Friday, September 17, 2010

Rodziah jual barang Vietnam


Baju kurung menjadi pilihan pelanggan di Rod'z Collection.


RAMAI yang meminati produk mahupun kraf tangan yang diperoleh dari negara-negara luar. Tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai satu urusan perniagaan yang menjanjikan pendapatan lumayan apabila membawanya ke negara ini untuk dijual.

Bagaimanapun, jika anda berminat kepada produk dan barangan kraf tangan luar seperti Vietnam, anda tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkannya dari negara itu.

Selain murah, menarik dan pelbagai, produk Vietn am juga mampu memenuhi citarasa penggemarnya dengan barangan yang eksklusif.

Pemilik Rod'z Collection, Rodziah Shariff, 52, yang juga menjadi pembekal dan pengedar barangan dari negara itu berkata, sebelum ini dia tidak menyangka bahawa koleksi barangan seperti baju, kain, kraf, beg, kasut, telekung, tudung dan jubah dari Vietnam mendapat sambutan yang hangat di sini.

" Ramai yang meminati produk dari Vietnam. Kita mengambilnya secara pukal daripada pembekal di sana," katanya.

Pembekal Rodziah dari Vietnam adalah dari kalangan peniaga industri kraf dan kain-kain tempatan yang berpusat di Ho Chi Minh dan mereka merupakan golongan Melayu Champa, yang beragama Islam.

''Mereka menyiapkan pesanan dan tempahan yang kita mahukan mengikuti cita rasa tempatan,'' katanya.

Berasal dari Pulau Pinang, ibu kepada dua anak itu bercerita, pada mulanya dia hanya mengikuti suaminya yang bertugas di sana untuk beberapa minggu.

Melihatkan kepada keunikan produk keluaran negara itu seperti telekung dan tudung, dia cuba membawanya ke negara ini dan menjualnya kepada rakan-rakan.

''Sambutannya agak menggalakkan, rumah saya penuh dengan barangan dari Vietnam mengikut pesanan daripada rakan-rakan.

''Bertitik-tolak dari situ, sejak tiga tahun yang lalu saya membuka kedai di pusat membeli-belah Galaxy di Ampang, Selangor ini,'' katanya.

Rodziah memberitahu, ramai di kalangan pelanggannya adalah terdiri dari mereka yang memang sudah mengetahui mengenai produk yang dijualnya.

Selain itu, dia juga menerima pesanan daripada peniaga-peniaga lain di seluruh negara yang mahukan produk negara itu untuk dijual di sini.

Mengulas lanjut, Rodziah memberitahu, barangan Vietnam lebih digemari memandangkan pembuatannya yang unik, corak yang eksklusif, buatan tangan, selesa dan cantik.

''Sebagai contoh, kita juga banyak menjual baju kurung yang bersulam cantik, telekung dan tudung.

''Vietnam ini terkenal dengan suteranya, ada juga kain jenis syifon, tenun, kain kapas dan sebagainya,'' tambahnya.

Bukan itu sahaja, kepada peminat barangan Vietnam ini, mereka juga boleh mendapatkan barangan dengan harga yang amat berpatutan di kedainya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: