Saturday, September 25, 2010

'Saya terima apa saja watak'

BIARPUN tegas pengarah Erma Fatima mendidik pendatang baru dalam lakonan, Rabiatul Balqis Rameshan, 22, atau Bea, gadis kelahiran Machang, Kelantan ini tetap berterima kasih kerana Erma banyak mengasah bakatnya.

pix_middle

SEKSI...mendapat bimbingan Erma Fatima, Bade Azmi dan Othman Hafsham. BEA...bakat dicungkil daripada program Pilih Kasih.


SEKSI...mendapat bimbingan Erma Fatima, Bade Azmi dan Othman Hafsham.
Ketika menyertai program realiti TV, Pilih Kasih musim pertama dulu, Bea turut mendapat bimbingan pengarah program, Emi Marziah. Tanpa didikan dan pengalaman menyertai program itu dia berasakan bagaikan kurang ilmu dan pengalaman dalam dunia lakonan.

Biarpun impian untuk bergelar juara pada pertandingan itu tidak tercapai, dia mendapat pengalaman cukup berharga. Bea yang pernah menggunakan nama Rabiatul Balqis, ingin terus mencari tapak dalam bidang mencabar ini.

“Memang saya berterima kasih kepada Kak Erma dan Kak Emi. Malah sebelum menyertai Pilih Kasih, saya sudah mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan. Saya bersyukur kerana ditawarkan menjayakan watak utama dalam drama Tok Ketua arahan Sofi Jikan siaran Astro Prima. Dalam drama itu saya digandingkan bersama kumpulan Sepah dan Zaibo. Saya sedar susah untuk produser memberi kepercayaan kepada pelakon baru seperti saya.

“Jadi saya rasa bertuah. Malah penyertaan menerusi Pilih Kasih landasan terbaik untuk membina tapak. Soal glamour atau tidak saya tidak kisah sangat.
Sejak menceburi bidang seni saya meletakkan sasaran untuk serius dalam bidang ini. Saya mahu pergi lebih jauh dalam bidang seni,” kata Bea yang turut diundang sebagai pengacara untuk sesi uji bakat, Pilih Kasih 2 yang berlangsung di Shah Alam, baru-baru ini.

Dia tidak menolak kemung­kinan terbabit dalam bidang pengacaraan selain melebarkan langkah dalam profil seni apabila bakal beraksi di layar perak jika tawaran dan segala urusan berjalan lancar tidak lama lagi.Bercerita lanjut mengenai pembabitan awal dalam dunia seni gadis berdarah campuran Melayu-India bersyukur kerana mendapat sokongan dan galakan penuh daripada keluarga ketika berhasrat untuk bergelar anak wayang. Walaupun pembabitan dalam bidang pengiklanan dan lakonan pada awalnya hanya sekadar mengisi masa lapang, lama kelamaan membuatkan dia jatuh cinta sehingga membulatkan tekad untuk terus mewarnai dunia seni.


“Pada mulanya saya sering terbabit dalam menjayakan iklan komersial. Secara kebetulan saya dipelawa oleh rakan untuk menyertai uji bakat drama Surat Cinta arahan Jurey Latif beberapa tahun lalu. Selepas membaca skrip dan melalui sesi uji bakat saya diberi kepercayaan oleh Jurey untuk menjayakan watak pembantu.


“Alhamdulillah, orang nampak bakat saya. Tawaran juga mula datang. Saya selesa memberi tumpuan kepada sesuatu pekerjaan terlebih dulu sebelum melaksanakan kerja yang lain. Saya juga senang bergerak sendiri,” kata anak sulung empat beradik itu.

Dia yang turut bercita-cita menjadi peguam, sering diberikan watak wanita sopan dan dicintai memaklumkan mengidamkan watak antagonis jika diberi peluang kelak. Dia juga tidak kisah bekerja dengan mana-mana pengarah kerana menganggap setiap individu mempunyai kreativiti dan cara masing-masing.

“Sebagai pelakon saya akan terima apa saja watak. Saya cuba melaksanakan tanggung­jawab yang diberikan dengan sebaik mungkin. Maklum balas terhadap mutu lakonan turut memberi kepuasan kepada saya. Kalau boleh saya juga mahu menjadi pelakon serba-boleh.

“Boleh dikatakan saya sudah bekerja dengan ramai pengarah. Setiap pengarah yang pernah saya bekerja seperti Bade Azmi dan Othman Hafsham ada kreativiti tersendiri,” katanya yang seronok berlakon dengan Zulhuzaimy menerusi drama Unjul Nak Jadi Orang yang menjalani penggambaran di Grik, Perak.

PROFIL
NAMA KOMERSIAL: Bea Rameshan
NAMA PENUH: Rabiatul Balqis Rameshan
TARIKH LAHIR: 25 Mei 1988
TEMPAT LAHIR: Machang, Kelantan
ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Sains Geometrik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam
KARIER: Pelakon dan model
KOMERSIAL: Nokia
DRAMA: Tok Ketua, Tan Tun, Biar Betul Bendul, Pangkin Atuk, Surat Cinta, Sutera Sebalik Wajah, Pusaka dan Unjul Nak Jadi Orang

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: