Friday, September 17, 2010

Merancang rumah terbuka

KITA masih lagi dalam suasana kehangatan bulan Syawal dan barangkali kebanyakan mereka yang tinggal di kota akan mengambil kesempatan untuk menjemput rakan taulan berkunjung meraikan rumah terbuka.

Kita perlu bersyukur kerana inilah keunikan dan keistimewaan Aidilfitri kerana kita meraikannya selama sebulan dan tiada persamaan dengan perayaan-perayaan yang lain.

Pada kali ini saya ingin berkongsi beberapa tip yang boleh menjadi panduan mereka yang bercadang melakukan rumah terbuka.

Pertama sekali anda perlu pastikan berapa ramai tetamu yang akan hadir pada majlis rumah terbuka anda.

Jika boleh dapatkan persetujuan kehadiran tetamu agar dapat menganggar berapa banyak makanan yang perlu anda sediakan.

Ini penting agar makanan yang disediakan mencukupi dan bagi mengelakkan pembaziran.

Dalam merancang sesuatu majlis, tip yang tidak kurang pentingnya adalah perancangan menu. Anda perlu merancang menu apa yang ingin anda hidangkan pada hari tersebut.

Pastikan menu yang akan anda sediakan itu adalah menu yang bersesuaian untuk disajikan pada tetamu yang hadir.

Pilihan makanan perlulah sesuai dengan tetamu anda yang mungkin berbilang kaum dan usia. Anda boleh merujuk daripada Internet, buku-buku masakan, majalah atau bertanya kepada rakan-rakan yang mahir tentang masakan.

Selain kos yang perlu diberi perhatian, anda juga perlu memilih menu yang mudah dan menjimatkan masa untuk disediakan agar makanan anda siap sebelum waktu acara bermula.

Jadi anda mempunyai cukup waktu untuk menguruskan hal-hal memasak dan tetamu yang hadir tidak perlu menunggu lama sehingga anda selesai memasak.

Sekiranya anda ingin kelainan untuk rumah terbuka anda, anda boleh memilih untuk menyediakan menu yang lebih istimewa dan lain dari yang lain tetapi mudah dan enak.

Saya yakin tetamu yang hadir tidak akan berasa jemu dengan menu yang biasa mereka nikmati. Contohnya anda boleh membuat air moktail dan ia sedikit berlainan jika anda hanya menyajikan air sirap yang mungkin agak biasa atau spageti goreng mamak yang menggantikan mi kuning.

Pasti tetamu akan berasa teruja dengan kelainan yang anda berikan. Jika boleh sediakan persiapan-persiapan seperti menyediakan bahan-bahan mentah dilakukan dengan lebih awal agar kerja-kerja memasak lebih terurus.

Anda juga boleh menyediakan beberapa makanan yang boleh dimasak dengan lebih awal seperti pencuci mulut atau salad dan ia boleh disimpan di dalam peti dingin sehari sebelum acara berlangsung. Ia pasti dapat menjimatkan masa di dapur.

Anda juga perlu bersedia dengan menu ekspres yang boleh disediakan dengan cepat sekiranya makanan tidak mencukupi.

Mungkin menu ekspres yang boleh anda sediakan seperti kentang goreng, mi goreng atau ayam goreng. Akhir sekali makanan yang anda sediakan itu perlulah dihidangkan dengan cara yang kreatif.

Hiaskan makanan dengan cantik dan hidangkan dalam bekas yang yang menarik dan bersesuaian.

Dengan cara ini ia dapat membangkitkan lagi selera tetamu yang hadir. Ia juga menggambarkan keikhlasan hati anda menjamu tetamu.

Pada minggu ini saya ingin berkongsi satu resipi mudah yang boleh anda sediakan pada majlis rumah terbuka atau mungkin anda boleh sediakan untuk dibawa ke rumah terbuka.

Dengan ini saya mengucapkan selamat mengadakan rumah terbuka dan berharap tip yang dikongsi dapat menjadikan rumah terbuka anda lebih terancang dan meriah.

2 comments:

  1. Kepada penternak-penternak kambing atau bebiri tempatan,ambillah peluang menyediakan menu barbecue kambing / bebiri tempatan sebagai langkah mempromosi produk tuan puan di musim perayaan ini.Cubalah...Insya Allah ada permintaan selepas itu.Belum cuba belum tahukan?

    ReplyDelete
  2. saya sokong cadangan kelisalaiku ..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: