Friday, September 17, 2010

T&T sentiasa cari kelainan


Ruang pameran di butik T & T berkonsep Inggeris.


SEBAGAI orang berniaga baginya pelanggan yang masuk ke butik membawa rezeki dan tidak wajar jika disambut dengan wajah kurang mesra.

Justeru itu walau penat macam mana pun dia harus memberikan layanan sebaik mungkin memenuhi falsafah perniagaan pelanggan adalah 'raja'.

Demikian akui pemilik Butik T & T, Hayati Muslim, 38, ketika ditemui di butiknya yang terletak di Ampang Park, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menamakan butiknya sebagai T & T kata Hayati, ia sempena namanya sendiri yang dipanggil ringkas sebagai T oleh keluarga sejak kecil lagi.

Dibuka pada tahun 1997 dengan bermodalkan RM100,000, Hayati mencuba nasib dalam perniagaan pakaian dengan berbekalkan sijil menjahit yang dimiliki.

''Mulanya saya hanya berniaga pakaian kasual yang sudah siap untuk melihat sambutan pelanggan. Bagaimanapun setelah melihat sambutan yang dikira amat baik, saya mula meluaskan perniagaan dengan mengambil tempahan pakaian pula.

''Banyak tempahan yang diterima untuk menghasilkan baju kurung tradisional dan baju kurung moden hingga saya terpaksa menambah pekerja bagi menyiapkan tempahan pada masa yang dikehendaki pelanggan,'' ujar Hayati yang berasal dari Kampung Melayu Ampang, Selangor.

Hasil jahitan yang memuaskan hati pelanggan dan pakaian yang dijahit selesa dipakai menjadikan butik T & T semakin menjadi sebutan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai golongan daripada golongan pekerja hingga vip.

''Dari semasa ke semasa saya sentiasa berusaha mencari kelainan agar pelanggan tidak mudah contoh.

"Sebagai contoh, trend sekarang ialah kaftan moden. Sambutan begitu bagus sekali. Kebanyakan pelanggan yang datang, memilih kaftan untuk dipakai di hari raya ini.

''Rekaan kaftan yang paling mendapat sambutan ialah yang dibuat daripada batik syifon krep, batik syifon dan sutera syifon. Corak dan warnanya memang menarik dan berbeza. Pada bahagian perut, lengan dan leher pula dijahit dengan manik-manik yang menjadikan pemakainya nampak begitu elegan.

" Selain itu, saya mendapatkan kain daripada pembekal juga membeli sendiri kain dari Dubai, China, India, Indonesia dan Korea,'' kata Hayati.

Memilih konsep Inggeris yang redup, bahagian bawah butik dikhususkan untuk baju yang sudah siap sementara bahagian atas untuk kerja-kerja memotong kain, menjahit baju dan menjahit manik.

Menurut Hayati lagi, selain membuat baju untuk wanita atau si ibu, beliau turut menerima tempahan membuat baju untuk sekeluarga.

Ini biasanya untuk mereka yang akan mengadakan majlis perkahwinan di mana pakaian yang dipakai mengikut tema.

''Kebanyakan baju di butik ini saya sendiri yang memotong kerana pelanggan lebih selesa dengan sentuhan tangan saya. Untuk jahitan manik, saya serahkan kepada pekerja yang mahir. Butik T & T ini memang dikenali dengan jahitan manik yang halus dan kreatif.

''Terbaru, saya buat beberapa rekaan tudung daripada yang ringkas untuk ke pejabat atau kasual sehingga pada tudung eksklusif yang dijahit dengan manik dan kristal sesuai untuk dipakai pada majlis-majlis istimewa,'' jelas Hayati.

Beliau turut meluaskan perniagaannya dengan menyediakan pakej perkahwinan daripada pakaian pengantin, pelamin, katering dan sebagainya.

Berkongsi kemahirannya T & T telah berbesar hati menjadi penaja pakaian pakaian pengantin bagi Peraduan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysia untuk dua musim berturut-turut.

Katanya, pembabitan dalam peraduan tersebut adalah satu penghormatan terhadapnya untuk bersama-sama penaja lain merealisasikan perkahwinan impian kepada pemenang peraduan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: