Saturday, September 25, 2010

Pekerja ‘curi’ kereta pelanggan

KEPONG: Seorang pemilik premis mencuci kenderaan mendakwa diugut pelanggannya supaya membayar ganti rugi selepas kenderaan dihantar untuk dicuci dilarikan bekas pekerjanya yang disyaki berpakat dengan pelanggan terbabit untuk melakukan peras ugut, awal bulan ini.

KESAL...Yap menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KESAL...Yap menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
Menurut Joan Yap, 28, kejadian bermula apabila seorang pekerjanya berusia 23 tahun yang baru memulakan tugas hari pertama melarikan sebuah kereta Honda Civic hitam milik pelanggan terbabit selepas kira-kira tiga jam bekerja. Katanya, selepas dimaklumkan perkara itu oleh pekerja lain, dia menghubungi pekerja terbabit sebelum lelaki itu memberi alasan tidak biasa dengan kawasan berkenaan menyebabkannya terlewat memulangkan kenderaan dilarikan.


Namun, menurutnya, beberapa jam selepas itu, dia gagal menghubungi pekerja terbabit dan membuat laporan di Balai Polis Kepong pada hari sama.


“Bagaimanapun, lima hari kemudian, pemilik kenderaan itu menghubungi saya dan memberitahu keretanya berada di Genting Highlands, Pahang.


“Berikutan itu, saya menghubungi bekas pekerja terbabit dan meminta dia memulangkan kenderaan sebelum dimaklumkan sudah digadaikan kepada along sebelum saya menerima panggilan along yang mengugut supaya membayar RM10,000 jika mahukan semula kenderaan itu.


“Saya mahu membayar RM5,000, tetapi along terbabit menolak, sebaliknya meminta saya membayar RM6,000,” katanya ketika ditemui bersama Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, semalam.


Yap berkata, enggan melayan permintaan along terbabit, dia mendiamkan diri sebelum beberapa hari kemudian, pemilik kereta itu menghubunginya dan memberitahu kereta berkenaan selamat bersamanya.


“Hairan dengan kejadian itu, saya membuat laporan kedua di Balai Polis Genting Highlands.


“Namun, saya kecewa kerana polis mendakwa kes itu selesai apabila kereta sudah ditemui sedangkan saya diburu pemilik kereta dengan meminta membayar ganti rugi RM5,500 konon untuk mengganti alat penggera serta menukar plat pendaftaran kenderaan itu,” katanya.


Sementara itu, Lim berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Sabtu Osman pada 20 September lalu yang meminta menyiasat semula kes terbabit yang didakwa meragukan dan mempunyai unsur ugutan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: