk dirinya.

Lantas apabila tibanya hari lebaran, sudah pasti peluang itu tidak dilepaskan oleh pelakon drama bersiri Bionik itu untuk berkumpul bersama keluarga besarnya.

Jika pada tahun lalu dia pulang ke Kedah meraikan Aidilfitri di sana, kali ini Kamal pulang ke kampung sebelah bapanya di Pekan, Pahang untuk berkumpul bersama kaum keluarganya.

Adat menjadi orang popular sudah pasti ramai yang tertumpu kepada dirinya yang turut menjadi selebriti di kampungnya. Riuh-rendah suasana hari raya dengan gelak tawa dan yang paling penting dia akan menjadi pencerita yang setia.

Dari soal kerja sehinggalah hal-hal peribadi, semuanya akan dikorek oleh keluarga besar Kamal yang tak jemu-jemu menjadi pendengar yang setai.

“Ini sahaja masa yang saya ada untuk bertemu dengan saudara mara dan kawan-kawan. Kalau dulu masa jumpa ada yang masih merangkak. Tapi kalau jumpa kali ini sudah tentu ada yang berlari.

“Walaupun penat melayan tetamu yang tak putus-putus datang ke rumah, saya cukup seronok. Saya melayan mereka sama rata dan inilah satu-satunya cara saya menghargai mereka.

“Kalau dah ada di kampung pastinya banyak makanan yang akan terhidang atas meja. Pilihan saya sudah pasti ketupat palas dan rendang daging yang menjadi kegemaran sejak kecil lagi.

“Kalau tak ada pasti tak lengkap hari raya. tahun ini saya kena sediakan duit raya lebih sebab ramai yang ‘wajib’ menerimanya. Tak apa, ada rezeki lebih baik dikongsi-kongsi, barulah berkat,” jelasnya lagi.

Beraya di Bangkok

Jika orang lain cukup seronok berkumpul bersama orang yang tersayang, Syawal ini cukup berbeza buat gadis kecil molek ini. Kali ini dia menyambut Syawal di Bangkok, Thailand bersama keluarga sebelah rumah ibunya.

“Ibu saya orang sana, jadi kami sekeluarga akan pulang ke Bangkok untuk meraikan lebaran di sana. Cuma kali ini situasinya agak berbeza memandangkan kami satu famili akan ke sana.

“Saya akan menghabiskan masa selama seminggu sejak Ramadan terakhir lepas untuk menziarahi saudara di sana. Memang saya teruja memandangkan kami sekeluarga jarang pulang ke sana.

“Di sana masih ada ibu dan bapa saudara yang turut meraikan Aidilfitri. Walaupun tak semeriah sambutan di Malaysia ia sudah cukup menggembirakan hati saya,” luahnya lagi.

Meskipun gembira menyambut Syawal di sana, heroin filem Adnan Sempit ini cukup merindui makanan tradisi yang biasanya dijamu kepada tetamu di Aidilfitri.

Kata Intan dia cukup gemar menjamah lemang dan rendang tok yang menjadi makanan wajib setiap kali tibanya lebaran.

“Tak mengapalah, mungkin bila pulang nanti saya akan cari makan kesukaan saya itu. Lagipun pasti ramai yang akan buat rumah terbuka selepas ini. Saya pasti akan cari!

“Seperti mana insan-insan lain yang tidak terlepas melakukan kesilapan, saya juga mahu mengambil kesempatan memohon maaf kepada sesiapa sesiapa sahaja yang terasa hati dengan saya.

“Kadangkala kita buat silap tanpa disedari. Yang paling penting saya tak pernah lupa cium tangan kedua orang tua memohon berkat dan restu dalam menempuh hidup ini,” katanya.

Sekali lagi, saya mohon maaf – Ammar

Ya, lelaki yang berusia 23 tahun ini pernah mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan banyak pihak tercalar dengan sikapnya. Biarpun sudah memohon ampun dan maaf, dia tahu masih ada lagi insan yang tak mahu memaafkan dirinya.

Enggan terus larut dalam emosi sendiri, pemilik nama Ammar Alfian Aziz dengan rendah diri mahu semuanya berakhir. Pintanya jangan dipanjang-

panjangkan lagi kontroversi itu memandangkan dia sudah sedar kesilapan yang dilakukan.

Dia tahu ramai yang cukup marah dengan dirinya. Kalau boleh diputarkan kembali masa yang lalu, dia pun tidak mahu perkara itu terjadi.

“Dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini saya dengan rendah hati mahu memohon maaf kepada semua. Mungkin inilah masa yang terbaik buat saya muhasabah diri dengan apa yang telah berlaku.

“Sebagai manusia yang tak pernah terlepas dari melakukan kesilapan, apa lagi yang boleh saya katakan? Mungkin ada yang tak dapat memaafkan saya tapi berilah saya ruang dan peluang.

“Biarpun orang melihat saya menyepikan diri seketika, tapi masih ada lagi tawaran berlakon untuk saya. Saya hanya menerima tawaran yang benar-benar sesuai untuk diri saya” jelas Ammar.

Kerana insiden itu juga dirinya dikecam. Malah sudah tidak banyak cerita tentang pelakon dan model sepenuh masa ini dipaparkan di dada-dada akhbar lewat kebelakangan ini.

Bercerita mengenai sambutan hari raya, dia menyambut 1 Syawal kali ini seorang diri memandangkan kedua ibu bapanya menyambut lebaran di luar negara.

“Tak tahu nak gambarkan perasaan bagaimana. Memang sedih kerana beraya seorang diri tetapi ini merupakan pengalaman pertama saya selepas hidup selama 23 tahun.

“Saya anak bongsu daripada tiga beradik. Yang lain semuanya beraya di rumah mentua. Tak mengapa kerana masih ramai kawan-kawan saya yang tak pulang ke kampung halaman.

“Jadi tak adalah rasa sunyi sangat. Semuanya kena lalui sendirian. Persiapan pun ala kadar sahaja yang penting saya gembira,” jelasnya.

Bagi Ammar kesempatan untut meraikan Hari Raya cukup dinanti-nantikan setiap tahun. Katanya duia tidak akan terlepas untuk menziarahi rumah kekasihnya jika ada kelapangan. Dan ini merupakan cara untuk dirinya merapatkan kembali silaturahim antara mereka.

Sayu di pagi Syawal

Kata Puteri Sarah, menyusuri hidup sebagai anak seni tak ada satu perkara pun yang berubah dalam dirinya tatkala menyambut Syawal. Meskipun namanya kini semakin dikenali, dia tidak mahu berlebih-lebihan dalam meraikan lebaran kali ini.

Malah baju yang dipakai ketika melaram ke rumah saudara maranya pun sudah dibeli oleh ibunya sejak sebulan yang lalu dek kerana tak mahu bersesak-sesak di saat-saat akhir.

Namun gelora hatinya menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini cukup berbeza berbanding tahun sebelumnya.

“Saya ada empat beradik. Tapi raya tahun ini tak meriah macam raya tahun lepas sebab dua adik saya tak dapat pulang beraya memandangkan mereka belajar di luar negara.

“Jadi suasananya mungkin tak meriah macam dulu sebab yang tinggal hanya saya dan adik lelaki sahaja. Mujur ada keluarga lain yang sedikit sebanyak mengubat kerinduan saya kepada adik-adik.

“Seperti biasa tahun ini saya akan beraya di Petaling Jaya, Selangor sebelum ke Kulim, Kedah. Dah lama tak balik ke Kulim. Sudah pasti saya amat merindui kaum keluarga yang ada di sana.

“Paling terkesan apabila dapat berjumpa dengan datuk dan nenek yang sudah lama tidak ditemui. Maklumlah banyak sangat kerja yang saya kena lakukan sebelum ini,” jelasnya.

Bercerita mengenai kekasihnya Ammar, dia seboleh-bolehnya tidak mahu mencampuri masalah kekasihnya itu.

Banginya Ammar sudah cukup dewasa untuk menghadapi masalahnya sendirian tanpa melibatkan campur tangan dari pihaknya. Bukan tidak kasihan melihat kekasihnya itu tetapi biarlah keadaan yang menentukan apa kesudahannya.

“Kalau awak tanya saya, saya mahu semua orang beri peluang kedua kepadanya. Keadaan pun makin baik dan inilah masa yang paling sesuai untuk dia meneruskan karier seninya,” luah Puteri Sarah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: