Friday, September 3, 2010

Rundingan damai Asia Barat bermula


BENJAMIN NETANYAHU (kiri) dan Mahmoud Abbas (kanan) berjabat tangan sambil disaksikan Hillary Clinton (tengah) di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Washington semalam.


WASHINGTON – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton semalam memulakan rundingan damai yang pertama antara Israel dan Palestin dalam tempoh 20 bulan di sini.

“Saya tahu keputusan untuk duduk di meja rundingan ini bukan mudah. Kami faham tentang rasa syak wasangka dan skeptikal selepas konflik berlanjutan selama bertahun-tahun lamanya serta harapan yang tidak kesampaian,” kata Hillary kepada pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Berlangsung di dalam sebuah bilik di Jabatan Negara AS, para pemimpin itu akan membincangkan isu-isu penting yang telah menggagalkan rundingan damai sebelum ini. Antara isu itu ialah keselamatan Israel, sempadan negara Palestin, hak pelarian Palestin untuk pulang dan masa depan Baitulmuqaddis yang dituntut oleh kedua-dua belah pihak.

Netanyahu menyatakan perdamaian boleh dicapai hanya menerusi ‘persetujuan yang sukar’ daripada Israel dan Palestin.

Beliau turut meminta Palestin agar mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara Yahudi.

Sementara itu Palestin pula mahu mewujudkan sebuah negara di Tebing Barat dan Genting Gaza yang kini dikuasai oleh pergerakan Hamas, selain menjadikan timur Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya.

Bagaimanapun, Israel mendakwa Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya yang tidak boleh dibahagikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: