Friday, September 17, 2010

Surasa kembalikan nostalgia silam


Siti Suaibah dengan hidangan hasil air tangannya.


JIKA terkenang makanan dulu-dulu ketika anda masih kecil, Restoran Surasa dapat memenuhi keinginan untuk menikmati makanan yang kini sukar ditemui lagi.

Ini kerana di Restoran Surasa yang terletak di Dataran Selayang, Batu Caves, Selangor, menyediakan bermacam-macam jenis makanan tradisional yang kebanyakannya mungkin pernah dijamah semasa tinggal di kampung dahulu.

Jika hendak makan lempeng terdapat beberapa jenis lempeng seperti lempeng biasa, lempeng kelapa, lempeng pisang, lempeng telur dan lempeng bawang.

Ingin pula makan jemput-jemput, ada jemput-jemput bawang, jemput-jemput tepung, jemput-jemput pisang dan jemput-jemput manis.

Banyak juga pilihan kuih-muih dan makanan Melayu seperti apam, seri muka, kuih bom, roti jala durian, popia, ondeh-ondeh, karipap, lepat ubi, lepat pisang, lepat labu, pisang rebus, ubi rebus, pulut kuning, pelbagai jenis pasta, mee rebus Johor, laksa Nyonya, laksa Johor, nasi dagang, nasi lemak, lontong, nasi beriani, nasi tomato, nasi minyak, nasi plau dan banyak lagi.

Sebab itu, siapa yang pernah makan di restoran ini pasti akan datang lagi kerana hendak menikmati makanan lain pula.

Lebih menggamit kedatangan pelanggan ialah semua jenis makanan yang dihidangkan memenuhi selera pelanggan dan cukup dengan ramuan serta bahan-bahannya.

Pemilik Restoran Surasa, Siti Suaibah Sirat, 63, berkata, dia membuka restoran itu sebagai mengenang nostalgia dan makanan yang pernah dimakannya semasa kecil di kampung.

Menurut bekas pengetua sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur itu, orang lain juga pasti akan terkenang-kenang dengan makanan yang pernah mereka makan semasa di kampung. Bagaimanapun amat sukar untuk menikmati makanan seperti ini di restoran.

Justeru setelah bersara dia mengambil keputusan untuk membuka sebuah restoran kerana minatnya sendiri ke arah bidang masakan dan berkebolehan pula memasak bermacam-macam jenis makanan.

''Saya memilih konsep makanan Melayu kerana saya lihat terlalu banyak restoran yang menjual makanan Thai sehingga anak cucu kita lebih mengenali makanan Thai daripada makanan Melayu tradisional,'' ujarnya.

Tambah Siti Suaibah, setiap makanan yang dimasak di restoran menggunakan bahan dan cara yang sama seperti dia memasak di rumah.

''Untuk memasak nasi lemak, saya menggunakan beras basmathi. Bila nasi hampir masak, saya renjiskan dengan minyak kelapa dara yang membangkitkan aroma yang lazat.

"Tip ini saya pelajari semasa saya pergi ke Labuan dan menikmati makanan di sana. Saya tanya kenapa bau nasi yang saya makan itu sedap. Rupa-rupanya mereka mencampurkan dengan minyak kelapa dara.

''Walaupun harga minyak kelapa dara ini mahal sedikit tetapi saya tak rasa rugi jika rasanya sedap dan pelanggan menyukainya,'' kata Siti Suaibah.

Jika pada hari-hari biasa, pelanggan dapat menikmati banyak pilihan makanan, pada hari Ahad pula dia menyediakan tiga set makanan lapan ringgit..

Selain makanan Melayu, dia turut menyediakan makanan masa kini seperti pasta, roti, pelbagai jenis nasi, mee, soto dan kuih-muih kering.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: